Khamis, 4 November 2021

Penunggang Nyaris Maut Gara-Gara Kanvas 'Terbang' Polis Cari Pihak Terlibat


Pihak polis kini sedang mengesan pemilik perakam video papan pemuka yang memaparkan kain kanvas lori tercabut, dan menyelimuti penunggang serta pembonceng motosikal di belakangnya mengakibatkan mereka hampir digilis treler.


Video yang ditularkan di laman media sosial sejak semalam itu dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, pada jam 8 pagi semalam.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan daripada pemandu kenderaan dan mangsa terbabit.


"Semakan mendapati, kanvas lori yang tercabut itu melayang mengenai penunggang dan pembonceng motosikal mengakibatkan penglihatan mereka terhalang, dan hilang kawalan sehingga terlanggar sisi kanan sebuah lori tangki yang berada di lorong kiri sebelum mangsa terjatuh ke jalan.


"Setakat ini tiada laporan polis diterima, susulan itu, satu laporan telah dibuat oleh JSPT Sepang bagi memulakan siasatan dan pihak polis kini sedang mengenal pasti nombor pendaftaran bagi semua kenderaan terlibat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut beliau, pihak polis juga sedang mengesan kesemua pihak yang terlibat dalam kejadian termasuk individu yang merakamkan kejadian selain turut melakukan tindakan lawatan di lokasi. Siasatan berhubung kejadian dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu, kanvas yang melayang tersebut 'membalut' badan dua individu yang sedang menaiki motosikal menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan. Bagaimanapun, kedua-dua mangsa dilihat masih mampu berdiri sebaik sahaja terjatuh daripada motosikal dinaiki mereka.


Tangkap layar rakaman tular memaparkan sebuah motosikal hilang kawalan selepas dibaluti sehelai kain kanvas yang terlepas daripada sebuah lori.


EmoticonEmoticon