Tindakan seorang lelaki mendakwa motosikalnya dilanggar sebelum mengugut seorang wanita untuk mendapatkan ganti rugi membawa padah apabila dia ditahan polis awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, suspek berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.20 pagi di Taman Universiti, Skudai.
Menurutnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
"Polis menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 30 tahun jam 12.49 tengah hari pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki mengekori mangsa dengan menunggang motosikal sebelum didatangi seorang lagi lelaki.
Radin Ramlan berkata, kejadian berlaku jam 11.30 pagi selepas mangsa diekori lelaki bermotosikal di kawasan Taman Universiti, Skudai.
"Suspek meminta pengadu berhenti dan kemudiannya bertengkar sebelum seorang lagi lelaki tiba di lokasi berkenaan.
"Wanita tersebut kemudiannya membunyikan hon kenderaan yang menyebabkan kedua-dua suspek melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, suspek mempunyai sembilan rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 384 kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 341 kerana melakukan halangan salah," katanya lagi.
Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dipergiatkan.

EmoticonEmoticon