Rabu, 20 Oktober 2021

Misteri Duit Hilang Di Empat Kampung Sejak 10 Tahun Lalu Mungkin Angkara 'Toyol'


Penduduk di empat kampung di Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu, bingung dengan kehilangan wang kertas RM50 dan RM100 secara misteri, sehingga ada yang kerugian mencecah RM10,000 setiap mangsa secara berperingkat.


Dakwaan mistik itu timbul apabila beberapa siri kehilangan wang itu dikatakan pelik kerana kejadian tidak disedari dan tidak meninggalkan sebarang kesan langsung, malah sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu. Ada penduduk yang mengaitkan kejadian misteri itu angkara toyol.


Misteri kehilangan wang berkenaan membabitkan Kampung Pulong, Chicha, Kenali dan Pulau Raja, dan kejadian terbaru dialami kakitangan kerajaan, Sudarwaty Abdul Rajab, 42, pada petang Jumaat lalu apabila kehilangan RM500 yang disimpan di dalam beg tangannya.


"Petang Khamis lalu (14 Oktober 2021) saya mengambil wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,000 sebelum pulang ke kampung di Terengganu untuk berjumpa ibu bapa.


"Keesokan harinya apabila ingin menghulurkan wang kepada ibu bapa, saya terkejut kerana mendapati RM500 yang ingin diberikan itu hilang namun enggan bising kerana ini bukan kali pertama berlaku," kata Sudarwaty yang menetap di Kampung Pulong.


Katanya, duit kerap kali hilang tanpa mengira waktu dan hilang dalam pelbagai jumlah bermula RM50 sehingga RM1,000. Dia dan keluarga mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan berjumlah RM5,000 akibat misteri berkenaan sejak setahun lalu.


Sudarwaty berkata, pelbagai cara dilakukan bagi mengelakkan terus menjadi mangsa, lipat duit, gumpal dan menyembunyikan di mana-mana tempat tersorok, namun semua gagal serta buntu, malah wang milik anak-anak turut hilang.


"Kejadian ini sangat aneh dan sememangnya tidak boleh dibiarkan lagi kami sudah mengalami banyak kerugian dan akan membuat laporan polis berkait perkara ini," katanya.


Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, berkata, misteri kehilangan wang tunai membabitkan 15 ahli keluarganya yang tinggal di Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian sudah berlaku sejak 10 tahun lalu dan terbaharu pada awal tahun ini.


Katanya, dia mencuba pelbagai cara termasuk menyimpan wang di dalam peti sejuk dan sentiasa membawa beg tangannya, namun wang kertas RM50 dan RM100 yang berada di dalam dompet tetap hilang.


"Selain RM50 atau RM100, kepingan wang RM20, RM10, RM5 dan RM1 tidak pula hilang. Perkara ini sudah terlalu lama berlaku menyebabkan saya sangat berhati-hati dan sentiasa membawa beg duit ke mana-mana sahaja, namun kejadian hilang duit masih berlaku," ujarnya.


Menurutnya, pada awal kejadian lalu, dia dan keluarga berdepan kesukaran kerana pandangan sinis masyarakat yang mendakwa kejadian itu membabitkan ahli keluarga sendiri.


"Saya ada tiga anak-anak lelaki berusia 10 tahun hingga 17 tahun. Kejadian hilang duit ini membabitkan tujuh ahli keluarga saya yang tinggal berasingan termasuk duit ibu dan arwah bapa, adik-beradik dan ipar.


"Saya mula-mula marah pada anak-anak kerana menyangkakan mereka yang mencuri tetapi apabila berlaku kepada orang lain sehingga 15 keluarga di satu kampung, barulah kami sedar yang kejadian ini sangat ganjil," katanya.


Malah, katanya, anak saudara perempuannya yang berusia 28 tahun turut menjadi mangsa apabila wang tunai RM1,000 yang disimpan untuk majlis akikah anak sulungnya pada Aidiladha tahun lalu, hilang.


Katanya, dia menyimpan wang berkenaan dengan cara menindih dengan batu bata bagi mengelakkan dicuri atau diketahui orang. Namun, semasa mahu mengambil wang tersebut, ia didapati sudah hilang menyebabkan dia terkejut dan sedih.


Siti berkata, dia pernah meminta bantuan seorang ustaz pada awal tahun ini dan memagari kawasan rumah kira-kira 20 penduduk yang kerap diganggu, sejak itu kejadian wang hilang sudah tidak berlaku di rumah keluarganya.


"Sebaliknya, kampung-kampung lain pula kecoh dengan kejadian kehilangan duit sehingga ada yang rugi mencecah RM10,000. Mangsa-mangsa yang terlibat bagaimanapun tidak membuat laporan polis kerana menganggap kejadian dilakukan oleh makhluk halus," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.


"Saya nasihatkan mangsa-mangsa yang terlibat untuk membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan lanjut dapat dilakukan," katanya. - Sumber Sinar Harian.


EmoticonEmoticon