Rabu, 20 Oktober 2021

Saintis Yakin 99 Peratus Dapat Halang Asteroid Dari Serang Bumi


Asteroid adalah objek kecil dalam sistem suria yang mengelilingi matahari, saiznya lebih kecil daripada planet. Oleh sebab itu, asteroid tergolong dalam kumpulan planet kecil atau dikenali sebagai planetoid.


Asteroid menjadi perhatian banyak pihak kerana berpotensi mengancam keselamatan manusia di bumi. Berdasarkan catatan sejarah, kesan asteroid berjuta-juta tahun yang lalu menjadi faktor utama kepupusan Dinosaur.


Walaupun pada masa ini, Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mengakui bahawa tidak ada asteroid yang mengancam bumi, namun pemantauan berterusan terus dilakukan.


Kajian terbaru NASA menunjukkan tembakan nuklear pada asteroid kecil di laluan pelanggaran dengan bumi dapat menghalang 99 peratus serangan batu angkasa itu terhadap planet ini.


Menerusi laporan laman berita Daily Mail, Pusat Kajian Objek Jarak Dekat Bumi NASA menjalankan kajian setiap dua tahun sekali di Makmal Pendorong Jet di California mengenai simulasi terhadap kesan asteroid.


Dalam senario kali ini, asteroid fiksyen 100 meter dikenali dengan PDC 2021, tidak dapat dikesan sehingga enam bulan sebelum melanda planet ini serta tidak mempunyai masa mencukupi untuk menghantar kapal angkasa untuk menariknya.


Bagaimanapun, penyelidikan terkini oleh Johns Hopkins University di Baltimore, Maryland mendapati letupan megaton nuke yang meletup di permukaan asteroid akan menghancurkannya tanpa meninggalkan ribuan serpihan besar yang menuju ke bumi.


"Sekiranya kita menggunakan teknik serangan nuklear yang kuat iaitu sekurang-kurangnya sebulan sebelum hentaman, kita dapat mencegah 99 peratus atau lebih jisim asteroid yang menyerang bumi," kata penulis utama kajian, Patrick King.


Idea itu pernah ditunjukkan dalam filem Hollywood paling terkenal 1998, Armageddon apabila Bruce Willis dan kru angkasa lepas dihantar untuk menghancurkan asteroid raksasa.


Menurut pasukan penyelidik Johns Hopskins University, mereka percaya bahawa tindakan tersebut sudah cukup dengan sekadar melepaskan tembakan ke arah astroid sahaja. Tidak seharusnya mengikut tindakan yang dilakukan seperti di dalam filem tersebut.


Gambaran pelukis dari University of Warwick dan University of Cambridge mengenai asteroid berbatu hancur akibat tekanan graviti kuat.


EmoticonEmoticon