Ahad, 9 Jun 2024

Jual rakaman video lucah, 3 lelaki dikenal pasti bantu wanita promosi aktiviti persundalan

Jual rakaman video lucah, 3 lelaki dikenal pasti bantu wanita promosi aktiviti persundalan


Wanita yang ditahan terbabit dengan aktiviti promosi seks dan penjualan ubat kuat di laman sosial dibantu tiga lelaki untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral itu.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, seorang lagi lelaki yang ditahan itu dikenal pasti teman lelaki kepada wanita yang berasal dari negeri utara tanah air terbabit.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 292(a) kanun sama, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63," katanya semalam.


Media tempatan kelmarin melaporkan wanita terbabit ditahan polis di Bandar Bukit Mahkota, Bangi di Selangor, selepas disyaki terbabit aktiviti terbabit di laman sosial sehingga mampu meraih pendapatan sehingga RM20,000 sebulan.


Aktiviti persundalan itu dilakukan wanita terbabit bersama empat lagi suspek yang turut ditahan.


Siasatan mendapati kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita itu menjalankan aktiviti mempromosikan aktiviti seks di laman sosial, menjual rakaman video lucah dan menjual ubatan seks melalui laman sosial.


Suspek yang ditahan polis. - Foto Utusan Malaysia.

Jumaat, 7 Jun 2024

Dua lelaki warga tempatan ditahan bertumbuk di kedai runcit

Dua lelaki warga tempatan ditahan bertumbuk di kedai runcit


Dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an itu ditahan antara jam 2.30 petang hingga 11 malam, Khamis.


"Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Bukit Mertajam untuk membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Jelas beliau, salah seorang daripada suspek mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.


Mengulas mengenai kejadian tersebut, Helmi berkata, hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku pada jam 11.50 malam, 3 Jun lalu.


"Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya. Ketika kejadian, seorang jurujual kedai runcit tersebut didatangi dua pelanggan lelaki.


"Salah seorang pelanggan tersebut telah meminta jurujual kedai itu mengambil minuman keras untuknya. Perkara itu telah mencetuskan perselisihan faham lalu berlaku kejadian tumbuk menumbuk," katanya.


Tambah beliau lagi, kejadian itu berlarutan dan salah seorang daripada suspek telah memukul belakang kepala jurujual menggunakan topi keledar ketika berada di luar premis berkenaan.


Sebelum ini, tular video di media sosial mengenai pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya.


Menerusi video berkenaan, kedua-dua lelaki berkenaan didapati saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk 'one by one' sambil diperhatikan oleh pelanggan lain.


Pergaduhan itu akhirnya berjaya dileraikan oleh salah seorang pelanggan yang turut berada ketika kejadian berlaku.


Tangkap layar video kejadian yang tular di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya pada 3 Jun lalu.

Khamis, 6 Jun 2024

Pemandu disaman bawa 4 wanita dalam but kereta

Pemandu disaman bawa 4 wanita dalam but kereta


Seorang pemandu di Wilayah Thai Nguyen, utara Vietnam didenda 4 juta dong (RM735) dan lesen memandunya digantung selama dua bulan selepas dia memandu sambil membawa beberapa wanita berada di dalam but keretanya.


Menurut portal berita VnExpress pada 4 Jun 2024, ketika kejadian, dia memandu bersama empat wanita duduk di dalam but kereta tersebut.


Pada Ahad lalu, satu rakaman video di media sosial menunjukkan sebuah kereta membawa empat wanita di dalam but.



Ketika itu, kenderaan tersebut melalui bandar Hoa Thuong di daerah Dong Hy.


Pemandu berusia 35 tahun yang menetap di Thai Nguyen City itu berkata, wanita-wanita itu berusia antara 18 hingga 20 tahun.


Katanya, mereka memakai pakaian basah selepas berenang.


Akibat takut bahagian dalaman kereta itu basah, mereka mengambil keputusan untuk duduk di dalam but. - Sumber VN Express.


Empat wanita duduk di dalam but sebuah kereta di WilayahThai Nguyen baru-baru ini. - Foto Tuoi Tre News.

Rabu, 5 Jun 2024

Kereta buruk 30 tahun terbiar dalam bangsal akan dijual pada berharga RM1.3 juta

Kereta buruk 30 tahun terbiar dalam bangsal akan dijual pada berharga RM1.3 juta

 

Sebuah kereta Aston Martin keluaran tahun 1962 akan dijual pada harga £227,000 (RM1.3 juta) selepas 30 tahun dibiarkan berhabuk di dalam sebuah bangsal, lapor akhbar The Sun UK pada 3 Jun 2024.


Aston Martin DB4 itu ditemui di sebuah lokasi di New York selepas dibiarkan oleh pemiliknya.


Jika diubah suai dan berada dalam keadaan baik, kereta itu dijangka boleh mencapai nilai melebihi £780,000 (RM4.6 juta).



Model DB4 tersebut mengetengahkan enjin berkuasa 3.7 liter dan merupakan kereta untuk kegunaan jalan raya pertama dunia yang mencapai kelajuan 161 kilometer sejam dalam masa kurang 30 saat.


Kenderaan ikonik itu dikatakan unik kerana masih mengekalkan nombor enjin yang sepadan dan tidak pernah dibaik pulih sebelum ini. Ia bermaksud semua ciri asalnya kekal utuh.


Kisah menarik disebalik penemuan kenderaan klasik ini datang hasil daripada pemilik sebelumnya yang kembali dari Vietnam pada tahun 1970-an.


Dia Kembali bekerja di bengkel badan kereta tempatan, dia ditanya oleh pengurus kedai itu sama ada dia boleh membantu membaiki keretanya.



Selepas bekerja pada kereta itu selama beberapa minggu, bosnya menghadiahkan Aston Martin DB4 kepadanya setelah siap.


Dia kemudiannya menunda kereta itu ke rumahnya, di mana dia bercadang untuk memulihkannya. Namun, ia kekal diletakkan di bangsal selama tiga dekad.


"Penemuan magis dalam bangsal yang sebenar. Sebuah Aston Martin dari Era Emas yang jarang ditemui," demikian menurut iklan promosi jualan kereta itu. - Sumber The Sun UK


Aston Martin DB4 ini boleh mencapai nilai melebihi RM4.6 juta jika dibaik pulih. - Foto mediadrumimages.
Seorang lelaki terkejut temui ikan berwajah ngeri terdampar di pantai

Seorang lelaki terkejut temui ikan berwajah ngeri terdampar di pantai


Seekor ikan aneh yang disifatkan mempunyai wajah mengerikan ditemui terdampar di sebuah pantai di Singapura baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail pada 4 Jun 2024.


Ikan dikenali sebagai Longnosed stargazer itu ditemui bersembunyi di dalam pasir dan tidak bergerak sambil mendongak ke langit.


Menurut lelaki yang menemuinya, Dennis Chan, meskipun berasa terancam, dia menyifatkan penemuan itu sebagai perkara yang luar biasa.


"Pemandangan yang luar biasa. Ikan unik ini 'menanam' diri di dalam pasir dengan hanya kepala terdedah, seolah-olah menunggu mangsa yang tidak disangka," kata Dennis dalam video hantarannya di Instagram.


Segelintir pengguna media sosial kemudian menyuarakan rasa ngeri melihat ikan itu dengan ada yang mendakwa ia menimbulkan rasa fobia dalam diri mereka.


"Orang ramai mengejek saya kerana fobia dengan ikan. Lihatlah haiwan itu, ia sangat menyeramkan," kata seorang pengguna. - Sumber Daily Mail.


Ikan berwajah 'ngeri' ditemui terdampar di pantai Singapura oleh seorang pengunjung. - Foto Jam Press.

Selasa, 4 Jun 2024

Suami BCL didakwa 'songlap' duit syarikat lebih RM1.99 juta

Suami BCL didakwa 'songlap' duit syarikat lebih RM1.99 juta


Suami kepada artis popular Indonesia, Bunga Cinta Lestari (BCL) iaitu Tiko Aryawardhana didakwa menyeleweng dana milik syarikat diusahakan bersama bekas isteri, Arina Winarto iaitu PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS) berjumlah kira-kira 6.9 bilion rupiah (lebih RM1.99 juta).


Tiko didakwa melakukan kesalahan terbabit antara 2015 sehingga 2021 ketika memegang jawatan sebagai pengarah syarikat perusahaan makanan dan minuman itu.


Berikutan itu, Arina yang bertindak sebagai pemilik dan pemegang saham syarikat membuat laporan di Balai Polis Jakarta Selatan, baru-baru ini.


Memetik laporan Kompas.com, peguam mewakili Arina iaitu Leo Siregar dalam satu kenyataan media memberitahu, Tiko didapati melakukan pecah amanah terhadap syarikat.


"Tiko berperanan mengurus takbir syarikat itu membabitkan aspek kewangan, Arina lebih pasif dan hanya mahu melihat urusan syarikat berjalan lancar.


"Bagaimanapun, Tiko menyatakan hasrat menutup syarikat atas alasan tidak mampu membayar sewa pada 2019.


"Memandangkan dokumen keuntungan dan kerugian mencurigakan, Arina mula menyiasat dan membuat laporan bahawa dokumen dimanipulasi.


"Arina kemudian melakukan siasatan dan audit, sebelum mendapati dana 6.9 bilion rupiah (lebih RM1.99 juta) digunakan," menurut kenyataan itu.


Difahamkan Arina sudah membuat laporan polis pada 2022 selepas Tiko gagal menjelaskan audit syarikat dan kini sedang dalam tindakan pihak berkuasa.


Sementara itu, polis Jakarta Selatan, AKBP Bintoro berkata, perkara itu masih dalam siasatan dengan pelbagai bukti masih dalam peringkat pengumpulan.


Untuk rekod, Tiko dan Arina mendirikan rumah tangga pada 26 Jun 2014, namun berpisah pada 28 Oktober 2021.


Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata perempuan termasuk sepasang kembar.


Tiko kemudiannya berkahwin dengan BCL pada 2 Disember tahun lalu. - Sumber Kompas.com.


Bunga Cinta Lestari (BCL) dan Tiko Aryawardhana.

Isnin, 3 Jun 2024

Fenomena ajaib 6 planet berada pada kedudukan 'satu barisan' boleh dilihat dari Bumi

Fenomena ajaib 6 planet berada pada kedudukan 'satu barisan' boleh dilihat dari Bumi


Enam buah planet berada pada kedudukan dalam 'satu barisan' hari ini dan ia adalah masa yang terbaik untuk melihatnya dari Bumi, lapor portal berita The Sun pada 2 Jun 2024.


Planet yang berada dalam satu barisan itu ialah Musytari, Utarid, Uranus, Marikh, Neptune dan Zuhal. Fenomena kosmik itu boleh disaksikan pada waktu malam dari 3 Jun hingga 4 Jun di negara-negara Barat.


Beberapa pakar berkata, penjajaran itu sukar untuk dikesan tetapi tidak mustahil untuk melihatnya. Tetapi Marikh dan Zuhal akan menjadi yang paling mudah dilihat dengan mata kasar.



"Peluang terbaik untuk melihat penjajaran itu adalah sebelum matahari terbit, yang akan berlaku antara 4.30 pagi dan 5 pagi di UK, semuanya agak rendah di bahagian Timur," jelas Profesor Danny Steeghs dari Jabatan Fizik Universiti Warwick, England.


Fenomena visual itu berbeza daripada penjajaran astronomi, di mana planet berkumpul serentak pada sisi Matahari.


Mereka yang berharap untuk melihatnya dapat berbuat demikian jika langit cerah dan ufuk barat hampir rata.


Adalah penting untuk memastikan langit bebas daripada halangan seperti pokok atau bangunan.


Bagi mendapatkan pandangan terbaik, pemerhati-pemerhati bintang dinasihatkan untuk menggunakan binokular.


Bagaimanapun, peralatan lebih baik mungkin diperlukan untuk mengesan Uranus dan Neptune. - Sumber The Sun.


Enam buah planet berada dalam kedudukan sebaris di angkasa lepas hari ini. - Foto USA Today Network.

Ahad, 2 Jun 2024

Pembinaan Menara Jeddah setinggi 1 kilometer disambung semula, siap menjelang 2029

Pembinaan Menara Jeddah setinggi 1 kilometer disambung semula, siap menjelang 2029


Sebuah projek bagi membina bangunan tertinggi di dunia dijangka disambung se­mula selepas kerja pembinaannya terhenti enam tahun lalu, lapor akhbar The Sun pada 31 Mei 2024.


Bangunan pencakar langit setinggi 1 kilometer di bandar pelabuhan Arab Saudi, Jeddah itu semakin hampir menjadi kenyataan menjelang akhir dekad ini.


Menara Jeddah itu telah lama dinanti-nantikan. Struktur tersebut bakal menggantikan Burj Khalifa setinggi 830 meter yang terletak di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu sebagai bangunan tertinggi di dunia.


Projek menara Jeddah bermula lebih sedekad lalu tetapi terhenti pada tahun 2018 berikutan usaha untuk menghapuskan gejala rasuah dalam kerajaan Arab Saudi.


Tokoh-tokoh penting berkaitan projek itu telah ditangkap pada akhir tahun 2017, manakala pandemik ­Covid-19 turut menambahkan lagi kelewatan pembinaannya.


Firma Seni Bina Andrian Smith dan Gordon Gill yang membina bangunan pencakar langit itu memberitahu Architectural Digest: "Reka bentuk untuk Menara Jeddah berakar umbi pada simbolisme Arab Saudi sambil melihat ke arah masa depan dan memperlihatkannya dari sudut teknologi."


Apabila siap, bangunan pencakar langit futuristik itu ditetapkan untuk menjadi bangunan pertama yang pernah dibuat dengan ketinggian lebih daripada satu kilometer. - Sumber The Sun.


Rupa bentuk Menara Jeddah apabila siap sepenuhnya. - Foto Firma Seni Bina Adrian Smith dan Gordon Gill.

Jumaat, 31 Mei 2024

Cuaca panas ekstrem landa India, suhu cecah 52.3 darjah Celsius ragut puluhan nyawa

Cuaca panas ekstrem landa India, suhu cecah 52.3 darjah Celsius ragut puluhan nyawa


India kini dicengkam gelombang haba luar biasa ketika fenomena El Nino diramalkan beralih pada fasa neutral pada hujung pertengahan tahun ini.


Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa India bertindak mengeluarkan amaran kesihatan kerana bimbang keadaan itu berpotensi meragut nyawa.


Malah suhu di ibu negara India, New Delhi melonjak ke paras tertinggi sepanjang masa pada Rabu.


"Stesen cuaca Mungeshpur di Delhi pada Rabu merekodkan suhu maksimum 52.3 darjah Celsius. Ini adalah suhu maksimum tertinggi di Delhi setakat ini," kata pegawai di Jabatan Meteorologi India, Kuldeep Srivastava, lapor Agensi Anadolu.


Suhu tertinggi pernah direkodkan di Delhi ialah 45.6 darjah Celsius pada 29 April 1941.


Beberapa bandar lain di India pada Selasa turut mencatat suhu melebihi 49 darjah Celsius dengan Churu di negeri Rajasthan barat mencapai 50.5 darjah Celsius.


Jabatan Meteorologi India berkata, 'gelombang haba kepada keadaan gelombang haba teruk' dijangka berkurangan secara beransur-ansur di Barat Laut dan Tengah India mulai Khamis.


Gelombang haba telah menjejaskan perniagaan ternakan ayam di beberapa tempat, dengan ayam pedaging mati dalam suhu panas terik.


Disebabkan peningkatan suhu, Leftenan Gabenor New Delhi, Vinai Kumar Saxena pada Rabu menggesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk melindungi buruh dengan peraturan seperti menyediakan air dan kawasan teduh di tapak pembinaan, selain cuti berbayar buat pekerja pada tengah hari hingga 3 petang.


Seorang anggota Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) yang bertugas di Rajasthan di sempadan India-Pakistan meninggal dunia akibat strok haba.


Gelombang haba telah meragut puluhan nyawa dalam beberapa hari kebelakangan ini di pelbagai bahagian di India.


India tidak asing dengan musim suhu panas melampau, namun penyelidikan saintifik dijalankan berulang kali mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih lama, lebih kerap dan terik.


Seorang kakitangan hospital mencurah air di muka pesakit yang mengalami strok haba di hospital kerajaan di New Delhi. - Foto AFP.

Khamis, 30 Mei 2024

Beruang masuk beberapa rumah curi biskut jenama Oreo

Beruang masuk beberapa rumah curi biskut jenama Oreo


Seekor beruang dirakam memecah masuk ke dalam sebuah rumah dan mencuri sebungkus biskut jenama Oreo, lapor agensi United Press International pada 29 Mei 2024.


Kejadian itu berlaku pada hari Jumaat, 24 Mei, di kawasan kejiranan Canyon Crest Drive di Monrovia, California.


Kini penduduk telah memberinya nama panggilan yang sesuai Oreo.


Rakaman memaparkan aksi beruang tersebut yang memasuki rumah berkenaan melalui tingkap.



Tidak lama kemudian, ia keluar dengan satu bungkusan biskut Oreo yang digonggong di mulutnya.


Jiran pemilik rumah itu, Vina Khoury berkata, beruang yang dinamakan Oreo oleh penduduk setempat itu juga pernah memasuki garajnya.


Lebih mengejutkan apabila Oreo hanya mencuri kek coklat daripada peti sejuk.


"Saya rasa kami tidak boleh membiarkan tingkap terbuka kerana beruang ini akan masuk. Hal ini sedikit membimbangkan saya," kata Khoury kepada stesen penyiaran KABC-TV. - Sumber UPI.


Tangkap layar beruang yang memecah masuk sebuah rumah dan mencuri sebungkus biskut Oreo. - Foto NBC.