Jumaat, 7 Jun 2024

Dua lelaki warga tempatan ditahan bertumbuk di kedai runcit


Dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an itu ditahan antara jam 2.30 petang hingga 11 malam, Khamis.


"Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Bukit Mertajam untuk membantu siasatan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Jelas beliau, salah seorang daripada suspek mengalami sedikit kecederaan di bahagian muka manakala seorang lagi tidak mengalami kecederaan.


Mengulas mengenai kejadian tersebut, Helmi berkata, hasil siasatan polis mendapati, kejadian berlaku pada jam 11.50 malam, 3 Jun lalu.


"Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya. Ketika kejadian, seorang jurujual kedai runcit tersebut didatangi dua pelanggan lelaki.


"Salah seorang pelanggan tersebut telah meminta jurujual kedai itu mengambil minuman keras untuknya. Perkara itu telah mencetuskan perselisihan faham lalu berlaku kejadian tumbuk menumbuk," katanya.


Tambah beliau lagi, kejadian itu berlarutan dan salah seorang daripada suspek telah memukul belakang kepala jurujual menggunakan topi keledar ketika berada di luar premis berkenaan.


Sebelum ini, tular video di media sosial mengenai pergaduhan melibatkan dua individu di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya.


Menerusi video berkenaan, kedua-dua lelaki berkenaan didapati saling membuat provokasi selain mengajak untuk bertumbuk 'one by one' sambil diperhatikan oleh pelanggan lain.


Pergaduhan itu akhirnya berjaya dileraikan oleh salah seorang pelanggan yang turut berada ketika kejadian berlaku.


Tangkap layar video kejadian yang tular di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya pada 3 Jun lalu.


EmoticonEmoticon