Sabtu, 14 Oktober 2023

Berpelukan atas motosikal yang sedang bergerak, pasangan kekasih disaman RM454

Berpelukan atas motosikal yang sedang bergerak, pasangan kekasih disaman RM454

 

Sepasang kekasih di negeri Uttar Pradesh, India disaman selepas menunggang motosikal sambil berpelukan di jalan raya, lapor portal berita In Informal Newz pada 11 Oktober 2023.


Rakaman kejadian memaparkan seorang wanita duduk menghadap pasangannya dan memeluk lelaki itu ketika motosikal itu meluncur di jalan raya.


Pasangan itu juga melanggar peraturan keselamatan jalan raya kerana tidak memakai topi keledar. Video itu mencetuskan kemarahan orang ramai yang menggesa polis mengambil tindakan.


Kejadian berlaku di Lebuhraya Kebangsaan 9 di bawah bidang kuasa balai polis Simbhaoli, baru-baru ini. Ramai pengguna mengkritik kedua-dua mereka kerana kelakuan mereka yang tidak bertanggungjawab dan lucah.


Sebagai tindak balas kepada video itu, polis mengenakan denda tinggi ke atas mereka. Penunggang motosikal itu didenda 8,000 rupee (RM454) di bawah Akta Kenderaan Bermotor, manakala prosiding undang-undang dimulakan terhadap kes tersebut.


Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat peningkatan dalam kes pasangan muda yang bercinta melakukan aksi berpelukan atas motosikal yang sedang bergerak.


Dalam kejadian serupa yang terbongkar dari Hapur, Uttar Pradesh, sepasang suami isteri dilihat bercinta dengan melakukan aksi tersebut.


Pasangan itu disaman kerana memandu tanpa topi keledar dan lesen serta memandu secara berbahaya. Denda berjumlah 11,000 rupee telah dikenakan ke atas mereka. - Sumber In Formal Newz


Pasangan itu disaman kerana melanggar peraturan jalan raya. - Foto Twitter.

Khamis, 12 Oktober 2023

Polis buru pengemis pocong, puntianak kerana menyusahkan penduduk

Polis buru pengemis pocong, puntianak kerana menyusahkan penduduk


Polis Depok, wilayah Jawa Barat membuat rondaan khas bagi memburu pengemis yang berpakaian seperti pocong dan puntianak di jalan-jalan sekitar bandar tersebut sehingga menyebabkan orang ramai ketakutan, lapor portal berita Okezone.


Menurut ketua polis tempatan, Mohamad Thamrin, pasukannya melakukan rondaan pada malam semalam, namun kumpulan pengemis berkostum hantu itu tidak ditemui.


"Semalam kami melakukan rondaan mencari pengemis, namun mereka tidak muncul. Pasukan kami bergerak ke lokasi yang dilaporkan sering menjadi kawasan tumpuan mereka di Jalan Raya Margonda, namun tiada pocong ditemui," katanya hari ini, Khamis (12/10/2023).


Sebelum itu, beberapa video tular di laman Instagram memaparkan sebilangan pengemis memakai kostum hantu berlegar-legar di jalanan sambil membawa kotak sumbangan.


Mereka bukan sahaja mengemis, bahkan menakut-nakutkan orang ramai sehingga ada yang ketakutan.


"Memang menjengkelkan orang yang suka mengemis begini. Anda masih muda, berbanding bekerja, anda memilih untuk mengemis," kata seorang pengguna media sosial.


"Malam Jumaat lepas, saya menaiki motosikal berseorangan. Dia (pengemis) lalu di hadapan saya dengan memakai kostum pocong. Nasib baik motosikal saya tidak terbabas," kata netizen lain. - Sumber Okezone.


Pengemis-pengemis tersebut memakai kostum pocong dan puntianak untuk meminta sedekah. - Foto Instagram.
Restoran mewah jual pai kepala ayam berharga RM128

Restoran mewah jual pai kepala ayam berharga RM128


Sebuah restoran mewah di London memperkenalkan pai ayam unik dengan kepala ayam menonjol di bahagian atas hidangan tersebut, lapor akhbar Metro UK pada 11 Oktober 2023.


Menu dinamakan Le Grand Coq Pie berharga £22 (RM128) di Restoran Fowl itu menerima pelbagai reaksi daripada pelanggan dengan ada yang memuji kreativiti cef serta sebilangan lagi menganggap ia menjijikkan.


Hidangan eksotik tersebut dicipta sebagai usaha untuk mengurangkan sisa makanan dan menggunakan setiap bahagian haiwan.


Menurut Cef Will Murray, pai itu mengetengahkan konsep 'daripada kepala hingga kaki' yang menggunakan setiap bahagian ayam termasuk bahagian yang biasanya dibuang.


Pelanggan boleh mendapatkan Chicken Leg Corn Dog berharga £16, yang didatangkan dengan kaki ayam dimana kukunya masih melekat, dan pencuci mulut krim lemak ayam karamel yang dihiasi dengan serbuk kulit ayam berharga £8.


"Bagi kami, petani telah bekerja keras untuk memelihara ayam yang cantik, jadi kami perlu menggunakan setiap bahagiannya," kata Murray. - Sumber Metro UK.


Pai kepala ayam ini dicipta sebagai usaha mengurangkan sisa makanan dan menggunakan setiap bahagian haiwan. - Foto Leon McGowran & TikTok.

Selasa, 10 Oktober 2023

Jiran selalu batuk punca suspek letup bom depan rumah

Jiran selalu batuk punca suspek letup bom depan rumah


Tidak puas hati terhadap jiran yang batuk setiap kali melalui koridor rumah didakwa menjadi motif utama pasangan kekasih meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jiran mereka itu di flat Taman Pandan, Butterworth, Seberang Perai, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, pihak polis masih meneruskan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kedua-dua suspek bertindak sedemikian.


Menurutnya, suspek terdiri lelaki tempatan dan wanita warga Indonesia yang masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu bekerja sebagai operator kilang yang tinggal di flat yang sama.


"Setakat ini, motif kejadian dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap jirannya yang didakwa selalu batuk setiap kali melalui kaki lima untuk ke rumahnya.


"Susulan itu, suspek bertindak meletakkan bahan letupan berkenaan kerana marahkan jirannya. Kedua-duanya mereka direman selama empat hari bermula semalam sehingga 12 Oktober ini," katanya kepada pemberita, hari ini.


Semalam, media tempatan melaporkan kedua-dua suspek ditahan selepas disyaki terbabit dalam insiden letupan bom buatan sendiri, Ahad lalu.


Siasatan awal turut membawa kepada penemuan satu lagi bom buatan sendiri dan pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri serta kerambit.


Suspek utama turut mengakui mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian dalam talian.


Terdahulu, satu letupan dilaporkan berlaku di flat terbabit pada pukul 12.56 tengah hari, Ahad lalu dan saksi kejadian telah menemui bungkusan dipercayai bahan letupan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.


Bom buatan sendiri yang ditemui di koridor hadapan sebuah rumah di Flat Taman Pandan, Butterworth, Ahad lalu. - Foto Kosmo.

Isnin, 9 Oktober 2023

Ikan kap terbesar dunia seberat 114.3kg tewas di tangan pemancing Britain

Ikan kap terbesar dunia seberat 114.3kg tewas di tangan pemancing Britain


Seorang kaki pancing dari Britain berjaya menaikkan ikan kap dipercayai terbesar di dunia seberat 114.3 kilogram (kg) ketika memancing di Lagun Palm Tree, Chedi Hak, Thailand, lapor akhbar The Sun semalam.


Kelvin Marston, 36, menaikkan ikan kap Siam tersebut Jumaat lalu dengan bantuan rakan, bapanya dan seorang penduduk tempatan semasa bercuti selama 12 hari di Thailand.


Dia yang menggunakan joran 7 kaki yang dipasang dengan pelampung dan sebiji roti memancing di Lagun itu selama 12 jam sehari.



"Saya amat terkejut. Saya tidak menyangka ia adalah rekod baharu.


"Kami berempat terpaksa bersama-sama mengangkat ikan tersebut. Kami menaikkannya selama beberapa minit sebelum melepaskannya kembali.


"Saya mendaratkan seekor lagi ikan kap pada hari Isnin seberat 102 kg. Lengan saya mula sakit dan saya bersedia untuk mengalah sekarang," katanya memberitahu The Sun.


Ikan kap Siam ialah spesies kap terbesar dunia dan hidup di lembangan-lembangan sungai di rantau Asia. - Sumber The Sun.


Kelvin memerlukan bantuan tiga orang yang lain untuk menaikkan ikap kap seberat 114.3 kilogram itu. - Fot SUPPLIED.
Hilang selama 4 hari, rupanya sembunyikan diri daripada pemungut hutang

Hilang selama 4 hari, rupanya sembunyikan diri daripada pemungut hutang


Lelaki yang 'hilang' selama empat hari ketika membuat urusan penjualan telefon bimbit sebelum ditemui selamat didapati menyembunyikan diri daripada pemungut hutang.


Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ia berdasarkan rakaman keterangan yang dilakukan selepas lelaki berusia 27 tahun terbabit tampil membantu siasatan.


Beliau berkata, lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi memberikan keterangan, semalam.


"Pemeriksaan mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kejadian berlaku ke atas dirinya. Sebenarnya dia melarikan diri atau menyembunyikan diri daripada pemungut hutang," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Dalam laporan media tempatan semalam, Hussein meminta lelaki yang hilang selama empat hari dan kemudian selamat ditemui, untuk tampil kepada pihak polis untuk siasatan lanjut bagi mengetahui kejadian sebenar berlaku.


Beliau berkata, polis gagal menghubungi atau mengesan keberadaan mangsa dan juga tunangnya yang sebelum itu ada membuat laporan polis berhubung kehilangan lelaki terbabit.


Beliau berkata, polis cuma dimaklumkan berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Pantai, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan mangsa sudah kembali kepada keluarganya.


Terdahulu, lelaki yang dilaporkan hilang sejak 3 Oktober lalu itu dikatakan diselamatkan pemandu lori sebelum kembali kepada keluarganya, kelmarin.


Dia dikatakan kali terakhir dikesan berada di George Town, Pulau Pinang selepas dikatakan sempat membuat panggilan video dengan tunangnya untuk meminta tolong, sebelum akhirnya dikatakan berada di pusat beli-belah GM Klang, Selangor.


Lelaki yang didakwa hilang selepas menghantar telefon bimbit kepada pelanggan sebenarnya melarikan diri daripada pemungut hutang. - Foto Harian Metro.

Ahad, 8 Oktober 2023

Tidak sampai 48 jam siap dibina, pondok bayar parkir kenderaan dibakar

Tidak sampai 48 jam siap dibina, pondok bayar parkir kenderaan dibakar


Tidak sampai 48 jam siap dibina, sebuah pondok bayaran tempat letak kenderaan di pusat niaga Dataran Rimba, Kuala Nerus musnah terbakar disyaki disebabkan perbuatan khianat, pagi tadi.


Seorang pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Hani, 28, berkata, kejadian itu disedari ketika mahu memulakan perniagaan pada pukul 9 pagi.


Menurutnya, pondok yang dikatakan milik syarikat swasta itu sedang dalam pembinaan sejak Jumaat lalu dan dalam keadaan baik sepanjang hari sehingga malam tadi.


"Ketika menutup premis kira-kira pukul 9.30 malam semalam, saya dapati pondok bayaran berkenaan masih kukuh berdiri namun terkejut melihat ianya rentung pagi ini.


"Sebelum ini tapak parkir di lot perniagaan komersial ini pernah dikenakan caj oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) selama sebulan sebelum ianya dihentikan.


"Saya tidak pasti motif dan punca kejadian memandangkan tiada aktiviti mencurigakan di kawasan ini dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui hari ini.


Salah seorang penduduk dikenali sebagai Fikri, 33, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas ianya tular di media sosial sejak pagi ini.


Lelaki itu mendakwa, isu bayaran parkir di kawasan itu pernah menjadi perdebatan disebabkan ianya tidak pernah dilaksanakan sebelum ini untuk tempoh masa yang lama.


"Sebelum ini pengguna dikenakan caj RM1 sejam namun ianya tidak lama mungkin disebabkan ramai pengguna merungut sehingga menjejaskan kedatangan ke premis di sini," ujarnya.


Keadaan pondok bayaran parkir kenderaan yang hangus terbakar dipercaayai perbuatan khianat di pusat niaga Dataran Rimba, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Utusan.

Sabtu, 7 Oktober 2023

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam

NASA akan bina rumah di Bulan pada 2040 yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) merancang untuk membina penginapan di permukaan Bulan menjelang tahun 2040, lapor portal berita Daily Mail pada 3 Oktober 2023.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu memberi peruntukan AS$60 juta (RM283.65 juta) kepada sebuah syarikat teknologi pembinaan, ICON untuk membina kediaman di Bulan yang boleh dihuni angkasawan dan orang awam.


NASA merancang untuk melancarkan mesin pencetak gergasi tiga dimensi (3D) ke Bulan dan menggunakan konkrit Bulan yang diperbuat daripada batu, serpihan mineral dan habuk sebagai struktur penginapan itu.


Dalam pada itu, NASA turut bekerjasama dengan beberapa universiti dan syarikat swasta untuk membina pintu, jubin dan perabot yang sesuai digunakan di Bulan. 


Selain membina penginapan di Bulan, NASA juga merancang untuk membina sebuah bangunan di Marikh yang boleh didiami manusia. 


Pelan itu masih di peringkat awal dengan gambaran bangunan tersebut hanya dikeluarkan pada 2022, namun semuanya boleh berubah dalam dekad akan datang.


Syarikat ICON berpangkalan di Austin, menandatangani kontrak bersama NASA pada 2022 untuk menggunakan kepakaran percetakan 3D miliknya bagi membina penginapan mewah itu menggunakan sistem pencetakan dinamakan The Vulcan.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Semua komponen rumah seperti dinding dan bumbung akan dicetak secara berasingan dan dipasang selepas dicetak di Bulan.


ICON merancang untuk menguji mesin pencetaknya di Pusat Penerbangan Angkasa Marshall pada Februari tahun depan untuk melihat cara ia beroperasi dalam persekitaran hampagas dan sinaran angkasa.


Sejak 2018, ICON telah membina lebih 100 rumah di utara Austin dengan percetakan 3D.  Rumah yang dibina dengan cara ini telah menjadi semakin popular kerana ia cepat didirikan, dengan pemaju mengatakan mereka boleh menyelesaikan krisis perumahan Amerika. - Sumber Daily Mail.


Teknologi ini meletakkan campuran simen, pasir dan air sebagai filamen. Filamen secara berkesan adalah dakwat yang keluar dari pencetak seperti reben tebal yang disusun di atas satu sama lain. - Foto Icon.

Ideanya adalah untuk menghantar pencetak 3D ke bulan, yang akan membina penginapan mewah menggunakan konkrit bulan. - Foto Icon.

Pelan itu berada di peringkat awal, gambaran bangunan ini telah dikeluarkan pada 2022 lalu, idea itu boleh berubah dalam dekad yang akan datang. - Foto Icon.

Bernilai AS$1 juta, rumah bercetak 3D ini terletak di tengah-tengah gurun Texas Barat. - Foto Icon.

Khamis, 5 Oktober 2023

Pertandingan ratu cantik tanpa mekap, jururawat menang menewaskan 18 gadis lain

Pertandingan ratu cantik tanpa mekap, jururawat menang menewaskan 18 gadis lain


Seorang gadis cantik secara semula jadi dinobatkan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik Miss London 2023 yang berlangsung di kota London, lapor akhbar New York Post pada 4 Oktober 2023.


Pertandingan ratu cantik pada minggu lalu itu unik kerana berlangsung tanpa pemakaian mekap.


Natasha Beresford, 26, yang merupakan seorang jururawat pergigian, menewaskan 18 gadis lain dan akan mara untuk bersaing bagi merebut gelaran Miss England akhir tahun ini.


"Saya teruja kerana dipilih sebagai Miss London. Semua gadis yang bertanding sangat cantik dan benar-benar memberikan inspirasi. Jadi, ia satu penghormatan untuk terpilih (sebagai pemenang)," katanya.


Panel juri memberi tumpuan kepada aspek pekerjaan, pendidikan, kecantikan semula jadi dan etika peserta, demikian menurut laman web pertandingan tersebut.


Natasha berasal dari Sheffield dan berpindah ke London dua tahun lalu untuk bekerja di Hospital Pergigian Diraja London.


Pada tahun lalu, dia pergi ke Uganda sebagai sukarelawan Dentaid iaitu badan amal yang memberikan penjagaan pergigian percuma kepada gelandangan, mangsa penderaan, pelarian dan komuniti lain yang memerlukan pertolongan.


Naib juara pertandingan itu ialah pelajar kejuruteraan Afrose Ameen, 23, dan pembantu akaun serta model Temi Adeyemi, 26.


Sementara itu, pelajar terapi kecantikan Atlanta Richards, 17, memenangi kutipan derma Beauty with a Purpose selepas mengumpul lebih daripada $2,000 (RM9,455) untuk badan amal pencegahan bunuh diri. - Sumber New York Post.


Natasha Beresford pemenang pertandingan ratu cantik tanpa mekap pada 29 September dan membawa pulang mahkota. - Foto Lauren Cremer, FabUK / SWNS.

Natasha Beresford (kiri) menang pertandingan ratu cantik tanpa mekap di London pada minggu lalu. - Foto @GEMxFoto / SWNS.

Gambar dari kiri Natasha Beresford, Afrose Ameen dan gambar paling kanan Temi Adeyemi. - Foto Lauren Cremer, FabUK / SWNS.

Rabu, 4 Oktober 2023

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden

Bulu dinosaur berusia 125 juta tahun serupa dengan bulu burung moden


Ahli paleontologi di University College Cork (UCC), Ireland telah menemui bukti sinar-X protein dalam bulu fosil yang memberi penerangan baharu tentang evolusi bulu.


Bulu dari burung zaman moden mempunyai lebih banyak persamaan dengan bulu dinosaur. Kajian terdahulu mencadangkan bahawa bulu purba mempunyai komposisi yang berbeza dengan bulu burung pada hari ini.


Penyelidikan baharu itu mendedahkan bahawa komposisi protein bulu zaman moden juga terdapat pada bulu dinosaur dan burung awal. Ini mengesahkan bahawa kimia bulu berasal lebih awal daripada yang difikirkan sebelumnya.


Menurut ketua penyelidik, Dr. Tiffany Slater, pasukannya menganalisis bulu berusia 125 juta tahun daripada dinosaur Sinornithosaurus dan burung awal, Confuciusornis dari China, serta bulu berusia 50 juta tahun dari Amerika Syarikat.


"Sangat menarik untuk menemui persamaan baharu antara dinosaur dan burung. Untuk melakukan ini, kami membangunkan kaedah baharu bagi mengesan kesan protein bulu purba.


"Kami juga menggunakan sinar-X dan cahaya inframerah. Kami dapati bahawa bulu daripada dinosaur Sinornithosaurus mengandungi banyak beta-protein sama seperti bulu burung pada hari ini," katanya.


Tambahnya, bagi membantu mentafsir isyarat kimia yang dipelihara dalam bulu fosil, pasukan itu menjalankan eksperimen untuk membantu memahami cara protein bulu terurai semasa proses fosil.


"Bulu burung moden kaya dengan beta-protein yang membantu menguatkan bulu untuk terbang," ujarnya lagi.


Kajian itu diterbitkan pada 21 September 2023 dalam jurnal Nature Ecology and Evolution. - Sumber Live Science.


Fosil bulu dinosaur yang digunakan untuk mendapatkan penerangan baharu tentang evolusi bulu. - Foto kundrát et al (Gondwana Research).

Bulu fosil berusia 50 juta tahun yang ditemukan di Green River Formation in Wyoming, Amerika Syarikat. - Foto Tiffany Slater.

Gambar ilustrasi dinosaur Sinornithosaurus. Fosilnya ditemui pada tahun 1999 di China. - Foto planet dinosaur wiki.