Selasa, 3 Oktober 2023

Penduduk Britain terkejut lihat 'bebola api besar' misteri muncul di langit

Penduduk Britain terkejut lihat 'bebola api besar' misteri muncul di langit

 

Penduduk di Oxfordshire, Britain terkejut selepas melihat 'bebola api' misteri muncul di samping bunyi letupan di langit sekitar 7:20 petang malam semalam (waktu tempatan), lapor akhbar The Sun.


Menurut polis, letupan berlaku disebabkan kilat menyambar sebuah loji sisa buangan di bandar Yarnton. 


Beberapa silinder gas di loji tersebut disambar kilat yang mengakibatkan api dan asap memenuhi langit pada malam semalam.


Polis mengesahkan bahawa tiada mangsa yang cedera dalam kebakaran di loji itu, namun jalan A40 ditutup selepas kejadian.



Penduduk tempatan juga diarah kekal berada di dalam rumah selain menutup tingkap dan pintu selepas kejadian tersebut.


Polis Thames Valley dalam satu kenyataan berkata: "Pegawai kami berada di lokasi kejadian kebakaran di loji sisa berhampiran Yarnton, Oxfordshire.


"Kilat dipercayai menyambar silinder gas di tapak berkenaan semasa cuaca buruk pada petang tadi (Ahad), dan menyebabkan kebakaran besar," jelas kenyataan itu.


Beberapa pengguna di aplikasi Twitter berkata bahawa langit 'bercahaya selama dua minit' sebelum hilang. Sebilangan penduduk yang ketakutan turut melaporkan mereka terputus bekalan elektrik seketika sejurus selepas letupan.


"Severn Trent Green Power boleh mengesahkan bahawa pada sekitar 19:20 petang ini (1 Oktober 2023), sebuah tangki sisa buangan di kemudahan Cassington AD berhampiran Yarnton, Oxfordshire, telah disambar petir mengakibatkan biogas dalam tangki itu menyala.


"Kami sedang bekerjasama dengan perkhidmatan kecemasan untuk melindungi tapak dan akan memberikan ulasan lanjut dalam masa terdekat," kata Severn Trent Green Power dalam satu kenyataan. - Sumber The Sun.


Polis mengesahkan tiada sesiapa yang cedera dalam kebakaran. - Foto LNP.

Penduduk berkongsi gambar letupan yang menerangi langit malam. - Foto Twitter/Knocker.
Pelancong terkejut lebih 250 kelawar tumpang tidur dalam bilik hotel

Pelancong terkejut lebih 250 kelawar tumpang tidur dalam bilik hotel


Pasangan pelancong yang bercuti di Republik Czech terkejut selepas mendapati lebih 250 ekor kelawar 'menumpang tidur' di dalam bilik hotel mereka di bandar Plzen, lapor akhbar Daily Mail pada 30 September 2023.


Gambar tular menunjukkan seorang pekerja penyelamat haiwan, Radek Zemen dan penyambut tetamu hotel cuba menangkap 256 ekor kelawar yang terbang masuk melalui tingkap.


Pasangan yang menginap di Hotel Art Nouveau Sloven bertaraf tiga bintang di bandar Plzen dikatakan membiarkan tingkap bilik tidur mereka terbuka sebelum tidur.


Mereka juga turut membiarkan pintu bilik tidur yang menghala ke koridor sedikit terbuka pada malam itu kerana panas terik.


Tetapi apabila mereka tersedar keesokan harinya, mereka mendapati ratusan kelawar Soprano yang sedang mengantuk di siang hari bergantungan di dinding, siling dan langsir bilik tersebut.


"Pintu dewan juga dibiarkan terbuka oleh kakitangan pembersihan, jadi kira-kira 50 kelawar bersembunyi di ruang antara dinding dan siling berhampiran perabot.



"Penyambut tetamu menunjukkan risalah dalam tiga bahasa antarabangsa yang diletakkan di setiap bilik memaklumkan tetamu dan kakitangan tidak boleh membiarkan tingkap terbuka kerana terdapat risiko pencerobohan kelawar.


"Tetapi malangnya mereka mengambil amaran itu secara sambil lewa. Ketika cuaca panas, anda perlu bersedia dengan lawatan tak diundang ini jika tidak berhati-hati," kata Zemen.


Jurucakap pusat penyelamat haiwan Karel Makoň berkata: "Rekod 256 kelawar hidup dan 11 kelawar mati ditemui di bilik No. 212, di mana tetamu yang tidak bertanggungjawab membiarkan tingkap terbuka."


Sejak beberapa tahun lalu, pihak berkuasa Czech telah memberi amaran kepada penduduk tempatan tentang 'pencerobohan kelawar' pada bulan Ogos dan September.


Bandar Plzen berada di tengah-tengah laluan penghijrahan kelawar yang menjadikannya tempat persinggahan semula jadi.


Menurut Czech Union of Nature Conservators, tahun lalu antara Ogos dan September pusat penyelamat haiwan menemui sejumlah 1,306 kelawar di pangsapuri dan bilik hotel. - Sumber Daily Mail.


Radek Zemen menangkap kelawar yang berterbangan di sebuah bilik di Hotel Art Nouveau Sloven di bandar Plzen, Republik Czech. - Foto Ed Wight.

Ahad, 1 Oktober 2023

Warga emas ditahan disyaki tebang 'pokok Robin Hood' yang sudah berdiri hampir 200 tahun

Warga emas ditahan disyaki tebang 'pokok Robin Hood' yang sudah berdiri hampir 200 tahun

 

Lelaki berusia 60 tahun ditahan untuk membantu siasatan kes penebangan pokok Sycamore Gap salah satu pokok terkenal di Northumberland, United Kingdom (UK), kata polis.


Pokok itu terletak di sebelah tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco), Tembok Hadrian di timur laut England.


Pokok yang berdiri selama hampir 200 tahun itu di Taman Negara Northumberland ditebang antara Rabu dan Khamis yang diklasifikasikan oleh pasukan penyiasat sebagai 'tindakan vandalisme yang disengajakan'.


Pokok itu terkenal di peringkat antarabangsa apabila ia digunakan untuk adegan dalam filem blockbuster pada 1991, Robin Hood: Prince of Thieves, yang dibintangi Kevin Costner.



Tinjauan AFP mendapati, tunggul pokok itu dilihat dengan kesan cat putih dan kelihatan seolah-olah dipotong dengan gergaji.


Terdahulu, seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki melakukan jenayah kerosakan pada Khamis berhubung kejadian itu dan dibebaskan dengan ikat jamin.


Polis Northumbria berkata lelaki berusia 60-an itu ditahan pada petang Jumaat dan masih dalam tahanan polis bagi membantu siasatan.



Theguardian melaporkan, Ketua Deketif Polis Rebecca Fenney-Menzies, dari polis Northumbria, berkata kemusnahan yang tidak masuk akal terhadap mercu tanda terkenal di dunia dan khazanah tempatan itu menimbulkan kemarahan orang ramai.


"Penahanan kedua ini menunjukkan betapa seriusnya kami terhadap kes ini dan komitmen berterusan kami untuk mencari mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan.


"Walaupun seorang lagi suspek ditahan, namun siasatan masih di peringkat awal, dan kami meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung dengan pihak polis," katanya.


National Trust berkata pokok itu ditanam antara 1860 dan 1890 serta diundi sebagai Pohon Terbaik Inggeris pada 2016.


Pokok Sycamore itu, yang memenangi Woodland Trust's Tree of the Year pada 2016 adalah tarikan utama hingga gambarnya dirakam jutaan pelawat. - Sumber The Guardian.


Pokok Sycamore Gap yang ditebang pihak tidak bertanggungjawab. - Foto AFP.
Disangka digigit biawak, rupanya anak buaya tersesat masuk rumah

Disangka digigit biawak, rupanya anak buaya tersesat masuk rumah


Seorang warga emas terkejut apabila mendapati kaki kirinya digigit seekor anak buaya sepanjang kira-kira 30 sentimeter di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, pada pagi tadi.


"Mak cik baru melangkah keluar pintu rumah sebelum terkejut apabila terasa ada 'benda' menggigit kaki kiri," kata Faridah Abd Ghani, 65, mengenai kemunculan anak buaya di rumahnya.


Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika dia mahu mengemas beranda rumahnya.


Katanya, pada mulanya dia menyangka digigit biawak kerana keadaan masih gelap sebelum anak lelakinya yang datang memeriksa mendapati ia adalah anak buaya.


"Jika biawak sudah tentu ia lari, tapi anak buaya itu hanya mengangakan mulut sebelum anak mak cik menekupnya dengan tudung saji dan menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya ketika dihubungi.


Faridah berkata, berikutan rumahnya berdekatan pantai, dia memang pernah melihat kelibat buaya berenang di kawasan pantai di situ.


"Namun, ini kejadian pertama kali anak buaya naik ke rumah dan mujur saya tidak mengalami luka," katanya lagi.


Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.04 pagi sebelum sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi.


Menurutnya, anggota berjaya menangkap anak buaya yang dipercayai tersesat lalu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


Anggota APM menangkap anak buaya yang memasuki sebuah rumah di Tanjung Bidara. - Foto APM UMT.
Suami, anak tiri memenggal kepala wanita, jari dipotong, gigi dihancurkan

Suami, anak tiri memenggal kepala wanita, jari dipotong, gigi dihancurkan


Seorang wanita mati dalam keadaan tragis apabila dia bukan sahaja dicekik hingga mati, malah kepala turut dipenggal dan empat jari serta rambutnya turut dipotong.


Tidak cukup dengan itu, gigi mangsa turut dihancurkan dipercayai dalam usaha menyembunyikan identiti wanita berkenaan, lapor India Today pada 30 September 2023.


Kejadian ngeri itu berlaku di daerah Banda, dekat sini, selepas polis Uttar Pradesh menemui mayat seorang wanita tanpa kepala, pada Jumaat.


Wanita dianggarkan berusia antara 35 hingga 40 tahun ditemui separuh bogel dan kepalanya ditemui agak jauh dari badannya, menurut Penguasa Polis Ankur Agarwal.


Mayat itu dikenali sebagai Maya Devi, isteri kepada Ramkumar Ahirwar, seorang penduduk daerah Chhatarpur di Madhya Pradesh.


Selain jari yang hilang, polis mendapati rambut wanita itu dipotong dan giginya dihancurkan untuk menyembunyikan identitinya.


Susulan siasatan, polis mengesyaki ahli keluarga wanita terbabit terbabit dalam pembunuhan itu.


Semasa soal siasat, Ramkumar; dua anak lelakinya Suraj Prakash dan Brijesh, dan anak saudara Udaibhan, mengaku membunuh wanita itu.


Menurut keterangan Ramkumar, Maya Devi adalah isteri keduanya, dan dia mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang anak lelakinya, kata Agarwal.


Berang dengan ini, keempat-empat tertuduh membawa Maya Devi ke kampung Chamraha, mencekiknya hingga mati dan memotong kepalanya dengan kapak. Mereka juga memotong empat jarinya.


Kenderaan dan kapak yang digunakan dalam jenayah itu sudah ditemui polis. Polis berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam.


Agrawal berkata semua tertuduh dalam kes itu sudah ditangkap dan akan dihantar ke penjara. Tindakan undang-undang lanjut sedang diambil terhadap mereka. - Sumber India Today.

Sabtu, 30 September 2023

Pasangan pengantin selamat dalam kebakaran tragis yang mengorbankan 113 orang di Iraq

Pasangan pengantin selamat dalam kebakaran tragis yang mengorbankan 113 orang di Iraq


Pasangan pengantin yang bersanding pada majlis perkahwinan yang berakhir dengan tragedi kebakaran di bandar Qarapish, utara Iraq pada Selasa lalu sempat melarikan diri menerusi pintu dapur, lapor portal berita metro UK pada 29 September 2023.


Kebakaran di sebuah dewan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 113 orang dan 130 yang lain cedera. Ibu pengantin lelaki antara yang terbunuh dalam kebakaran itu.


MailOnline melaporkan bahawa 'seluruh keluarga' pengantin perempuan meninggal dunia secara tragis dalam tragedi itu termasuk tiga abangnya, semua bapa saudaranya dan sepupu muda.


Pada mulanya, pengantin perempuan, Haneen dan suaminya, Revan Esho dipercayai meninggal dunia tetapi mereka kini dirawat di sebuah hospital di Erbi.


Kebakaran bermula sejam selepas majlis perkahwinan berlangsung apabila bunga api dihalakan ke siling dewan, manakala pasangan pengantin pula sedang menari dengan rakaman video menunjukkan Haneen ketakutan melihat dinding terbakar dan bumbung mula runtuh.


Pasangan pengantin itu kemudian melarikan diri melalui pintu dapur, lapor stesen penyiar Rudaw.


Mangsa yang cedera dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital di beberapa buah bandar termasuk Erbil, Mosul dan Duhok.


Kementerian Dalam Negeri Iraq berkata, seramai 14 orang ditangkap termasuk pemilik dewan tempat majlis perkahwinan tersebut berlangsung. Pihak berkuasa juga menjanjikan siasatan pantas dengan keputusan akan diumumkan dalam tempoh 72 jam.


Bapa pengantin lelaki berkata, dia percaya pemilik dewan itu bertanggungjawab terhadap kebakaran itu ketika bercakap kepada saluran berita CNN.


Tiga orang yang menghadiri majlis perkahwinan itu berkata, dewan itu tiada alat pemadam api dan pintu kecemasan manakala maklumat awal menunjukkan bangunan berkenaan mempunyai bahan binaan yang sangat mudah terbakar. - Sumber Metro UK.


Haneen dan suaminya dirawat di hospital selepas dewan tempat mereka melangsungkan majlis perkahwinan terbakar di bandar Qarapish, utara Iraq, Selasa lalu. - Foto INA.

Jumaat, 29 September 2023

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru


Peminat astronomi di Britain terkejut pagi semalam apabila mereka melihat matahari menjadi biru dengan gambar keganjilan itu membanjiri aplikasi Twitter, lapor portal berita Daily Mail pada 28 September 2023.


Sebilangan netizen membincangkan fenomena ganjil tersebut. Walaupun ia pasti kelihatan ghaib, terdapat penjelasan mudah di sebalik fenomena 'ngeri' itu.


Seorang netizen berkata: "Tidak pernah melihat matahari biru sebelum ini. Saya masih ingat matahari (berwarna) oren gelap dan merah apabila Ribut Ophelia 2017 mengubah haluan asap kebakaran hutan Portugal ke Britain. Mengapa warna biru kali ini?"


Seorang lagi netizen menulis di laman Twitter: "Kita mempunyai matahari biru yang menakutkan hari ini (semalam) di Twickenham."


Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Kaji Cuaca Pejabat Meteorologi Britain, Dan Harris berkata: "Pengaruh angin Barat yang kuat terhadap cuaca Britain pada masa ini. Ia membawa udara dari Amerika Utara ke Eropah.


"Udara ini mengandungi asap dari kebakaran hutan Kanada. Gabungan asap dan awan tinggi di atmosfera menyerakkan cahaya matahari serta mewujudkan anjakan warna yang luar biasa," katanya.


Fenomena aneh itu bukan kali pertama berlaku. Pada tahun 1950, matahari kelihatan biru di Ontario, Kanada berikutan ribut api Chinchaga iaitu salah satu kebakaran terbesar yang pernah direkodkan di Amerika Utara. - Sumber Daily Mail.


Matahari bertukar daripada warna putih menjadi biru (gambar kecil) di Twickenham pada pagi semalam. - Foto twitter.com/ruthwadey.

Khamis, 28 September 2023

Wanita mahu jadi makhluk asing, mengecat wajahnya warna biru dan belajar bahasa Klingon

Wanita mahu jadi makhluk asing, mengecat wajahnya warna biru dan belajar bahasa Klingon


Seorang wanita yang obses dengan hidupan angkasa lepas menghabiskan masa berjam-jam setiap minggu untuk mengecat wajah dan badannya menjadi biru agar kelihatan seperti makhluk asing, lapor akhbar Mirror UK pada 27 September 2023.


Lhouraii Li dari Bradford, United Kingdom berkata, dia mula berbuat demikian sejak lima tahun lalu selain turut mempelajari bahasa Klingon. Ia merupakan bahasa digunakan dalam filem sains fiksyen popular, Star Trek terbitan tahun 1960-an.


Sering berkongsi penampilan uniknya di laman Instagram, Lhouraii, 33, kini mempunyai lebih 10,000 pengikut.


"Saya mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk bersiap. Saya memakai kanta lekap sebelum menyapu cat berwarna biru dan diakhiri dengan solekan," katanya.



Diilhamkan oleh gaya Jepun, Lhouraii menjadi obses dengan penampilannya, memakai rambut palsu, kanta lekap, telinga bunian dari kertas mache dan tanduk untuk melengkapkan penampilannya.


Dia membelanjakan kira-kira £30 (RM171) setahun untuk cat badan dan menggunakan asas putih untuk menjadikan kulitnya lebih berpigmen serta mendapatkan rupa biru seperti itu.


"Saya mahu menjadi seseorang seperti anda apabila dewasa," tulis seorang pengguna diruangan komen gambar tersebut.


Beberapa pengguna lain turut memuji penampilan Lhouraii sangat cantik, comel dan lucu. - Sumber Mirror UK.


Lhouraii mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk bersolek menjadi makhluk asing. - Foto Barcroft Media via Getty Images.
Orang ramai cari berlian selepas tular khabar angin permata itu jatuh atas jalan rupa-rupanya palsu

Orang ramai cari berlian selepas tular khabar angin permata itu jatuh atas jalan rupa-rupanya palsu


Orang ramai berkumpul di beberapa jalan di daerah Surat, negeri Gujarat untuk mencari berlian selepas mendengar khabar angin mengenai seseorang yang dikatakan tidak sengaja menjatuhkan sebungkus permata itu, lapor laman berita Wion News pada 25 September lalu.


Surat yang digelar sebagai 'kota berlian India' ialah pasaran terbesar di dunia bagi aktiviti mengilat, memotong dan mengukir berlian.


Video memaparkan orang ramai mencari berlian dengan teliti di kawasan Varaccha tular di media sosial India.


Menurut laman berita Ahmedabad Mirror, khabar angin mengenai kehilangan berlian bernilai jutaan rupee itu merebak pantas pada 24 September lalu.


Orang ramai dikatakan sanggup mengumpul habuk dari jalan untuk mencari berlian. Seorang penduduk dilihat membersihkan kawasan itu dengan penyapu dan berharap dapat mencari berlian dalam debu yang terkumpul.


Seorang penduduk dikatakan berjaya menemui berlian, namun hampa apabila mendapati ia sebenarnya berlian Amerika (bukan berlian asli).


Arvind Panseria yang turut mencari berlian itu berkata, seorang lelaki menemui sebutir berlian tetapi ia adalah berlian Amerika yang digunakan sebagai barang kemas tiruan.


Seorang pegawai polis dari balai polis Varachha, Alpesh Gabani, memberitahu BOOM Live bahawa seseorang telah menjatuhkan berlian Amerika di atas jalan.


Tetapi khabar angin yang tersebar mendakwa ia berlian sebenar. Gabani juga menjelaskan bahawa kejadian itu tidak berkaitan dengan kegawatan pasaran berlian. - Sumber Wion News.


Orang ramai berkumpul di jalan untuk mencari berlian. - Foto Ary News.
Lelaki kerat alat sulit selepas kecewa kekasihnya ingin berpisah

Lelaki kerat alat sulit selepas kecewa kekasihnya ingin berpisah


Seorang lelaki Russia cuba mengerat alat sulitnya sendiri selepas kecewa ditinggalkan teman wanita, lapor akhbar Daily Star pada 26 September 2023.


Lelaki yang dikenali sebagai Ruslan, 37, itu cuba melakukan perbuatan tersebut pada 4 September lalu sejurus selepas kekasihnya, Natalia, 36, meminta untuk menamatkan hubungan mereka ketika bertengkar di sebuah unit apartmen di Daerah Biryulyovo Zapadnoye, di Moscow.


Ruslan yang kecewa kemudian berkata jika Natalia meninggalkannya, dia "tidak memerlukan alat sulitnya lagi" sebelum mengeluarkan sebilah pisau dapur untuk mengerat organ itu.


Lelaki itu kemudian mula mengerat di pangkal alat sulitnya. Natalia yang ketakutan melarikan diri dari unit apartmen tersebut sambil diekori oleh Ruslan menuruni tangga dalam keadaan terdedah dan berlumuran darah.


Seorang jiran yang melihat darah menitis dari kemaluan lelaki itu telah menghubungi ambulans. Ruslan kemudian dibawa ke hospital.


Menurut laporan, alat sulit lelaki itu telah dijahit tetapi tidak dijelaskan sama ada doktor dapat mencegah kerosakan kekal pada anggota berkenaan. - Sumber Daily Star.


Ruslan cuba mengerat zakarnya selepas dia ditinggalkan kekasihnya di Moscow baru-baru ini. - Foto Newsflash.