Jumaat, 29 September 2023

Ramai orang terkejut matahari tiba-tiba bertukar warna biru


Peminat astronomi di Britain terkejut pagi semalam apabila mereka melihat matahari menjadi biru dengan gambar keganjilan itu membanjiri aplikasi Twitter, lapor portal berita Daily Mail pada 28 September 2023.


Sebilangan netizen membincangkan fenomena ganjil tersebut. Walaupun ia pasti kelihatan ghaib, terdapat penjelasan mudah di sebalik fenomena 'ngeri' itu.


Seorang netizen berkata: "Tidak pernah melihat matahari biru sebelum ini. Saya masih ingat matahari (berwarna) oren gelap dan merah apabila Ribut Ophelia 2017 mengubah haluan asap kebakaran hutan Portugal ke Britain. Mengapa warna biru kali ini?"


Seorang lagi netizen menulis di laman Twitter: "Kita mempunyai matahari biru yang menakutkan hari ini (semalam) di Twickenham."


Bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Kaji Cuaca Pejabat Meteorologi Britain, Dan Harris berkata: "Pengaruh angin Barat yang kuat terhadap cuaca Britain pada masa ini. Ia membawa udara dari Amerika Utara ke Eropah.


"Udara ini mengandungi asap dari kebakaran hutan Kanada. Gabungan asap dan awan tinggi di atmosfera menyerakkan cahaya matahari serta mewujudkan anjakan warna yang luar biasa," katanya.


Fenomena aneh itu bukan kali pertama berlaku. Pada tahun 1950, matahari kelihatan biru di Ontario, Kanada berikutan ribut api Chinchaga iaitu salah satu kebakaran terbesar yang pernah direkodkan di Amerika Utara. - Sumber Daily Mail.


Matahari bertukar daripada warna putih menjadi biru (gambar kecil) di Twickenham pada pagi semalam. - Foto twitter.com/ruthwadey.


EmoticonEmoticon