Ahad, 1 Oktober 2023

Disangka digigit biawak, rupanya anak buaya tersesat masuk rumah


Seorang warga emas terkejut apabila mendapati kaki kirinya digigit seekor anak buaya sepanjang kira-kira 30 sentimeter di rumahnya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Alor Gajah, pada pagi tadi.


"Mak cik baru melangkah keluar pintu rumah sebelum terkejut apabila terasa ada 'benda' menggigit kaki kiri," kata Faridah Abd Ghani, 65, mengenai kemunculan anak buaya di rumahnya.


Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 pagi ketika dia mahu mengemas beranda rumahnya.


Katanya, pada mulanya dia menyangka digigit biawak kerana keadaan masih gelap sebelum anak lelakinya yang datang memeriksa mendapati ia adalah anak buaya.


"Jika biawak sudah tentu ia lari, tapi anak buaya itu hanya mengangakan mulut sebelum anak mak cik menekupnya dengan tudung saji dan menghubungi APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia)," katanya ketika dihubungi.


Faridah berkata, berikutan rumahnya berdekatan pantai, dia memang pernah melihat kelibat buaya berenang di kawasan pantai di situ.


"Namun, ini kejadian pertama kali anak buaya naik ke rumah dan mujur saya tidak mengalami luka," katanya lagi.


Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Unit Masjid Tanah (UMT), Leftenan (PA) Shahrul Riza Saiful Bahry berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.04 pagi sebelum sepasukan empat anggota bergegas ke lokasi.


Menurutnya, anggota berjaya menangkap anak buaya yang dipercayai tersesat lalu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


Anggota APM menangkap anak buaya yang memasuki sebuah rumah di Tanjung Bidara. - Foto APM UMT.


EmoticonEmoticon