Selasa, 29 Ogos 2023

Lelaki hilang sejak seminggu lalu, ditemui mati

Lelaki hilang sejak seminggu lalu, ditemui mati


Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia di kawasan hutan berbukit di Kampung Bambangan Tudon, Penampang, semalam.


Mayat Kevin Lokuman, 32, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampung berkenaan pada 10.30 pagi.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 24 Ogos lalu.


"PGO Sabah terima panggilan dari Balai Polis Tamparuli memaklumkan terdapat seorang lelaki dikhuatiri hilang dari rumah kediaman keluarganya.


"Menurut maklumat awal, mangsa dilaporkan keluar rumah tanpa memberitahu ahli keluarga pada 5 pagi, 22 Ogos lalu.


"Susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dan mangsa ditemui oleh penduduk kampung pada hari kelima," katanya dalam kenyataan media.


Katanya, pasukan bomba tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada 12.50 tengah hari, dan ke lokasi mangsa yang ditemui oleh penduduk kampung.


"Pasukan bomba mengambil masa disebabkan oleh laluan yang sukar kerana kawasan hutan berbukit. Mangsa kemudian diserahkan kepada polis pada 6.14 petang," katanya.


Seorang lelaki dilaporkan hilang sejak seminggu lalu ditemui meninggal dunia di kawasan hutan berbukit di Kampung Bambangan Tudon semalam. - Foto Ihsan Bomba.

Isnin, 28 Ogos 2023

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia

Wanita diiktiraf memiliki janggut terpanjang di dunia


Erin Honeycutt, 38, dari Michigan, Amerika Syarikat diiktiraf sebagai wanita yang memiliki janggut terpanjang di dunia, lapor laman berita The Guardian, minggu lalu.


Dia menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas berjaya memecahkan rekod dunia dengan memiliki janggut sepanjang 30 sentimeter (sm), selepas dua tahun membelanya.


Rekod sebelumnya dipegang Vivian Wheeler, 75, dengan memiliki janggut sepanjang 25.5 cm. GWR adalah organisasi yang terkenal kerana menyusun pangkalan data lebih daripada 40,000 rekod dunia.


Erin berkata, janggutnya tumbuh secara semula jadi akibat menghidap Sindrom Ovari Polikistik (PCOS).


"Saya mula ditumbuhi janggut pada usianya 13 tahun hingga dia mencuba pelbagai kaedah untuk menghilangkannya. Saya mungkin bercukur sekurang-kurangnya tiga kali sehari.


"Saya buat ini sepanjang remaja sampai saya dewasa. Namun selepas saya mengalami masalah penglihatan, saya penat bercukur sebelum pasangan saya memberi galakan supaya saya membiarkan saja ia tumbuh," katanya.


Selain PCOS, Erin juga menghidap necrotizing fasciitis pada kakinya, iaitu jangkitan bakteria yang jarang berlaku dan mengakibatkan kematian bahagian tisu lembut badan.


"Kaki saya mengalami gangren menyebabkan saya membuat keputusan untuk memotong bahagian bawah anggota badan.


"Namun, tekanan darah saya meningkat tinggi sehingga diserang strok mata dan menjejaskan sebahagian penglihatan saya," katanya.


Katanya, dia berfikiran positif meneruskan kehidupan biarpun kehilangan kaki dan deria matanya.


"Dengan sokongan pasangan saya (Jen), saya membuat keputusan untuk membiarkan janggut saya tumbuh semasa perintah berkurung di seluruh negara kerana Covid-19, dengan penampilan itu, saya dapat membina lebih keyakinan diri," katanya.


Erin berkata, dia tidak pernah terfikir akan mendapat pengiktirafan itu kerana pernah malu dengan keadaannya itu.


Jen pula berkata, Erin berhak keluar menikmati hidup seperti orang lain walaupun ada kalanya ada pandangan serong daripada orang luar ketika melihatnya.


Sementara itu, ibu Erin, Jill Roach berkata, dia sangat menyokong keputusan anak perempuannya untuk membiarkan janggutnya tumbuh kerana apa yang penting wanita itu gembira dengan apa yang dibuatnya. - Sumber The Guardian.


Erin Honeycutt kini pemegang rekod wanita dengan janggut terpanjang di dunia. - Foto The Guardian.
Pekerja car wash tiada lesen memandu, pandu Lamborghini pelanggan rempuh lori

Pekerja car wash tiada lesen memandu, pandu Lamborghini pelanggan rempuh lori


Seorang pekerja kedai cuci kereta di Singapura ditahan selepas memandu sebuah Lamborghini milik seorang pelanggan sehingga menyebabkan kereta itu hilang kawalan, lalu merempuh empat kenderaan lain, lapor portal berita Stomp pada 27 Ogos 2023.


Dalam kejadian yang berlaku di premis Revel Studio, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima laporan mengenai kemalangan yang berlaku di Plaza WCEGA, Bukit Batok Crescent sekitar pukul 12.20 tengah hari (waktu tempatan), Selasa lalu.


Sebuah klip video yang tular di media sosial memaparkan situasi di mana Lamborghini berwarna merah jambu itu diletakkan di hadapan kawasan cuci kereta.


Sejurus pintu kanan di sebelah tempat duduk pemandu dibuka lampu isyarat kanan kereta mula berkelip, kereta itu kemudian memecut laju secara tiba-tiba dan merempuh sebuah lori di hadapannya.


Hentakan itu, yang meremukkan bonet Lamborghini, mendorong lori itu ke belakang sejauh hampir satu kereta. Tiga kenderaan yang diletakkan berhampiran lori itu turut mengalami kerosakan.


Pekerja berusia 23 tahun itu ditahan polis kerana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan terburu-buru, manakala siasatan kes itu masih dijalankan. Dia dilaporkan tidak memiliki lesen memandu.


Pemilik Lamborghini ialah seorang wanita berusia 28 tahun, lapor Shin Min Daily News pada hari Jumaat.


Peguam Amolat Singh, rakan kongsi pengurusan Amolat & Partners, berkata seseorang individu memerlukan lesen memandu selagi dia mengawal kereta, walaupun "jika dia hanya memandu dalam jarak yang dekat".


"Pemilik Lamborghini boleh menyaman syarikat untuk pampasan kerana pekerja yang memandu kereta itu bertindak sebagai pekhidmat atau ejen mencuci kereta," kata Encik Singh.


Tambahnya, bahawa pemilik syarikat itu kemudiannya akan "bertanggungjawab secara wakil" atas tindakan pekerja itu.


"Jika cucian kereta itu mempunyai insurans liabiliti awam, ini mungkin meliputi kos guaman dan kerosakan lain," katanya. - Sumber Stomp.


Lamborghini itu merempuh sebuah lori selepas memecut laju ke hadapan. - Foto Stomp.

Ahad, 27 Ogos 2023

Rolls-Royce dipandu laju rempuh lori pada kelajuan 200 kilometer sejam

Rolls-Royce dipandu laju rempuh lori pada kelajuan 200 kilometer sejam


Sebuah kereta Rolls-Royce dipandu laju pada kelajuan 200 kilometer sejam merempuh belakang sebuah lori tangki di negeri Haryana, India, lapor portal berita NDTV 25 Ogos 2023.


Menurut laporan, terdapat tiga penumpang menaiki lori tangki itu yang melalui Lebuh Raya Delhi-Mumbai pada Selasa lalu.


Malangnya, dua daripada mereka termasuk pemandu lori maut akibat cedera parah dalam nahas tersebut. Penumpang ketiga lori tersebut turut cedera. 


Menurut polis, terdapat tiga penumpang di dalam kereta Rolls-Royce itu. Kesemua mereka mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital di Gurugram.


Salah seorang penumpang kereta itu ialah Vikas Malu iaitu pengarah syarikat Kuber Group. Seorang pegawai kanan polis menyatakan punca utama kemalangan terletak pada pemandu kereta Rolls Royce itu.



Bercakap secara eksklusif kepada NDTV, Superintendan Polis Nuh Narendra Bijaraniya berkata FIR telah didaftarkan di balai polis Nagina dan siasatan sedang dijalankan.


Ketika ditanya keadaan Vikas Malu, pegawai itu menjawab bahawa dia kini dimasukkan ke hospital Medanta di Gurugram dan sedang menjalani rawatan dan hanya doktor yang boleh mengulas mengenainya.


Bijaraniya turut menyatakan bahawa keseluruhan lebuh raya itu dipasang dengan kamera CCTV, pegawai itu berkata polis sedang mengimbas rakaman itu.


Beliau berkata, lori itu telah mengambil pusingan U di lebuh raya dan Rolls-Royce itu dipandu laju ketika kemalangan itu berlaku. Beliau menambah bahawa butiran kelajuan tepat kereta itu akan tersedia hanya selepas pemeriksaan saintifik. - Sumber NDTV.


Sebuah kereta Rolls-Royce merempuh lori tangki di sebuah lebuh raya di Haryana pada Selasa lalu. - Foto Twitter.

Jumaat, 25 Ogos 2023

Mulut pelanggan tertusuk kaki tikus ketika hirup sup di restoran terkenal

Mulut pelanggan tertusuk kaki tikus ketika hirup sup di restoran terkenal


Sebuah restoran di negeri Michigan berdepan tuntuan mahkamah selepas seorang lelaki menemui kaki tikus di dalam sup yang dihidangkan, lapor akhbar Mirror UK pada 24 Ogos 2023.


Thomas Howie, 54, berkata, dia bersama beberapa rakannya sedang makan di restoran Olive Garden sekitar pukul 6 hingga 6.30 petang (waktu tempatan) 11 Mac lalu apabila merasakan sesuatu tidak kena dengan makanannya.


"Saya merasa sesuatu menusuk mulut dan andaian pertama saya ia adalah jarum," katanya sambil menambah, benda asing itu tertusuk pada bahagian pipi di dalam mulutnya.


Howie terkejut ketika mengeluarkan objek tersebut apabila mendapati ia sebenarnya adalah kaki tikus yang masih lengkap berbulu dan bercakar.


Apabila rakannya memanggil pengurus, salah seorang daripada mereka tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan ingin membantu membuang kaki tikus tersebut.



Howie kemudian melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Polis Warren dan mengunjungi pusat perubatan.


"Saya berjumpa doktor dan segera mendapatkan suntikan tetanus serta beberapa ubat kumur antibiotik," katanya.


Peguam yang mewakili Howie, Daniel Gwinn berkata, pihaknya terpaksa memfailkan tuntutan mahkamah selepas percubaan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah gagal.


Laman berita tempatan melaporkan jurucakap syarikat Olive Garden berkata pemeriksaan kesihatan dijalankan tidak lama selepas itu, dan dikatakan tidak menemui sebarang pelanggaran atau masalah dengan tikus di restoran itu.


"Syarikat komited untuk menyangkal aduan yang dikemukakan oleh Encik Howie," kata jurucakap syarikat Olive Garden.


Howie menyaman restoran rangkaian Itali yang popular itu sebanyak AS$25,000 (kira-kira RM116,000). - Sumber Mirror UK.


Howie (gambar kanan) menemui kaki tikus ketika menikmati hidangan sup di restoran Olive Garden. - Foto CBS Detroit.

Khamis, 24 Ogos 2023

Lelaki tuntut isteri bayar RM167,586 kerana potong kemaluannya

Lelaki tuntut isteri bayar RM167,586 kerana potong kemaluannya


Seorang lelaki di Indonesia menuntut isterinya membayar 550 juta rupiah (RM167,586) sebagai ganti rugi selepas wanita itu memotong kemaluannya, lapor laman berita Detik.com pada 21 Ogos 2023.


Tuntutan dibuat lelaki berusia 20 tahun terhadap isterinya, 34, dengan kes dibicara di Mahkamah Daerah Solo, minggu ini. Perbicaraan itu telah dihadiri oleh defendan dan mangsa. Bagaimanapun, mangsa tidak masuk ke bilik mahkamah.


Peguam mangsa, Aji Mastoto berkata, anak guamnya perlu menuntut pampasan itu kerana mengalami kecacatan seumur hidup. Wang itu juga dirancang untuk digunakan oleh mangsa mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.


Bagaimanapun, tuntutan mangsa perlu dirujuk kepada Pendakwa Raya (JPU) dan Agensi Perlindungan Saksi dan Mangsa (LPSK) terlebih dahulu.


"Selepas keputusan, kami akan menghantar surat kepada LPSK dan memfailkan kes kepada Mahkamah Sivil," kata Aji seperti dilapor Detik.com.


Sementara itu, peguam defendan, Asri Purwanti berkata, anak guamnya memohon kelonggaran dalam kes berkenaan berikutan wanita itu mengalami tekanan selepas mengahwini mangsa.


"Saya harap pihak pendakwa mempunyai belas ihsan memandangkan defendan seorang wanita dan menanggung dua anak.


"Betul memang dia salah, tetapi kita mohon hukumannya diringankan tambahan lagi dia sanggup menjaga mangsa jika mereka boleh berdamai," katanya.


Pada Mei lalu, media melaporkan, pasangan itu bertengkar ketika dalam perjalanan mencari ibu bapa mangsa di Sukoharjo, Jawa Tengah.


Susulan itu, mangsa memaklumkan mahu berpisah sebelum meminta isterinya pulang ke Bali sendirian dengan menaiki bas.


Bagaimanapun, mereka ada bertemu di sebuah hotel sebelum suspek memotong kemaluan lelaki itu ketika sedang tidur. - Sumber Detikjateng.


Mangsa bersama dua peguamnya, Aji Mastoto dan Indah Prasetiari, pada sidang media di Desa Pajang, Kecamatan Laweyan, Solo, pada Rabu (16/8/2023). - Foto Agil Trisetiawan Putra/detikJateng.

Rabu, 23 Ogos 2023

Lelaki naik jet ski sejauh lebih 300km dari China ke Korea Selatan

Lelaki naik jet ski sejauh lebih 300km dari China ke Korea Selatan

(Gambar hiasan) Kredit: SVTeam/Shutterstock.


Pengawal Pantai Korea Selatan menahan seorang warga China berusia 30-an pada 16 Ogos lalu selepas lelaki itu cuba menceroboh masuk negara ini dengan menaiki jet ski dari republik berkenaan.


BBC News melaporkan pada 22 Ogos 2023, lelaki yang memakai jaket keselamatan dan topi keledar itu menyeberang laut dengan menaiki jet ski 1,800cc dari wilayah Shandong di China.


Lelaki itu melakukan perjalanan sejauh lebih 300 kilometer sebelum tiba di Korea Selatan. Dia menggunakan teropong dan kompas untuk menentukan haluan jet ski itu. Selain itu, ia turut menunda lima tong minyak.


"Dalam perjalanan, dia mengisi semula petrol dan membuang tong (petrol) yang sudah kosong ke laut," kata pengawal pantai itu dalam kenyataan media.


Apabila jet skinya tersangkut di kawasan berlumpur berhampiran terminal kapal persiaran antarabangsa di bandar pelabuhan barat Incheon, lelaki itu terpaksa meminta bantuan.


Pengawal pantai berkata, lelaki yang tidak dikenal pasti itu ditangkap selepas cuba menceroboh masuk ke Incheon.


Pihak berkuasa berkata, mereka tidak menemui sebarang tanda yang menunjukkan lelaki itu adalah seorang pengintip.


Menurut aktivis dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dialogue China, yang berpangkalan di Korea Selatan, Lee Dae-seon, lelaki yang menunggang jet ski itu adalah aktivis hak asasi China, Kwon Pyong.


Kwon, 35, sebelum ini menyiarkan gambar di media sosial yang mengejek Presiden China Xi Jinping, dan pernah dipenjarakan di China kerana aktiviti subversif, kata Lee kepada AFP pada Selasa.


"Walaupun cara dia masuk ke Korea Selatan yang melanggar undang-undang adalah salah, pengawasan pihak berkuasa China dan penganiayaan politik terhadap Kwon sejak 2016 adalah punca kemasukannya ke Korea Selatan.


"Dia kini sedang menimbang sama ada mahu memohon status pelarian di Korea Selatan atau memilih negara ketiga," kata Lee selepas melawat Kwon di pusat tahanan pada hari Selasa.


Korea Selatan hanya memberikan sejumlah suaka untuk pelarian, setiap tahun. Bagaimanapun, kedutaan China di Seoul tidak memberikan ulasan mengenai insiden berkenaan. - Sumber BBC News.


Aktivis hak asasi China Kwon Pyong mengisi minyak jet skinya dengan tong petrol yang di tundanya semasa perjalanan menyeberang laut sejauh 300 kilometer. - Foto SOUTH KOREA COAST GUARD/AFP.

Selasa, 22 Ogos 2023

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran

Sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran


Tular gambar di laman sosial menunjukkan 'keajaiban' apabila sebuah rumah tidak terjejas walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran di Maui dekat Hawaii, Amerika Syarikat.


BBC News melaporkan, rumah kayu berusia 100 tahun di Front Street itu masih utuh berdiri biarpun bandar Lahaina musnah, hingga pemiliknya sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.


Difahamkan, pemilik rumah berbumbung merah itu dalam perjalanan ke Massachusetts ketika mendapat tahu berita kebakaran itu.


Lelaki dikenali sebagai Milikan dan isterinya itu juga menyangka keseluruhan kawasan kejiranan musnah dalam kebakaran. Ajaibnya, rakaman udara keesokan hari menunjukkan rumah mereka masih utuh.


Berdasarkan laporan BBC, dua tahun lalu, pasangan itu membeli kediaman berusia 100 tahun itu yang pernah menjadi penempatan kakitangan sebuah ladang gula.



Millikin dan isterinya berkata rumah itu rosak, jadi mereka berusaha untuk memulihkannya. Mungkin pengubahsuaian inilah yang menyelamatkan rumah itu, kata pasangan itu kepada media tempatan.


Antara inisiatif dilakukan adalah menukar bumbung asfalt dengan bahan diperbuat daripada sejenis logam, meletakkan batu sungai di sekeliling rumah dan membuang tumbuhan di sekitar kediaman itu.


Bagaimanapun, tiada satu pun daripada tindakan itu bertujuan untuk menghalang kebakaran.


Menurut laporan media, kira-kira 850 individu masih hilang. Usaha pencarian dan pemulihan masih diteruskan di Maui, dengan 114 kematian disahkan setakat ini.


Kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar bandar Maui yang bersejarah iaitu Lahaina dan dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii. - Sumber BBC News.


Rumah berbumbung merah di bandar Lahaina, yang terselamat daripada kebakaran itu. - Foto AFP.

Isnin, 21 Ogos 2023

Bomoh ular meninggal dunia dipatuk tedung ketika melakukan persembahan

Bomoh ular meninggal dunia dipatuk tedung ketika melakukan persembahan


Seorang bomoh ular, Rosandi Maulana meninggal dunia selepas dipatuk ular tedung semasa majlis sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia ke-78 pada Jumaat lalu, lapor portal berita serambinews.com pada 21 Ogos 2023.


Ketika kejadian, dia yang berumur 63 tahun dari Desa Cisarua, Kecamatan Cisarua, Sumedang, Jawa Barat sedang melakukan persembahan bersama seekor ular tedung di hadapan sejumlah penonton.


Bagaimanapun, dia yang juga dikenali sebagai Bah Kobra kemudian terbaring dan mengalami kesukaran bernafas manakala terdapat individu menghubungi pasukan perubatan, menyebabkan ambulans tiba di tempat kejadian. 


Dia dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan tetapi kemudian meninggal dunia.


Andrian Saputra, 29, iaitu ketua sebuah pertubuhan persaudaraan, Paguyuban Seni Cisarua menyatakan bomoh itu dipatuk ular di bahagian lengan kirinya ketika melakukan pertunjukan.


"Dia sempat menampilkan beberapa pertunjukan sebelum akhirnya tergigit," kata Andrian.


Difahamkan, ular yang dibawa untuk persembahan itu adalah milik Rosandi dan bersikap agresif, ia sepanjang 3.5 meter dan berat lapan kilogram.


Jenazah Rosandi telah dimakamkan di TPU Desa Cisarua pada Sabtu (19/8/2023) pukul 10.30 pagi (waktu tempatan). - Sumber Tribun News.


Rosandi dipatuk ular tedung ketika melakukan persembahan dengan reptilia itu di Desa Cisrua pada Jumaat lalu. - Foto Kolase Tribunnews.
3 lelaki curi pasu antik Dinasti Ming bernilai RM11.85 juta pada 2019 lalu akhirnya ditangkap

3 lelaki curi pasu antik Dinasti Ming bernilai RM11.85 juta pada 2019 lalu akhirnya ditangkap


Tiga lelaki warga Britain didapati bersalah atas kesalahan mencuri pasu antik Dinasti Ming China bernilai £2 juta (RM11.85 juta), lapor akhbar Daily Mail 10 Ogos lalu.


Artifak yang asalnya dicuri dari Muzium Seni Timur Jauh di Geneva, Switzerland itu berjaya ditemui menerusi satu operasi polis, lapor Agensi Anadolu memetik Polis Metropolitan pada Sabtu.


"Kesemua suspek ditangkap dan didakwa berhubung kes pecah rumah pada Jun 2019 membabitkan kehilangan pasu Dinasti Ming Cina dari Muzium Seni Timur Jauh di Geneva," menurut polis dalam satu kenyataan.


Salah seorang Individu yang disabitkan kesalahan merupakan bekas pemain bola sepak West Ham United berusia 26 tahun, cuba menjual pasu antik bernilai £2 juta itu dengan harga £450,000 sebelum ditangkap.


Kaine Wright, 26, dari Plumstead, dituduh cuba menjual artifak Abad ke-14 dengan bantuan rakan sejenayah Leslie Nkhwa, 47, dan David Lamming, 31 tahun.


Mereka didapati bersalah pada Jumaat kerana bersubahat menukar harta jenayah. Keputusan itu dijatuhkan di Mahkamah Southwark Crown di London.


Sabitan itu susulan kerjasama menyeluruh selama empat tahun antara Polis Metropolitan dan penguatkuasa undang-undang Switzerland, yang akhirnya membawa kepada pasu antik tersebut selamat kembali ke muzium Switzerland.


Artifak yang dicuri, 'pasu' porselin putih, dihasilkan secara teliti semasa pemerintahan Yongle Dinasti Ming, mempunyai sejarah menjangkau berabad-abad lamanya.


Lamming, dari Lewisham, mengakui konspirasi untuk menukar harta jenayah manakala Wright dan Nkhwa menafikan pertuduhan itu.


Wright adalah bekas pemain pasukan remaja dengan West Ham dan Brentford sebelum dia berpindah ke Major League Soccer di Amerika.


Hukuman ke atas Nkhwa, Wright, dan Lamming akan diputuskan oleh mahkamah pada 13 Oktober ini. - Sumber Daily Mail.


Pasu antik Dinasti Ming. - Foto Metropolitan police/PA.

(Wright gambar kiri) tiga lelaki warga Britain didapati bersalah mencuri pasu antik. - Foto News In France.