Jumaat, 25 Ogos 2023

Mulut pelanggan tertusuk kaki tikus ketika hirup sup di restoran terkenal


Sebuah restoran di negeri Michigan berdepan tuntuan mahkamah selepas seorang lelaki menemui kaki tikus di dalam sup yang dihidangkan, lapor akhbar Mirror UK pada 24 Ogos 2023.


Thomas Howie, 54, berkata, dia bersama beberapa rakannya sedang makan di restoran Olive Garden sekitar pukul 6 hingga 6.30 petang (waktu tempatan) 11 Mac lalu apabila merasakan sesuatu tidak kena dengan makanannya.


"Saya merasa sesuatu menusuk mulut dan andaian pertama saya ia adalah jarum," katanya sambil menambah, benda asing itu tertusuk pada bahagian pipi di dalam mulutnya.


Howie terkejut ketika mengeluarkan objek tersebut apabila mendapati ia sebenarnya adalah kaki tikus yang masih lengkap berbulu dan bercakar.


Apabila rakannya memanggil pengurus, salah seorang daripada mereka tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan ingin membantu membuang kaki tikus tersebut.



Howie kemudian melaporkan kejadian itu kepada Jabatan Polis Warren dan mengunjungi pusat perubatan.


"Saya berjumpa doktor dan segera mendapatkan suntikan tetanus serta beberapa ubat kumur antibiotik," katanya.


Peguam yang mewakili Howie, Daniel Gwinn berkata, pihaknya terpaksa memfailkan tuntutan mahkamah selepas percubaan untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah gagal.


Laman berita tempatan melaporkan jurucakap syarikat Olive Garden berkata pemeriksaan kesihatan dijalankan tidak lama selepas itu, dan dikatakan tidak menemui sebarang pelanggaran atau masalah dengan tikus di restoran itu.


"Syarikat komited untuk menyangkal aduan yang dikemukakan oleh Encik Howie," kata jurucakap syarikat Olive Garden.


Howie menyaman restoran rangkaian Itali yang popular itu sebanyak AS$25,000 (kira-kira RM116,000). - Sumber Mirror UK.


Howie (gambar kanan) menemui kaki tikus ketika menikmati hidangan sup di restoran Olive Garden. - Foto CBS Detroit.


EmoticonEmoticon