Khamis, 24 Ogos 2023

Lelaki tuntut isteri bayar RM167,586 kerana potong kemaluannya


Seorang lelaki di Indonesia menuntut isterinya membayar 550 juta rupiah (RM167,586) sebagai ganti rugi selepas wanita itu memotong kemaluannya, lapor laman berita Detik.com pada 21 Ogos 2023.


Tuntutan dibuat lelaki berusia 20 tahun terhadap isterinya, 34, dengan kes dibicara di Mahkamah Daerah Solo, minggu ini. Perbicaraan itu telah dihadiri oleh defendan dan mangsa. Bagaimanapun, mangsa tidak masuk ke bilik mahkamah.


Peguam mangsa, Aji Mastoto berkata, anak guamnya perlu menuntut pampasan itu kerana mengalami kecacatan seumur hidup. Wang itu juga dirancang untuk digunakan oleh mangsa mendapatkan rawatan perubatan di luar negara.


Bagaimanapun, tuntutan mangsa perlu dirujuk kepada Pendakwa Raya (JPU) dan Agensi Perlindungan Saksi dan Mangsa (LPSK) terlebih dahulu.


"Selepas keputusan, kami akan menghantar surat kepada LPSK dan memfailkan kes kepada Mahkamah Sivil," kata Aji seperti dilapor Detik.com.


Sementara itu, peguam defendan, Asri Purwanti berkata, anak guamnya memohon kelonggaran dalam kes berkenaan berikutan wanita itu mengalami tekanan selepas mengahwini mangsa.


"Saya harap pihak pendakwa mempunyai belas ihsan memandangkan defendan seorang wanita dan menanggung dua anak.


"Betul memang dia salah, tetapi kita mohon hukumannya diringankan tambahan lagi dia sanggup menjaga mangsa jika mereka boleh berdamai," katanya.


Pada Mei lalu, media melaporkan, pasangan itu bertengkar ketika dalam perjalanan mencari ibu bapa mangsa di Sukoharjo, Jawa Tengah.


Susulan itu, mangsa memaklumkan mahu berpisah sebelum meminta isterinya pulang ke Bali sendirian dengan menaiki bas.


Bagaimanapun, mereka ada bertemu di sebuah hotel sebelum suspek memotong kemaluan lelaki itu ketika sedang tidur. - Sumber Detikjateng.


Mangsa bersama dua peguamnya, Aji Mastoto dan Indah Prasetiari, pada sidang media di Desa Pajang, Kecamatan Laweyan, Solo, pada Rabu (16/8/2023). - Foto Agil Trisetiawan Putra/detikJateng.


EmoticonEmoticon