Seorang wanita direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, kerana disyaki mencederakan ibu saudaranya menggunakan kayu golf dalam kejadian cubaan samun di sebuah rumah di Parit Raja, semalam.
Difahamkan, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana terdesak untuk membayar hutang.
Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan hari ini oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada jam 3.10 petang semalam ketika mangsa wanita berusia 71 tahun yang juga berstatus Datin berseorangan di rumah sebelum didatangi suspek.
Suspek memasuki rumah dan bertindak memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.
Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan suspek terburu-buru keluar dari rumah dan melarikan diri sambil membawa kayu golf.
Jiran mangsa kemudian bergegas ke rumahnya dan mendapati wanita itu berlumuran darah sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Mangsa kemudian ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan ditahan di wad untuk pemeriksaan pakar.
Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Parit Raja bagi membantu siasatan. Selain tangkapan, polis turut merampas kayu golf yang digunakan untuk mencederakan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

EmoticonEmoticon