Isnin, 28 Ogos 2023

Pekerja car wash tiada lesen memandu, pandu Lamborghini pelanggan rempuh lori


Seorang pekerja kedai cuci kereta di Singapura ditahan selepas memandu sebuah Lamborghini milik seorang pelanggan sehingga menyebabkan kereta itu hilang kawalan, lalu merempuh empat kenderaan lain, lapor portal berita Stomp pada 27 Ogos 2023.


Dalam kejadian yang berlaku di premis Revel Studio, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerima laporan mengenai kemalangan yang berlaku di Plaza WCEGA, Bukit Batok Crescent sekitar pukul 12.20 tengah hari (waktu tempatan), Selasa lalu.


Sebuah klip video yang tular di media sosial memaparkan situasi di mana Lamborghini berwarna merah jambu itu diletakkan di hadapan kawasan cuci kereta.


Sejurus pintu kanan di sebelah tempat duduk pemandu dibuka lampu isyarat kanan kereta mula berkelip, kereta itu kemudian memecut laju secara tiba-tiba dan merempuh sebuah lori di hadapannya.


Hentakan itu, yang meremukkan bonet Lamborghini, mendorong lori itu ke belakang sejauh hampir satu kereta. Tiga kenderaan yang diletakkan berhampiran lori itu turut mengalami kerosakan.


Pekerja berusia 23 tahun itu ditahan polis kerana menyebabkan kecederaan dengan perbuatan terburu-buru, manakala siasatan kes itu masih dijalankan. Dia dilaporkan tidak memiliki lesen memandu.


Pemilik Lamborghini ialah seorang wanita berusia 28 tahun, lapor Shin Min Daily News pada hari Jumaat.


Peguam Amolat Singh, rakan kongsi pengurusan Amolat & Partners, berkata seseorang individu memerlukan lesen memandu selagi dia mengawal kereta, walaupun "jika dia hanya memandu dalam jarak yang dekat".


"Pemilik Lamborghini boleh menyaman syarikat untuk pampasan kerana pekerja yang memandu kereta itu bertindak sebagai pekhidmat atau ejen mencuci kereta," kata Encik Singh.


Tambahnya, bahawa pemilik syarikat itu kemudiannya akan "bertanggungjawab secara wakil" atas tindakan pekerja itu.


"Jika cucian kereta itu mempunyai insurans liabiliti awam, ini mungkin meliputi kos guaman dan kerosakan lain," katanya. - Sumber Stomp.


Lamborghini itu merempuh sebuah lori selepas memecut laju ke hadapan. - Foto Stomp.


EmoticonEmoticon