Pusat pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pentagon dilaporkan sedang menjejaki belon pengintip China yang terbang tinggi melintasi ruang udara negara berkenaan, lapor akhbar Daily Mail pada 3 Februari 2023.
Kewujudan belon bersaiz sebesar tiga bas itu dikatakan berlaku hanya beberapa hari sebelum lawatan diplomat tertinggi AS ke Beijing.
Presiden AS, Joe Biden mencadangkan belon altitud tinggi itu harus ditembak jatuh, meminta Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin dan pegawai tinggi tentera mempertimbangkan untuk berbuat demikian.
Namun, keputusan menembak belon itu mungkin membahayakan orang awam walaupun tidak menimbulkan ancaman kepada penerbangan awam.
"Jelas sekali, tujuan belon ini adalah untuk pengawasan," kata pegawai tentera itu yang tidak mahu namanya disiarkan.
Pegawai tentera itu menambah, belon itu terbang di barat laut AS di mana terdapat pangkalan udara dan peluru berpandu nuklear bawah tanah, tetapi Pentagon tidak percaya ia merupakan ancaman perisikan yang sangat berbahaya.
Kata pegawai itu lagi, pihaknya menilai belon berkenaan mempunyai nilai yang terhad dari perspektif pengumpulan perisikan.
Memetik lapor BBC semalam, Kementerian Luar China dalam satu kenyataan mengakui objek yang berlegar-legar di ruang udara sebuah negeri di AS merupakan 'belon udara' milik kerajaannya yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca.
Menurut kenyataan itu, China menyatakan kekesalan bahawa belon udara yang digunakan bagi tujuan meteorologi dan misi saintifik menyimpang keluar dari laluan perjalanan yang dirancang dan tersasar ke ruang udara AS.
"Belon udara itu menyimpang jauh daripada laluan dirancang disebabkan terjejas akibat angin barat dengan keupayaan pemanduan kendiri yang terhad.
"China kesal dengan kemasukan belon udara yang tidak disengajakan ke ruang udara AS disebabkan force majeure," jelas kenyataan itu.
Force majeure bermakna sesuatu keadaan luar jangka yang berlaku di luar kawalan munasabah pihak yang terbabit dan pihak yang terkesan itu tidak dapat mencegah, mengelak atau menghilangkan.
Sementara itu, pegawai pertahanan AS memaklumkan pihaknya percaya belon itu yang berlegar di ruang udara kawasan sensitif sejak kebelakangan ini, merupakan 'peranti pengawasan beraltitud tinggi'.
Katanya, pihaknya kini sedang menjejaki belon itu di atas benua AS. Jelas pihak berkuasa, objek itu terbang di ruang udara Kepulauan Aleutian Alaska dan melalui Kanada sebelum muncul di Montana.
Penemuan belon itu hanya beberapa hari sebelum lawatan yang dijadualkan ke China oleh Setiausaha Negara AS, Antony Blinken bagi menguruskan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua kuasa itu.
Lawatan Blinken ke Beijing akan menjadi lawatan pertama ke negara Asia oleh diplomat tertinggi Amerika Syarikat sejak 2018.
Di samping pertikaian berterusan mengenai perdagangan dan harta intelek, hubungan antara kedua-dua negara sudah renggang terutamanya berhubung Taiwan yang ditadbir secara demokratik dan China berikrar untuk merampasnya semula.
AS menjual senjata kepada Taiwan untuk mempertahankan diri dan Biden berkata Washington akan membantu melindungi pulau itu jika China menyerang. - Sumber Daily Mail.
Pentagon berkata bahawa ia sedang menjejaki belon pengintip China terbang tinggi di atas Amerika Syarikat yang kelihatan sedang mengawasi tapak senjata nuklear yang sangat sensitif. - Foto Daily Mail.