Sabtu, 28 Januari 2023

Bekas angkasawan yang berjaya menjejakkan kaki di Bulan berkahwin kali keempat di usia 93 tahun


Bekas angkasawan NASA Buzz Aldrin berkahwin buat kali keempat dengan kekasihnya pada hari lahir ke-93 Jumaat lalu, lapor Akhbar Daily Mail pada 21 Januari 2023.


"Pada hari lahir ke-93 dan pada hari bakal dikurnia penghormatan oleh Living Legends of Aviation, saya dengan sukacitanya mengumumkan cinta lama Dr Anca Faur dan saya telah berkahwin.


"Kami disatukan dalam satu majlis peribadi di Los Angeles dan teruja seperti remaja kahwin lari," tulis Aldrin di Twitter pada Sabtu.


Beliau menitip dua gambar dirinya memakai tuksedo dan Faur memakai gaun bergemerlapan berlengan panjang. Dr Faur, 63, yang memiliki PhD dalam kejuruteraan kimia ialah naib presiden eksekutif syarikat Aldrin, Buzz Aldrin Ventures.



Aldrin turut mengucapkan terima kasih kepada peminat atas ucapan selamat ulang tahun mereka dalam satu lagi tweet. Aldrin sudah berkahwin sebanyak tiga kali sebelum ini dan mempunyai tiga orang anak.


Aldrin, atau nama penuhnya Edwin Eugene Aldrin Jr, dilahirkan pada 20 Januari 1930 di Glen Ridge, New Jersey, Amerika Syarikat.


Aldrin pertama kali berkahwin pada 1954 ketika berusia 24 tahun dengan Joan Archer. Perkahwinan kedua Aldrin adalah dengan Beverly Van Zile (1975–1978), dan kemudiannya dengan Lois Driggs Cannon (1988–2012).


Perceraian Aldrin pada 2012 menyaksikan beliau perlu membayar bekas isterinya 30 peratus daripada pendapatan semasa.


Beliau menyertai misi Apollo 11 pada tahun 1969, menjadi individu kedua yang berjaya menjejakkan kaki di bulan selepas Neil Armstrong. - Sumber Daily Mail.


Dari kiri ke kanan, Neil Armstrong, Michael Collins, dan Buzz Aldrin, Jr. bergambar potret dalam sut angkasa mereka di hadapan tirai latar yang menunjukkan Bulan. - Foto Corbis via getty images.

Buzz Aldrin bersama isterinya, Anca Faur tiba di Pusat Angkasa Kennedy. - Foto AP.


EmoticonEmoticon