Seorang wanita di China mengalami kecederaan serius apabila lima tulang rusuknya patah dan satu lagi mengalami keretakan halus selepas dipeluk suaminya sendiri.
Menurut laporan media, kejadian berlaku apabila wanita itu memberitahu suaminya yang hanya dikenali sebagai Wang bahawa dia berasa sejuk.
Wang kemudian memeluk isterinya seperti biasa untuk memberikan kehangatan, namun pasangan itu terkejut apabila terdengar bunyi retakan sebelum wanita berkenaan tiba-tiba terduduk kesakitan dan sukar untuk berdiri.
Pada mulanya, wanita itu menyangka kecederaan berkenaan hanya ketegangan otot biasa. Namun, selepas menahan kesakitan selama sehari, dia akhirnya mendapatkan rawatan di hospital.
Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) mendapati lima tulang rusuknya patah, manakala satu lagi mengalami keretakan halus.
Doktor memaklumkan kecederaan itu berpunca daripada osteoporosis yang teruk sehingga menyebabkan tulangnya terlalu rapuh dan mudah patah walaupun akibat tekanan ringan.
Wanita itu dibenarkan pulang dengan bekalan ubat serta tampalan bagi membantu proses pemulihan. Dia juga dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak memerlukan pembedahan.
Menurut Wang, isterinya mempunyai berat badan antara 45 hingga 50 kilogram serta sering mengamalkan diet ketat, termasuk tidak mengambil makan malam.
Wanita itu juga dikatakan minum kopi setiap hari, jarang keluar rumah dan sentiasa menutup seluruh tubuh ketika berada di luar bagi mengelakkan cahaya matahari.
Doktor menjelaskan bahawa kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari boleh menjejaskan penghasilan vitamin D, yang penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.
Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis ialah penyakit yang menyebabkan ketumpatan tulang berkurangan, sekali gus menjadikan tulang lebih lemah dan meningkatkan risiko patah.
Kini, wanita berkenaan memberi tumpuan kepada proses pemulihan di rumah serta mula mengubah gaya hidup dengan lebih kerap mendapatkan cahaya matahari dan memastikan pengambilan kalsium mencukupi.

EmoticonEmoticon