Sabtu, 4 Februari 2023

Minum sampai 10 botol tapi tak nak bayar, malah berani tumbuk pemilik kedai depan polis


Seorang lelaki warga asing bertindak berani memukul seorang pemilik kedai makan di hadapan beberapa pegawai polis, dalam satu kejadian di Bangsar, Kuala Lumpur malam semalam.


Menerusi video yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial, lelaki warga asing tersebut dipercayai enggan membayar kepada pemilik restoran sehingga terlibat dalam pergaduhan sebelum polis datang untuk meleraikan.


"Lelaki ini minum dan makan dekat sebuah kedai. Dia minum nak dekat 10 botol tetapi tiada duit nak bayar. Lepas itu, kurang ajar dengan pemilik dan cari gaduh.


"Dia yang mula menumbuk dulu, lepas itu baru pemilik balas. Mereka bergaduh sampai polis leraikan," menurut keterangan dari video tersebut.


Walau bagaimanapun, ketika pihak polis sedang menyoal siasat, lelaki warga asing itu bertindak bangun dan menumbuk pemilik kedai terbabit di hadapan pegawai polis.


Pihak polis kemudiannya mengawal segera situasi tersebut dan pemilik kedai diberikan bantuan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.


Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang mengecam tindakan lelaki warga asing itu yang dianggap sengaja menimbulkan pergaduhan gara-gara tidak ingin membayar.


"Kenapa dia perlu sebut banyak kali dia datang dari negara mana? Negara kita pun ada undang-undang, harap diberikan hukuman setimpal," komen seorang netizen.


"Sudahlah makan dan minum lepas itu tidak mahu bayar, lagi mahu cari gaduh dengan orang," komen pengguna yang lain pula. - Sumber Kosmo.


Tangkap layar video tular insiden pergaduhan melibatkan seorang lelaki kulit hitam dengan warga tempatan ketika sedang makan di sebuah restoran.


EmoticonEmoticon