Isnin, 6 Februari 2023

Lelaki temui wang lama bernilai RM241,000 dalam dinding rumah


Seorang lelaki Sepanyol menemui enam bekas tin berisi wang tunai lama negara itu yang bersamaan dengan nilai £47,000 (RM241,241) semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya, lapor akhbar The Sun pada 1 Februari 2023.


Bagaimanapun, keterujaan lelaki itu, Tono Pineiro tidak lama kerana Bank of Spain tidak lagi menerima wang tersebut kerana ia telah menghentikan pengeluaran wang kertas lama tersebut iaitu pada tahun 2002.


Peseta (sebutan wang lama Sepanyol) telah dihapuskan secara berperingkat selepas Sepanyol menerima pakai euro pada tahun 2002. Bank of Spain menganggarkan kira-kira 1.6 bilion euro wang kertas lama dan syiling tidak ditukar sebelum tarikh akhir.


"Saya menghubungi mereka, tetapi mereka memberitahu saya bahawa ia tidak mungkin lagi (menukar wang tersebut)," kata Pineiro.


Namun, dua bekas tin berisi wang tunai lama itu masih boleh ditukar sebelum tarikh akhir Jun 2021, jadi dia dapat menukarnya kira-kira £30,000 (RM153,984) kepada mata wang baharu.


Menurut akhbar Daily Star, Pineiro menemui sejumlah enam bekas tin berisi wang tunai lama itu di pelbagai bahagian rumah yang sedang diubah suainya.


"Saya rasa mereka menyimpan bekas ini untuk mengelakkan kelembapan. Bekas yang terakhir agak rosak, tetapi yang lain tidak," kata Pineiro.


Rumah itu telah ditinggalkan selama empat dekad apabila Pineiro, yang dibesarkan di wilayah itu, melihatnya untuk dijual di Facebook. Dia kemudian membeli rumah itu untuk persaraannya.


"Rumah itu sebelum ini milik Manuel do Xentes, seorang pekerja di kilang bata Canabal yang juga peniaga lembu. Dia meninggal dunia tanpa waris, meninggalkan kekayaannya untuk ditemui di dinding lebih daripada 40 tahun kemudian," kata jiran Pineiro.


Sebahagian daripada wang tunainya yang lapuk itu akan disimpan lelaki itu sebagai kenang-kenangan. - Sumber The Sun.


Tono Pineiro menemui wang tunai lama Sepanyol semasa melakukan kerja-kerja pengubahsuaian rumah. - Foto AGENCIA ATLAS / EFE.






EmoticonEmoticon