Pemandu Proton Wira yang dirakam memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dekat Kilometer (KM) 278.3 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), Nilai semalam, sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan di Selangor, kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
"Susulan kemalangan membabitkan Proton Wira dan Perodua Axia yang berlaku pagi semalam dan video kejadiannya tular di media sosial, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai menjalankan siasatan dan memburu suspek terbabit.
"Pihak kami berjaya mengesan pemandu Proton Wira dan menahannya di rumahnya di Puchong, Selangor, tengah malam tadi, sebelum dibawa ke BSPTD Nilai untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod mendapati lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang itu tidak mempunyai rekod jenayah.
"Lesen memandunya juga masih aktif, namun cukai dan perlindungan insurans kenderaan yang digunakan didapati sudah tamat tempoh pada Mei lalu. Bagaimanapun, suspek bukan pemilik kereta itu.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pagi ini untuk direman bagi siasatan lanjut," katanya.
Media semalam melaporkan polis mengesan pemandu Proton Wira yang didapati memandu dalam keadaan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan, yang videonya tular di media sosial.
Kejadian dipercayai berlaku 9.10 pagi semalam dan Proton Wira terbabit dipercayai seolah bersaing dengan sebuah lagi kereta sebelum dilihat menghimpit Perodua Axia.
Johari dilaporkan berkata, ia menyebabkan Perodua Axia berpusing dan terbabas ke bahu jalan, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.






























