Seramai 13 individu maut selepas sebuah pesawat kecil yang membawa pelancong asing untuk menyaksikan tapak arkeologi terkenal Garisan Nazca di Peru terhempas semalam.
Nahas berlaku selepas jam 1 tengah hari waktu tempatan (1800 GMT), sebaik pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Pisco, kira-kira 240 kilometer di selatan ibu negara, Lima.
Major Polis, Jorge Andrade, berkata semua mangsa yang terkorban membabitkan 11 penumpang dan dua kru pesawat.
"Kami menerima maklumat bahawa 11 penumpang dan dua anggota kru telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita di lokasi nahas.
"Berdasarkan tahap kemusnahan nahas itu, tiada mangsa yang terselamat. Setakat ini, kami telah menemukan empat mayat," katanya tanpa mendedahkan identiti mangsa.
Andrade bagaimanapun tidak memberikan sebarang petunjuk awal berhubung punca nahas itu.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Peru akan menjalankan siasatan, manakala pegawai penyiasat sudah berada di lokasi bagi mengumpulkan bukti.
Anggota bomba dan polis turut menjalankan operasi di lokasi kejadian di tengah-tengah bangkai pesawat yang remuk serta masih berasap, berdasarkan imej yang dikongsi media tempatan menerusi Facebook.
Kementerian Perdagangan Luar Peru dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua 11 penumpang adalah pelancong asing dan pihaknya akan memberikan bantuan kepada kedutaan negara yang terbabit.
Sementara itu, stesen radio RPP melaporkan mangsa yang terkorban terdiri daripada tujuh warga Itali, dua warga Jerman dan dua warga Sepanyol.


EmoticonEmoticon