Suami isteri ditahan bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir puteh, malam semalam. Mereka yang berusia 20 hingga 56 tahun ditahan jam 8 malam oleh Batalion 7 menerusi Ops Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, ketika serbuan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat pasangan suami berada di rumah berkenaan.
"Bagaimanapun pemeriksaan lanjut mendapati tiga wanita warga Indonesia bersembunyi di ruang tamu rumah berkenaan. Susulan itu, kita menemui lima lelaki warga Indonesia berada dalam stor belakang rumah terbabit.
"Semua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan pasangan suami isteri serta warga Indonesia berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
"Susulan tangkapan berkenaan kita merampas 10 unit telefon bimbit, satu unit rantai, mangga kunci dan anak kunci bernilai RM22,000. Ujian air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif," katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek warga Indonesia masuk ke Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar sungai Kelantan pada kelmarin sebelum dihantar ke rumah berkenaan.
"Kemasukan mereka diurus oleh ejen Indonesia yang tinggal di Indonesia dengan bayaran RM4,000 seorang.
"Mereka mengaku ingin ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan yang akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Atipsom 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

EmoticonEmoticon