Ahad, 2 Ogos 2026

134 kes curi meter air direkodkan di Kuala Terengganu, Marang


Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) merekodkan sebanyak 134 kes kecurian meter air yang berlaku di daerah Kuala Terengganu dan Marang sejak Julai lalu.


Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, kes berkenaan dipercayai dilakukan secara terancang dan bukannya kes terpencil memandangkan ia berlaku secara serentak di beberapa kawasan perumahan.


Menurutnya, lebih membimbangkan terdapat meter air yang baharu dipasang dan belum diaktifkan turut menjadi sasaran pencuri.


"Kejadian ini bermula Julai lalu secara mengejut di mana penduduk bangun pagi mendapati meter air mereka sudah hilang. Awalnya kita ingat ia kes terpencil membabitkan individu mencuri besi, tetapi berdasarkan corak (pattern) kejadian, ia lebih kepada tindakan terancang.


"Pencuri sasarkan kawasan perumahan dan 'menyah' satu-satu kawasan taman dalam satu malam," katanya ketika ditemui sempena Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) menerusi pencapaian Pendakian Berkumpulan Paling Ramai oleh Kakitangan Operator Air di Malaysia di Kuala Terengganu hari ini.


Sebelum ini, media melaporkan misteri kehilangan meter air yang semakin berleluasa sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang mencetuskan tanda tanya serta keresahan dalam kalangan penduduk setempat.


Isu berkenaan mendapat perhatian ramai selepas ditularkan di media sosial termasuk hantaran video mengenai kehilangan meter air terbaharu yang dikongsikan pengguna di platform tersebut.


Sementara itu, Abdul Karim memberitahu, kos bagi setiap meter air termasuk kos pemasangan adalah kurang daripada RM200 bagi setiap satu unit, namun kerugian sebenar yang ditanggung lebih kepada pembaziran bekalan air dan gangguan kepada pengguna.


Jelasnya, tindakan pencuri yang tidak menutup aliran bekalan selepas mencuri meter menyebabkan air bersih terbuang begitu sahaja sepanjang malam.


"Bagi mengatasi isu ini, SATU telah membuat beberapa laporan polis dan dijadualkan mengadakan perjumpaan khas bersama Ketua Polis Negeri Terengganu esok bagi membincangkan langkah pencegahan serta tindakan lanjut.


"Pihak kami juga memberi keutamaan untuk menggantikan meter air yang hilang secepat mungkin bagi menghentikan pembaziran air," katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna terjejas supaya membuat laporan segera kepada pihak SATU dan memperkasakan persatuan penduduk setempat bagi memantau kawasan kediaman masing-masing.


Mengulas mengenai kos penggantian meter yang dicuri, Abdul Karim menjelaskan ia tertakluk kepada ketetapan perniagaan syarikat berdasarkan senario kes, sama ada meter berada di dalam atau di luar pagar premis pengguna.


Tangkap layar video tular menunjukkan meter air yang hilang dan mencetuskan tanda tanya penduduk setempat.


EmoticonEmoticon