Sabtu, 11 Julai 2026

Empat penunggang RX-Z maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT menghala ke Kemaman


Empat penunggang motosikal Yamaha RX-Z maut dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kemaman pada awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam nahas kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dan Mohd Aizat Husni, 33 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Menurutnya, seorang lagi penunggang, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


"Penumpang belakang kereta jenis Toyota Vios, Nur Irish Adelia Aziz, 13, dilaporkan cedera di bahagian tengkuk dan dihantar menerima rawatan di hospital sama manakala pemandu, Muhammad Irfan Aziz, 25 tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Butiran penunggang lapan lagi penunggang masih belum diperolehi," katanya.


Ashari berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kereta terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke arah Kemaman.


Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, semasa bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah motosikal terlanggar bahagian belakang kereta tersebut.


"Penunggang motosikal dipercayai terjatuh di lorong kanan menyebabkan penunggang tiga lagi motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri.


"Akibat kemalangan tersebut, tiga penunggang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.





This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon