Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini, atas empat pertuduhan termasuk membunuh dua remaja sekolah, Ahad lalu.
Mengikut pertuduhan, Alex Robert, 28, didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan, jam 6.35 petang pada 26 Julai lalu.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan ke atas kedua-dua pertuduhan berikutan kes terbabit berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh membawa hukuman mati atau penjara bagi tempoh tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak digantung sampai mati hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali sebatan.
Bagi pertuduhan ketiga, pekerja swasta di Singapura itu juga didakwa memandu kenderaan jenis Honda Civic di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kegagalan (tidak berdaya) mengawal kenderaan dengan sepatutnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah, 7, pada masa, lokasi dan tarikh yang sama.
Dalam insiden sama, tertuduh turut didakwa memandu kenderaan yang sama tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan kepada A Suresh, 50.
Pertuduhan masing-masing dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 serta berhadapan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 dan juga boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan dan diendorskan pada mana-mana lesen memandu yang dipegang tertuduh.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam, Koh Shean Wai.
Pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan baharu bagi memperolehi laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan berkaitan sebelum pertuduhan dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Majistret kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 September 2026.

EmoticonEmoticon