Tindakan Polis Kelantan mengarahkan setiap ketua balai menahan seorang penagih setiap hari adalah strategi dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya memahami mengapa Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengambil langkah itu selepas negeri terbabit mencatat jumlah kes berkaitan dadah yang tinggi.
Katanya, selain Kelantan, negeri seperti Kedah, Perlis dan Terengganu turut berhadapan masalah sama apabila pihak berkuasa berhadapan cabaran dalam menangani kes berkaitan dadah.
"Di Kelantan hampir tak ada kampung yang terlepas dari masalah ini. Kuala Krai, Bachok, Tanah Merah, Pasir Mas, Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang adalah jajahan yang mencatatkan angka mereka yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang yang serius.
"Antara penjara paling sesak di Malaysia adalah di Pengkalan Chepa, di situ kita letakkan mereka yang sudah sabit hukuman dan direman. Bagi setiap 100 penghuni penjara yang sesak itu, 75 daripadanya adalah mereka terbabit dadah.
"Satu lagi adalah Penjara Machang yang jadi penjara sabitan. Bagi setiap 100 penghuninya, 95 adalah masalah dadah," katanya selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Berangkat merasmikan majlis adalah Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Sultan Badlishah.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, kebanyakan penghuni dua penjara terbabit didapati melakukan kesalahan seperti memasukkan dadah ke dalam badan selain memiliki dadah dalam jumlah tertentu.
Katanya, KDN juga menyerahkan kepada Bukit Aman jika mahu melaksanakan kaedah menahan pesalah kes dadah yang diguna pakai di Kelantan di negeri lain selepas ini.
"Jadi apabila Ketua Polis Kelantan gesa ketua balai di bawahnya membuat gerakan menyeluruh, itu sesuai dengan tahap masalah itu di Kelantan ketika ini.
"Sama ada kaedah sama akan digunakan di negeri lain, itu saya serahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman untuk buat keputusan.
"Ini kerana mereka yang melakukan proses pemetaan, profiling dan mempunyai maklumat lengkap berkaitan kes dadah atau kekal status quo seperti sekarang," katanya.
Baru-baru ini, Polis Kelantan memperkenalkan pelan strategi baharu dalam usaha mengekang pengedaran dadah di negeri ini termasuk setiap ketua balai perlu menahan sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pelan strategi itu dilakukan lebih menyeluruh dan berfokus membabitkan semua peringkat.
Katanya, mana-mana pegawai dan anggota yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.


EmoticonEmoticon