Polis sedang menyiasat rakaman video kamera papan pemuka tular di media sosial membabitkan aksi berbahaya membabitkan sekumpulan penunggang motosikal sebelum nahas meragut empat nyawa dan 20 cedera di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata berdasarkan siasatan lanjut kumpulan penunggang motosikal terbabit dipercayai berlumba.
"Lebih 30 motosikal terbabit dalam kemalangan itu," katanya ketika dihubungi.
Sejurus kejadian, tular di media sosial video berdurasi satu minit dirakam jam 12.05 tengah malam tadi, memaparkan beberapa penunggang motosikal jenama Yamaha RXZ melakukan aksi 'superman' di LPT1.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, empat maut dan 20 cedera selepas lebih 30 motosikal dan sebuah kereta terbabit dengan kemalangan.
Nahas berlaku selepas sebuah motosikal terlanggar belakang sebuah kereta di lorong kanan lebuh raya dan menyebabkan beberapa lagi penunggang tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan.
Ketika kejadian semua motosikal dan kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman, Terengganu.
Kemalangan menyebabkan Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.
Seorang lagi mangsa Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Seramai 18 mangsa tercedera dihantar ke HTAA serta dua lagi di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Pengurus Operasi sebuah restoran terkenal di Indera Mahkota, Rizuan Abdullah, 44, berkata semua mangsa termasuk hampir 100 penunggang motosikal berkunjung ke premisnya malam tadi untuk jamuan makan malam.
Menurutnya, sebahagian besar mereka adalah penunggang motosikal Yamaha RZX dari Terengganu dan sekitar Kuantan.
"Semua mereka pulang selepas jam 12 tengah malam setelah hujan berhenti dan kira-kira jam 1.30 pagi, saya dimaklumkan oleh rakan mangsa mengenai kemalangan itu. Sejak kejadian itu, ramai pengguna media sosial mengecam mangsa terbabit dengan nahas itu.
"Saya berharap netizen tidak mengecam mangsa dan mereka cuma menunggang motosikal secara santai untuk kepuasan dan hobi," katanya ketika ditemui di HTAA.


EmoticonEmoticon