Seorang pekerja kebun warga Bangladesh dihadap ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, Selasa lalu.
Tertuduh, Md Habibullah, 28 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ameera Mastura Khamis.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kenderaan jenis Nissan Almera memandu kenderaan tersebut di atas jalan raya dengan cara yang melulu sehingga menyebabkan kematian Muhammad Jafni Baharudin, 29.
Habibullah didakwa melakukan kesalahan itu di simpang empat lampu isyarat Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam, 8.23 malam, Selasa lalu, mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Timbalan Pendakwa Raya Alia Anisa Khairus Masnan tidak mencadangkan sebarang jaminan manakala Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi dan M Partiben memohon mahkamah membenarkan tertuduh dijamin dengan alasan tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga di negara asal serta baru sahaja menerima cahaya mata minggu lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan dua penjamin warganegara beserta syarat perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berdekatan, lesen memandu ditarik dan digantung sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Partiben berkata, majikan anak guamnya akan membayar wang jaminan tersebut.
"Majikannya juga akan memastikan pekerja itu hadir ke mahkamah pada setiap sebutan kes dan mematuhi semua syarat tambahan yang ditetapkan.
"Ketika kejadian, anak guam tidak berada di bawah pengaruh alkohol, jadi kami berharap masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini dan menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menilai fakta serta keterangan.
"Ini bukan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sebaliknya anak guam didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kakak mangsa merayu bantuan orang ramai untuk mengesan pemilik rakaman kamera papan pemuka berhubung kemalangan yang meragut nyawa adik lelakinya.
Hantaran itu mendapat perhatian ramai termasuk rakan-rakan Allahyarham yang berkongsi kenangan dan memuji keperibadian mangsa ketika hayatnya.


EmoticonEmoticon