Jumaat, 24 Julai 2026

11 lelaki didakwa di mahkamah jadi ahli 'Geng Vinod' kumpulan yang dikaitkan jenayah terancang


Seramai 11 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Vinod' sejak 2024.


Tertuduh, T Saarvin, 21; R Shervinkumar 23; J M Kishaan, 24; N A N Viknesvaran, 27; S Sri Tharan, 27; M Surenthar, 27; M Naviedran, 29; Muhammad Vinod Saktivel, 30; G Sanggeethan, 31; M Puvaneswaran, 34 dan Lawrence Alfred, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly.


Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tuduhan kumpulan jenayah terancang di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 14 September hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri. Manakala tertuduh diwakili oleh peguam T Mishant dan Shashi Devan.


Terdahulu, semua suspek tiba di kompleks Mahkamah Sepang pada jam 9 pagi, diiringi kawalan ketat oleh pasukan D9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata semua suspek warga tempatan berusia 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada 23 dan 24 Jun lalu.


Beliau berkata, operasi berkenaan dilancarkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor bagi membanteras kumpulan jenayah terancang itu.


Kumar dilaporkan berkata, Geng Vinod diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli berusia antara 20 hingga 34 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.


Beliau berkata, kumpulan itu dikaitkan kes rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata serta khianat.


EmoticonEmoticon