Jumaat, 24 Julai 2026

Anggota polis marin didakwa terima suapan bulanan dari syarikat perikanan dan pemborong makanan laut


Anggota polis marin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas enam pertuduhan menerima bayaran bulanan tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mempunyai kaitan dengan tugasnya.


Tertuduh, Ramli Osman, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.


Mengikut enam pertuduhan, tertuduh sebagai Koperal Polis Marin yang bertugas di Kuala Kedah, menerima wang berjumlah keseluruhan RM3,000 dengan tiada balasan daripada seorang pengurus syarikat perikanan dan pemborong makanan laut.


Ia melalui enam pindahan atas talian menerusi akaun milik seorang wanita ke akaun bank milik tertuduh, yang mana tertuduh tahu lelaki itu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.


Perbuatan itu dilakukan dari 30 Ogos 2022 hingga 31 Januari 2023 di sebuah cawangan bank di Kuala Klawang, Jelebu.


Justeru itu, tertuduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya.


Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atikah Ab Rashid menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk semua pertuduhan.


Peguam Jonathan Joseph Lim Bing Wee memberitahu mahkamah, tertuduh sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak serta penanggung utama keluarga.


Dia mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan tertuduh memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan selain tidak mempunyai rekod jenayah.


Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan.


Pihak pendakwaan juga memohon supaya sebutan seterusnya dan perbicaraan dilakukan di Mahkamah Sesyen Alor Setar sebelum mahkamah bersetuju dengan perkara itu.


EmoticonEmoticon