Selasa, 1 September 2026

Dua RXZ bergesel dan dilanggar SUV, seorang penunggang maut tercampak ke longkang


Penunggang motosikal Yamaha RXZ maut selepas motosikalnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Kuala Berang, malam tadi.


Dalam kejadian pada 11.45 malam itu, Mohd Yusri Rusdi, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Honda HR-V dan dua motosikal Yamaha RXZ yang dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Telemong.


Menurutnya, siasatan awal mendapati ketiga kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cherating, Pahang menuju ke Kuala Terengganu.


"Ketika tiba di lokasi kejadian, dua motosikal berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri sebelum terjatuh ke atas jalan raya.


"SUV yang datang dari arah belakang kemudian melanggar penunggang motosikal yang terjatuh di lorong kanan," katanya.


Menurutnya, mangsa kemudiannya tercampak ke longkang di sebelah kiri jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Katanya, mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat," katanya.


Beliau berkata, seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 34 tahun mengalami patah tangan kanan serta luka pada badan dan menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu.


Katanya, pemandu Honda HR-V dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya menasihati pengguna jalan raya lebih berwaspada terutama ketika musim cuti persekolahan berikutan pertambahan jumlah kenderaan," katanya.


EmoticonEmoticon