Empat individu ditahan susulan penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah di tepi jalan Taman West Country di Kajang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 26 tahun cedera dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenalinya.
"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan gerakan untuk mengesan suspek.
"Polis berjaya menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar daerah ini malam semalam dan awal pagi hari ini (Ahad).
"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, serta direman empat hari bermula semalam.
Katanya, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit negatif dadah manakala seorang positif metamfetamin.
"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan membawa senjata atau sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata.
"Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan," katanya.
Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian ini.

EmoticonEmoticon