Kes kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai bulan lalu memasuki perkembangan mengejutkan apabila seorang suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh, manakala dua lagi atas kesalahan cubaan membunuh.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 21 suspek ditahan, terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 31 tahun, dalam beberapa operasi di Johor Bahru, Kulai dan Selangor.
Katanya, kesemua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.
"Seorang suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 atas kesalahan cubaan membunuh dan empat lagi mengikut Seksyen 426 atas kesalahan khianat.
"Seramai 14 suspek yang lain akan menjadi saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya, hari ini.
Rahaman berkata, seramai 14 daripada 21 suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing awal terhadap kesemua suspek didapati negatif.
Katanya, polis melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor Isnin lalu, sebelum arahan untuk pertuduhan dikeluarkan semalam.
Dalam kejadian jam 12.38 tengah malam pada 25 Ogos lalu, mangsa berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah maut dalam kemalangan di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.
Mangsa ketika itu menaiki sebuah Perodua Myvi bersama empat rakannya selepas makan malam apabila beberapa kenderaan dipercayai mula mengekori mereka.
Polis sebelum ini memaklumkan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai merempuh Perodua Myvi di bulatan terbabit, menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan.
Mangsa dipercayai dilanggar oleh Vellfire berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes itu pada mulanya disiasat sebagai kemalangan jalan raya sebelum diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan siasatan polis serta keterangan yang diperoleh daripada suspek.
Dalam siasatan berkenaan, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Kia Forte, Toyota Hilux, 12 telefon bimbit dan dua batang besi, termasuk baton serta kayu besbol.
Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru.

EmoticonEmoticon