Ahad, 26 Mac 2023

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul


Seekor kuda belang mencetus kekecohan di kawasan jalan raya yang sibuk di Seoul, Korea Selatan, setelah haiwan itu terlepas dari kandang sebuah zoo di ibu negara.


Kuda belang jantan, bernama Sero itu dilaporkan meloloskan diri dari Zoo Kanak-Kanak Seoul pada petang Khamis lalu.


Menurut lapor BBC News pada 23 Mac 2023, Polis, pegawai bomba dan kakitangan zoo bertungkus-lumus selama lebih tiga jam untuk menangkap Sero dan menghantar semula kuda belang itu ke kandangnya dengan selamat.


Video tular yang disiarkan dalam talian menunjukkan haiwan itu berlari melepasi lalu lintas di jalan yang sibuk.



Sero juga dilihat berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan berhampiran timur bandar itu.


Menurut Balai Bomba Gwangjin, kuda belang berusia hampir dua tahun itu dapat melarikan diri selepas memecahkan pagar kayu di sekeliling kandangnya.


Sero akhirnya ditangkap oleh pegawai menggunakan pagar keselamatan (jaring hijau) selepas haiwan itu memasuki lorong sempit.


Mamalia tersebut ditenangkan sebelum dibawa pulang ke zoo dengan menaiki sebuah trak. - Sumber BBC News.


Seekor kuda belang yang terlepas dari zoo berkeliaran di kawasan jalan raya di Seoul pada Khamis, 23 Mac 2023 akhirnya berjaya ditangkap. - Foto BBC News.

Sabtu, 25 Mac 2023

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh


Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.


"Hasil siasatan awal mendapati mayat berada 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.


"Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital," katanya.


Satu mayat yang hampir tinggal rangka ditemui di tepi sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang, Khamis lalu.
Rumah urut, kelab malam, disko dilarang beroperasi sepanjang Ramadan

Rumah urut, kelab malam, disko dilarang beroperasi sepanjang Ramadan


Kelab malam dan pusat urut di Jakarta dilarang beroperasi sepanjang bulan Ramadan. Larangan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan ibu kota berkenaan, lapor laman berita Detik News pada 24 Mac 2023.


Ketua Bahagian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri, Andhika Permata berkata, beberapa jenis perniagaan dilarang beroperasi bermula sehari sebelum Ramadan sehingga hari pertama Aidilfitri.


"Antara perniagaan terbabit seperti kelab malam, disko, spa, rumah urut, pusat sukan, pusat permainan elektronik serta bar.


"Bagaimanapun, larangan dikecualikan bagi bar di hotel bertaraf empat bintang ke atas dan kawasan komersial serta tidak berdekatan dengan kawasan perumahan, rumah ibadat, sekolah atau hospital," katanya dalam kenyataan pada Khamis.


Arahan itu dikeluarkan menerusi Surat Pekeliling Ketua Bahagian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Kerajaan Negeri pada 21 Mac lalu.


Menurut surat berkenaan, pengusaha diminta menjaga ketenteraman sepanjang Ramadan. Pengusaha perniagaan pelancongan juga diminta mengekalkan suasana tenteram sepanjang Ramadan sehingga Aidilfitri.


Bukan saja mengawal waktu operasi, surat pekeliling itu turut mengandungi peruntukan penganjuran perniagaan pelancongan. - Sumber Detik News.

Jumaat, 24 Mac 2023

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas


Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa dapat disaksikan oleh orang ramai ketika ini.


Menerusi hantaran Persatuan Astronomi Pulau Pinang di Facebook, bulan dan Zuhrah akan menjadi sangat dekat antara satu sama lain selepas matahari terbenam.


Jelasnya, kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.



"Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.


"Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti yang diperhatikan dari Bumi.


"Dari beberapa bahagian Malaysia seperti Utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang," katanya.


Rektor Akademi Astronomi Malaysia, Akademi Falak Malaysia Shahrin Ahmad berkata, fenomena kegelinciran ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya daripada Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung dan lurah di ufuk permukaan bulan.



Katanya, bagi orang awam yang juga peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan 'Baily's Beads'.


Menurutnya, waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza daripada satu lokasi ke lokasi lain.


Beliau berkata, kali terakhir fenomena ini berlaku di negara ini pada 27 Mei tahun lalu.


"Namun, ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri berbanding fenomena kali ini apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar ketika ini.


"Sebelum itu, fenomena sama berlaku pada 18 September 2017 dan ia turut boleh dilihat dengan mata kasar seperti fenomena pada malam ini yang kita sedang lihat," katanya.


Fenomena gelinciran bulan dan Planet Zuhrah yang berlaku malam ini (24 Mac 2023). - Foto Kosmo Online.

Fenomena gelinciran bulan dan planet Zuhrah. - Foto Ihsan Media Sosial.
Pemilik kafe dirotan 30 kali kerana sedia tempat pasangan berasmara

Pemilik kafe dirotan 30 kali kerana sedia tempat pasangan berasmara


Seorang pemilik kafe dihukum rotan sebanyak 30 kali kerana menyediakan tempat untuk pasangan belia melakukan perbuatan tidak senonoh, lapor portal berita Tribun Medan pada 16 Mac 2023.


Majlis Hakim Mahkamah Syariah Tapaktuan menjatuhkan hukuman itu terhadap seorang pemilik kafe berinisial RD, 53, kerana menyediakan tempat untuk pasangan muda-mudi bermesraan hingga melakukan hubungan yang hanya dilakukan oleh suami isteri di kafe miliknya di Ujung Tanah, Samadua, Aceh Selatan.


Ketua Hakim, Ervy Sukmarwati menyatakan tertuduh, RD terbukti menyediakan kemudahan untuk golongan belia melakukan perbuatan tersebut dan hukuman terhadapnya dijatuhkan pada Rabu, 15 Mac 2023.


Dia didapati bersalah melakukan perbuatan itu pada 5 November 2022 pada waktu malam dan pihak berkuasa agama menemui pasangan yang sedang bermesraan di kafe miliknya.


Pihak berkuasa juga menemui kondom di sekitar warung tersebut. RD kemudian mengaku kafe miliknya terdapat beberapa pondok kecil berukuran 1 meter yang ditutupi kain dan tanpa lampu dan dia menyesal di atas perbuatannya.


Kedua pasangan yang dikenali Rio Taupik Saldi, 26, dan teman wanitanya, Beria Putri Ghifari, 24, turut dikenakan hukuman dirotan.


Keputusan itu dibacakan oleh Panel Hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Muhammad Lukman Hakim SAg pada hari Selasa, 14 Mac 2023.


"Gugurkan 'Uqubat Ta'zir kepada Tertuduh dengan Uqubat rotan di khalayak ramai masing-masing sebanyak 25 kali," kata hakim dalam keputusan itu. - Sumber Tribun Medan.


Gambar fail menunjukkan anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah warung di kawasan Desa Gybubg Kerambil, Aceh Selatan. - Foto Tribun Medan.

Khamis, 23 Mac 2023

Tali bungee jumping putus, pelancong dari Hong Kong nyaris temui ajal

Tali bungee jumping putus, pelancong dari Hong Kong nyaris temui ajal


Seorang pelancong dari Hong Kong yang melakukan aktiviti terjun lelabah atau 'bungee jumping' di Pattaya, Thailand terselamat daripada maut apabila tali yang diikat pada kakinya terputus, lapor laman berita Thaiger pada 21 Mac 2023.


Orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut menarik nafas lega apabila lelaki bernama Mike itu disahkan selamat selepas dia melompat pada ketinggian menyamai bangunan 10 tingkat.


Mike melakukan terjunan lelabah pada Februari lalu selepas menyaksikan keterujaan seorang rakan sekerjanya. Ketika kejadian, pekerja dilaporkan telah mengikat tali pada kaki Mike sebelum menolaknya dari kren.


Dia kemudian mendepakan tangan ketika menjunam dari ketinggian 30 meter, namun tali yang diikat pada kakinya terputus ketika dia berada pada ketinggian 5 meter.


Pekerja kemudian bergegas membantu Mike yang pitam beberapa ketika selepas dia terjunam ke dalam tasik.


Beberapa saat kemudian, Mike kembali sedar dan mula berenang ke permukaan air. Dia memberitahu bahawa sakit yang dirasainya adalah sangat kuat sehingga membuatkan dia berasa pening.


Mike kemudian dikejarkan ke hospital tetapi bernasib baik kerana tidak memerlukan sebarang pembedahan atau dimasukkan ke hospital.


Akibat terhempas pada permukaan air, bawah lengan Mike kehilangan seluruh lapisan kulit, kakinya lebam, mata kirinya merah dan bengkak serta seluruh badannya sakit. Organ dalamannya bagaimanapun masih dalam keadaan baik.


Selepas pulih, Mike menghantar e-mel kepada pengusaha permainan itu untuk menuntut pampasan, sebaliknya dia hanya ditawarkan 2,000 baht (RM259) untuk bayaran balik tiket dan 8,000 baht (RM1,038) untuk biaya perubatan.


Apabila kembali ke Hong Kong, Mike menjalani imbasan CT, MRI dan X-ray dan turut dirawat kerana jangkitan paru-paru - sama ada diperoleh daripada gegaran otak atau secara tidak sengaja tertelan air tasik Pattaya yang kotor.


Setelah pulang ke Hong Kong, Mike menjalani imbasan CT, MRI dan X-ray. Dia turut dirawat kerana jangkitan pada paru-paru dan bil rawatannya mencecah 220,000 baht (RM28,556).


Mike terus menghantar e-mel kepada syarikat bungee tetapi tidak berjaya, jadi dia cuba menghubungi Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand untuk meminta bantuan. Mereka juga tidak menjawab, kata Mike. - Sumber The Thaiger.


Mike terhempas ke dalam tasik selepas tali 'bungee jump' itu terputus. - Foto Thaiger.

Rabu, 22 Mac 2023

China temukan kawasan rizab emas bernilai RM13.5 trilion

China temukan kawasan rizab emas bernilai RM13.5 trilion


China baru-baru ini berjaya menemukan kawasan deposit emas yang besar dengan rizab hampir 50 tan metrik yang boleh dijual sekitar AS$3 trilion (RM13.5 trilion) pada harga pasaran semasa.


Menurut Biro Geologi dan Sumber Mineral Wilayah Shandong pada Sabtu lalu berkata, deposit emas itu terletak di luar bandar Bandar Rushan, Wilayah Shandong, timur China.


"Selepas lapan tahun mencari, lombong emas itu adalah yang terbesar diketahui di rantau ini dan yang terbesar ditemui pada 2023 setakat ini.


"Kawasan deposit emas itu meliputi sebuah kawasan yang luas. Bijih berkualiti tinggi, yang boleh dilombong dan ditapis dengan mudah," kata biro berkenaan.


Wilayah Shandong kaya dengan sumber emas dengan pengeluaran yang lebih besar daripada mana-mana kawasan wilayah lain di seluruh China sejak empat dekad yang lalu.


Timbalan Ketua Briged Geologi ke-6 di biro itu, Zhou Mingling berkata, pencari dilaporkan menggali lebih 250 lubang sedalam 1,400 meter untuk mencari deposit itu.


Penilaian kerajaan menunjukkan deposit itu boleh menghasilkan 2,000 tan metrik bijih emas untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.


China menemukan kawasan deposit emas hampir 50 tan metrik. - Foto CFP.
Lelaki nyaris mati kerana minum air teh ketum

Lelaki nyaris mati kerana minum air teh ketum


Seorang lelaki Thailand berkata bahawa dia nyaris mati selepas menggantikan air minuman dengan teh ketum, lapor portal berita Thaiger pada 17 Mac 2023.


Sehubungan itu, dia memberi amaran kepada orang lain supaya tidak menyalahgunakan daun itu.


Lelaki Thailand bertatu bernama Jaonai menjadi tajuk utama media sosial selepas dia menyiarkan tentang pengalaman ngerinya itu di laman Facebook.


Jaonai menyiarkan gambar dirinya terbaring di atas katil hospital dengan balutan menutup parut pembedahan yang panjang.


"Saya telah menjalani pembedahan. Saya tidur di hospital selama 10 hari sejak itu. Jika saya menunggu lebih lama untuk menjalani pembedahan, saya sudah mati. Lima hari sebelum pembedahan adalah kesakitan. Saya sangat sakit. Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Saya tidak mempunyai apa-apa kekuatan.


"Usus saya tersumbat dan busuk. Saya tidak boleh makan apa-apa selama 10 hari. Sebabnya saya banyak minum teh ketum berbanding air," kata Jaonai di akaun Facebooknya.


"Sesiapa yang memilih untuk minum kratom pastikan ia ditapis dengan baik dan anda membelinya dari kedai yang bersih.


"Berhati-hati supaya anda tidak menjadi seperti saya. Ia adalah dua minggu yang sangat sukar. Berat saya 60 kilogram kini hanya 48 kilogram," tulisnya lagi. - Sumber The Thaiger.


Seorang lelaki Thailand dikenali sebagai Jaonai nyaris mati selepas dia minum air teh ketum dan terpaksa menjalani pembedahan. - Foto Thaiger.

Ahad, 19 Mac 2023

Sekumpulan lelaki mabuk belasah seorang peniaga sehingga maut

Sekumpulan lelaki mabuk belasah seorang peniaga sehingga maut


Sepuluh individu termasuk dua lelaki Myanmar ditahan susulan terbabit kes pukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian di sebuah pusat hiburan sekitar Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, peniaga berusia 29 tahun itu telah dipukul secara berkumpulan sekitar pukul 5 hingga 7 pagi.


Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki mabuk sekitar pukul 12.30 tengah hari.


"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.


"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 petang pada hari yang sama," ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Ashari berkata, pergaduhan berpunca perselisihan faham antara mereka yang bermula dari dalam pusat hiburan tersebut.


"Perselisihan berterusan di luar pusat hiburan. Namun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya.


Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan operasi khas untuk mengesan suspek bermula 10.30 malam semalam sehingga 12.15 pagi tadi.


"Kita berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun dan dua lelaki Myanmar berusia 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar Kuala Lumpur.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," jelasnya.


Katanya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, punca kejadian pergaduhan adalah perselisihan faham semasa kejadian.


"Siasatan masih dijalankan dan permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dimohon," katanya.


Sehubungan itu, polis memberi amaran keras agar orang ramai supaya tidak terlibat membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian. - Sumber Kosmo Online.


Tangkap layar suasana kecoh rentetan pergaduhan yang berlaku di pusat hiburan berkenaan semalam.
Lelaki jumpa berlian 'besar dan hodoh' ketika melawat taman negeri Arkansas

Lelaki jumpa berlian 'besar dan hodoh' ketika melawat taman negeri Arkansas


Seorang pelawat bertuah menemui sebutir berlian di taman negeri Arkansas, Amerika Syarikat (AS), lapor laman berita Wion News pada 17 Mac 2023.


David Anderson menggelar permata yang ditemuinya sebagai 'Big, Ugly Diamond' atau 'Bud' yang bermaksud berlian besar dan hodoh.


Berlian berwarna coklat seberat 3.29 karat (0.66 gram) itu ditemui di Crater of Diamonds State Park pada 4 Mac lalu.


Pada setiap hari, satu atau dua butir berlian akan ditemui oleh pelawat di taman tersebut dan mereka dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk menyimpannya.


Anderson menemui permata itu ketika dia dalam perjalanan melawat zon pencarian berlian seluas 37.5 ekar di taman itu, kata pegawai taman dalam satu kenyataan akhbar Rabu lalu.


"Pada awalnya saya fikir ia adalah kuarza tetapi tertanya-tanya mengapa ia sangat berkilat. Sebaik sahaja mengambilnya, saya menyedari ia adalah berlian," kata Anderson.


Tambah Anderson, dia mula melawat taman itu sejak kali pertama mengetahuinya melalui televisyen pada 2007. 


"Selepas menemui berlian pertama berwarna putih seberat 1.5 karat (0.3 gram), saya menjadi ketagih," katanya sambil menambah, sejak itu, dia telah menemui lebih 400 butir berlian di taman tersebut.


Antara koleksi berliannya ialah sebutir permata berwarna kuning seberat 3.83 karat (0.77 gram) yang ditemui pada 2011 dan berlian putih seberat 6.19 karat (1.2 gram) yang ditemui pada 2014.


Seperti pengunjung lain, Anderson berkata dia juga bercadang untuk menjual berlian yang ditemuinya baru-baru ini kepada tukang pertama di kawasannya.


Berlian Bud itu adalah yang terbesar ditemui di taman tersebut sejak September 2021 apabila seorang pelawat menemui sebutir berlian seberat 4.38 karat (0.88 gram).


Orang ramai telah menemui lebih daripada 75,000 berlian di taman itu selepas kawasan tersebut dijadikan taman negeri pada 1972.


Tapak ini juga merupakan tempat yang sama di mana penyelidik menemui berlian terbesar yang pernah ditemui di negara ini. Pakar telah menemui berlian putih dengan cast merah jambu, yang beratnya sekitar 40.23 karat, pada tahun 1924.


Berlian itu, digelar 'Uncle Sam', telah dipamerkan di National Museum of Natural History di Washington DC. - Sumber Wion News.


BACA: Berlian 'rare' Berharga Lebih RM90,000 Ditemui Seorang Wanita Ketika Mendaki.


Berlian seebart 3.29 karat (0.66 gram) ini ditemui di Crater of Diamonds State Park. - Foto Crater of Diamonds State Park (Twitter).