Sabtu, 25 Mac 2023

Rangka manusia tanpa identiti ditemukan berhampiran sungai di Paloh


Satu rangka manusia tanpa pengenalan diri ditemui berhampiran sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang oleh seorang lelaki yang sedang memancing, Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, penemuan rangka yang belum dapat dikenali pasti jantina dan usia itu dilaporkan kepada pihaknya kira-kira pukul 8.30 malam hari kejadian.


"Hasil siasatan awal mendapati mayat berada 6.1 meter dari tebing sungai dalam keadaan mengereng yang hanya tinggal tulang sahaja.


"Pemeriksaan telah dibuat oleh pasukan Forensik dan mendapati terdapat baju T berwarna biru dan baju sejuk berlengan panjang berdekatan rangka namun tiada sebarang dokumen peribadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Menurut Bahrin lagi, mayat kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


Ujarnya, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga dan mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan penemuan mayat itu boleh tampil untuk membuat pengecaman.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga hasil forensik diperolehi daripada pihak hospital," katanya.


Satu mayat yang hampir tinggal rangka ditemui di tepi sebatang sungai di Ladang Tereh di Paloh, Kluang, Khamis lalu.


EmoticonEmoticon