Ahad, 26 Mac 2023

Kuda belang 'serang' jalan raya yang sibuk di Seoul


Seekor kuda belang mencetus kekecohan di kawasan jalan raya yang sibuk di Seoul, Korea Selatan, setelah haiwan itu terlepas dari kandang sebuah zoo di ibu negara.


Kuda belang jantan, bernama Sero itu dilaporkan meloloskan diri dari Zoo Kanak-Kanak Seoul pada petang Khamis lalu.


Menurut lapor BBC News pada 23 Mac 2023, Polis, pegawai bomba dan kakitangan zoo bertungkus-lumus selama lebih tiga jam untuk menangkap Sero dan menghantar semula kuda belang itu ke kandangnya dengan selamat.


Video tular yang disiarkan dalam talian menunjukkan haiwan itu berlari melepasi lalu lintas di jalan yang sibuk.



Sero juga dilihat berkeliaran dan menyelongkar tong sampah di kawasan perumahan berhampiran timur bandar itu.


Menurut Balai Bomba Gwangjin, kuda belang berusia hampir dua tahun itu dapat melarikan diri selepas memecahkan pagar kayu di sekeliling kandangnya.


Sero akhirnya ditangkap oleh pegawai menggunakan pagar keselamatan (jaring hijau) selepas haiwan itu memasuki lorong sempit.


Mamalia tersebut ditenangkan sebelum dibawa pulang ke zoo dengan menaiki sebuah trak. - Sumber BBC News.


Seekor kuda belang yang terlepas dari zoo berkeliaran di kawasan jalan raya di Seoul pada Khamis, 23 Mac 2023 akhirnya berjaya ditangkap. - Foto BBC News.


EmoticonEmoticon