Rabu, 11 Ogos 2021

Pecah Masuk Stesen Minyak, Perompak Larikan RM50 sebelum kereta terbabas


Tiga penjenayah telah melarikan wang tunai berjumlah RM50 selepas memecahkan cermin sebuah stesen minyak dengan tukul besi di Simpang Empat, Arau, awal pagi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4.38 pagi itu, dua daripada tiga suspek bertindak masuk ke dalam stesen minyak selepas memecahkan cermin di bahagian kaunter premis tersebut.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian disedari pemilik stesen minyak kira-kira pukul 7 pagi tadi.


Katanya, pemeriksaan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tiga lelaki terbabit datang ke stesen minyak itu dengan menaiki kereta jenis Perodua Kancil.


"Suspek mengeluarkan tukul besi lalu memecahkan cermin kaunter sebelum dua suspek masuk dan menggeledah premis sebelum melarikan sejumlah wang," katanya.


Menurut beliau, pemilik stesen minyak telah membuat pemeriksaan dan mendapati wang syiling berjumlah kira-kira RM30 dan hasil jualan pelitup muka kira-kira RM20 serta resit juai beli telah tiada di dalam laci kaunter.


Ujarnya, bertindak atas maklumat tersebut, kereta Perodua Kancil yang dipercayai digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu ditemui terbabas di kawasan Kodiang, Kedah kira-kira pukul 1 petang.


Tambahnya, seorang individu dari Simpang Empat di sini kemudiannya tampil membuat laporan mengenai kehilangan kereta Perodua Kancil awal pagi ini.



EmoticonEmoticon