Jumaat, 24 Mac 2023

Ramai teruja lihat planet Zuhrah dekat bulan boleh dilihat jelas


Fenomena gelinciran planet Zuhrah dengan bulan di angkasa dapat disaksikan oleh orang ramai ketika ini.


Menerusi hantaran Persatuan Astronomi Pulau Pinang di Facebook, bulan dan Zuhrah akan menjadi sangat dekat antara satu sama lain selepas matahari terbenam.


Jelasnya, kebanyakan kawasan di Malaysia dapat melihat planet Zuhrah dengan sangat dekat dan terang bersamaan magnitud -4.0.



"Dalam astronomi, ia berlaku apabila dua objek astronomi kelihatan berdekatan antara satu sama lain di langit.


"Secara teknikal, kedua-dua objek akan mempunyai kenaikan kanan yang sama atau longitud ekliptik yang sama, seperti yang diperhatikan dari Bumi.


"Dari beberapa bahagian Malaysia seperti Utara, Zuhrah akan kelihatan pergi di belakang anggota gelap bulan sabit, dan kemudian muncul dari sisi yang terang," katanya.


Rektor Akademi Astronomi Malaysia, Akademi Falak Malaysia Shahrin Ahmad berkata, fenomena kegelinciran ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya daripada Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung dan lurah di ufuk permukaan bulan.



Katanya, bagi orang awam yang juga peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan 'Baily's Beads'.


Menurutnya, waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza daripada satu lokasi ke lokasi lain.


Beliau berkata, kali terakhir fenomena ini berlaku di negara ini pada 27 Mei tahun lalu.


"Namun, ia berlaku pada waktu siang dan tidak ramai dapat menyaksikan sendiri berbanding fenomena kali ini apabila ia boleh dilihat dengan mata kasar ketika ini.


"Sebelum itu, fenomena sama berlaku pada 18 September 2017 dan ia turut boleh dilihat dengan mata kasar seperti fenomena pada malam ini yang kita sedang lihat," katanya.


Fenomena gelinciran bulan dan Planet Zuhrah yang berlaku malam ini (24 Mac 2023). - Foto Kosmo Online.

Fenomena gelinciran bulan dan planet Zuhrah. - Foto Ihsan Media Sosial.


EmoticonEmoticon