Ahad, 19 Mac 2023

Sekumpulan lelaki mabuk belasah seorang peniaga sehingga maut


Sepuluh individu termasuk dua lelaki Myanmar ditahan susulan terbabit kes pukul seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian di sebuah pusat hiburan sekitar Kompleks Metro Pudu, Kuala Lumpur, semalam.


Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, peniaga berusia 29 tahun itu telah dipukul secara berkumpulan sekitar pukul 5 hingga 7 pagi.


Katanya, polis menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki dibelasah sekumpulan lelaki mabuk sekitar pukul 12.30 tengah hari.


"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan.


"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 petang pada hari yang sama," ujarnya dalam kenyataan hari ini.


Ashari berkata, pergaduhan berpunca perselisihan faham antara mereka yang bermula dari dalam pusat hiburan tersebut.


"Perselisihan berterusan di luar pusat hiburan. Namun punca sebenar masih dalam siasatan," katanya.


Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan operasi khas untuk mengesan suspek bermula 10.30 malam semalam sehingga 12.15 pagi tadi.


"Kita berjaya menahan lapan lelaki tempatan berusia di antara 20 tahun hingga 37 tahun dan dua lelaki Myanmar berusia 28 tahun hingga 43 tahun di sekitar Kuala Lumpur.


"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," jelasnya.


Katanya, hasil siasatan lanjut yang dijalankan, punca kejadian pergaduhan adalah perselisihan faham semasa kejadian.


"Siasatan masih dijalankan dan permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dimohon," katanya.


Sehubungan itu, polis memberi amaran keras agar orang ramai supaya tidak terlibat membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian. - Sumber Kosmo Online.


Tangkap layar suasana kecoh rentetan pergaduhan yang berlaku di pusat hiburan berkenaan semalam.


EmoticonEmoticon