Jumaat, 3 Jun 2022

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet

Dilarang lakukan seks 8 minggu selepas dijangkiti cacar monyet


Ketua pakar kesihatan di Britain memberi amaran kepada pesakit cacar monyet supaya berhenti me­lakukan hubungan seks buat sementara waktu, kerana dibimbangi boleh membantu penyebaran virus, lapor akhbar Mirror UK pada 30 Mei 2022.


Menerusi garis panduan yang dikeluarkan, sejumlah agensi kesihatan utama di Britain menasihatkan semua pesakit cacar monyet untuk tidak melakukan hubungan seks selama lapan minggu selepas dijangkiti.


Sekiranya ada pesakit yang ingin melakukan hubungan itu, maka mereka digalakkan untuk memakai kondom sebagai perlindungan.


"Pesakit perlu menahan diri daripada berhubungan seks semasa tempoh permulaan gejala dan tidak menyentuh sebarang jenis luka.


"Walaupun ketika ini tiada bukti virus cacar monyet ada dalam cecair alat kelamin, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan kondom selama lapan minggu selepas jangkitan.


"Panduan ini akan dikemas kini apabila terdapat bukti baharu," kata agensi-agensi ber­kenaan.


Sebelum ini, mereka mene­gaskan bahawa cacar monyet tersebar melalui sentuhan fizikal terutamanya melalui luka dan kudis. Pesakit turut dinasihatkan untuk me­ngasingkan diri di rumah sehingga mereka didapati cukup sihat.


Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan penularan virus cacar monyet yang berlaku ketika ini dilihat tidak akan menjadi pandemik seperti kebimbangan banyak pihak.


Britain menjadi negara pertama merekodkan jangkitan tersebut pada 7 Mei dan sehingga kini, hampir 400 kes dicatatkan di puluhan negara di seluruh dunia.


Pakar cacar monyet WHO, Rosamund Lewis menyatakan, agensi itu tidak melihat wabak berkenaan akan menjadi pandemik.


"Kami tidak rasa cacar monyet akan bertukar menjadi pandemik, namun itu tidak bermakna kita boleh mengambil mudah dengan apa yang berlaku. Adalah lebih bagus jika kita dapat mencegah penularan virus itu daripada merebak lebih teruk," ujarnya. - Sumber Mirror UK.


Cacar monyet telah wujud selama beberapa dekad tetapi baru-baru ini merebak ke UK dan Eropah. - Foto AFP.

Khamis, 2 Jun 2022

Pengawal keselamatan menyamar pegawai tentera pikat janda dalam kem

Pengawal keselamatan menyamar pegawai tentera pikat janda dalam kem


Kerana mahu memikat seorang anggota tentera wanita bergelar janda, seorang pengawal keselamatan sanggup menceroboh masuk ke dalam kem tentera dengan me­nyamar sebagai pegawai pasukan keselamatan itu, lapor Kosmo pada 2 Jun 2022.


Perbuatan suspek yang berusia 27 tahun dan masih bujang itu bagaimanapun memakan diri, apabila dia diberkas di rumahnya di Rumah Rakyat Sungai Layang, Rembau, pada pukul 5.50 petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pihaknya merampas pakaian seragam tentera berserta aksesori antaranya senjata 'airsoft', beg yang mempunyai logo pasukan keselamatan dan sepasang gari.


"Hasil soal siasat, lelaki tersebut mengaku terbabit dalam kes menyamar sebagai pegawai tentera di Kem Batalion Kedua, Rejiman 508, Askar Wataniah, Kem Tampin. Suspek melakukan kesalahan itu pada 8 Disember 2018," kata­nya ketika dihubungi semalam.



Menurut beliau, siasatan mendapati suspek menyamar sebagai pegawai berpangkat kolonel dalam Grup Gerak Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Siasatan pihak polis juga mendedahkan suspek yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Pedas, telah berkenalan dengan seorang janda yang berkhidmat sebagai tentera di kem tersebut pada tahun 2018 lalu.


Suspek masuk ke kawasan kem atas urusan ingin berjumpa dengan pegawai berpangkat Sarjan Mejar dan Penolong Pegawai Memerintah. Suspek mahu membuktikan kepada wanita itu bahawa dia seorang pegawai berpangkat tinggi dalam ATM.


Bagaimanapun, lelaki itu gagal menunjukkan kad identiti ATM selepas diminta berbuat demikian. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.


Pakaian seragam ATM yang digunakan suspek ketika menyamar sebagai pegawai tentera untuk memikat anggota wanita di Kem Tampin.

Rabu, 1 Jun 2022

Padah ubah suai flat melampau, MPAJ robohkan binaan tambahan

Padah ubah suai flat melampau, MPAJ robohkan binaan tambahan


Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan dibina pemilik kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1 kerana tidak mendapat kelulusan.


MPAJ dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil ekoran kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ yang nyata menggunakan ruang harta bersama bukan hak mutlak pemilik.


Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.


"Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.


"Pemilik dikenakan tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133)," kata MPAJ dalam kenyataan pada Selasa.


Perkongsian gambar itu di laman sosial telah mendapat pelbagai reaksi. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut terhibur apabila melihat rumah tersebut dirobohkan.


"Jiran kiri kanan pun 'renovate' juga, sepatutnya kena roboh semua lah," komen pengguna.


"Hidup di bandar atau kampung kena ikut peraturan. Kalau semua ikut kepala sendiri kawasan kediaman kita akan jadi huru hara macam setinggan," kata seorang lagi pengguna.


Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. - Foto Facebook MPAJ.

Sebuah kediaman yang dirobohkan kerana menambah bangunan tanpa kebenaran. - Foto Facebook MPAJ.

Selasa, 31 Mei 2022

'Alien mungkin wujud tetapi bukan di galaksi Bima Sakti' dakwa Profesor Brian Cox

'Alien mungkin wujud tetapi bukan di galaksi Bima Sakti' dakwa Profesor Brian Cox


Seorang saintis percaya bahawa makhluk asing berkemungkinan wujud, namun ia tidak berada dalam galaksi Bima Sakti, lapor akhbar Daily Mail pada 23 Mei 2022.


Profesor Brian Cox berkata, tamadun seperti yang dijalani manusia adalah sesuatu yang amat jarang ditemui iaitu hanya satu dalam setiap galaksi secara purata.


"Ia merupakan satu daripada misteri terhebat sama ada perisik makhluk asing telah menemui jalan ke Bumi. Jika anda menyuruh saya meneka, saya akan berkata bahawa terdapat banyak mikrob di serata tempat, dan disebabkan itu kita mencari kehidupan di Marikh.


"Terdapat dua trilion galaksi di alam semesta, saya pasti makhluk asing berada di luar sana," ujarnya.


Cox mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahli Kongres Amerika Syarikat, Andre Carson yang menyatakan bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) berpotensi memberi ancaman kepada negara itu.


Sementara itu, Monica Grady, profesor sains planet dan angkasa, berkata: "Galaksi kita sangat luas, dengan begitu banyak jenis bintang yang berbeza dengan planet mengelilinginya, secara statistik mungkin kehidupan telah wujud di planet lain.


"Kita tahu bahawa tidak ada tamadun, selain kita, dalam Sistem Suria, jadi mana-mana kehidupan yang telah berkembang untuk membangunkan perjalanan antara bintang perlu menempuh berbilion kilometer.


"Ia akan mengambil masa beribu-ribu tahun, hampir pasti lebih lama daripada 200,000 tahun atau lebih sejak manusia moden berevolusi.


"Saya berharap setiap bentuk kehidupan yang telah berkembang ke peringkat sedemikian akan menyedari bahawa keselamatan, kebenaran, keadilan dan integriti akan menjadi corak tamadun yang jauh lebih baik daripada peperangan, keganasan, ketidakadilan dan kepalsuan," katanya.


Bima Sakti adalah sebuah galaksi pilin berpalang yang merupakan sebahagian galaksi Kumpulan Tempatan dan terletaknya Sistem Suria. Satah galaksi Bima Sakti dapat dilihat dari Bumi sebagai jalur cahaya di langit pada waktu malam, rupa jalur cahaya berkenaan mengilhami nama galaksi ini.


Galaksi Bima Sakti dianggarkan mengandungi 100 hingga 400 bilion butir bintang. Di pusat galaksi ini terletaknya sebuah lohong hitam supermasif dikenali dengan nama Sagittarius A*, jisimnya bernilai 4.100 (± 0.034) juta jisim suria.


Sistem Suria duduk 27,000 tahun cahaya dari pusat tersebut di pinggir dalam Lengan Orion, salah satu lengan gas dan habuk berbentuk pilin dalam galaksi ini. Cakera najam galaksi Bima Sakti mempunyai garis pusat lebih kurang 100,000 tahun cahaya dan purata ketebalannya dipercayai kira-kira 1,000 tahun cahaya. - Sumber Daily Mail.


BACA: Imej pertama lohong hitam di tengah-tengah galaksi Bima Sakti akhirnya dirakam.


Cox percaya bahawa makhluk asing berada di galaksi-galaksi selain Bima Sakti. - Foto Reuters.
Netizen keliru rambut singa tiba-tiba bertukar bentuk petak dan beralun

Netizen keliru rambut singa tiba-tiba bertukar bentuk petak dan beralun


Gaya rambut seekor singa jantan di Zoo Guangzhou, China menarik perhatian netizen kerana memiliki gaya rambut yang aneh dan lucu, lapor portal berita Mothership pada 30 Mei 2022.


Seorang pelawat Zoo tersebut telah muat naik gambar singa itu di laman sosial Litte Red Book pada 28 Mei lalu. Rambut singa yang kebiasaannya berbentuk bulat dilihat bertukar segi empat dengan rambut di bahagian depan dipotong pendek. 


Gaya rambut aneh itu mengundang kritikan orang ramai yang menganggap ia telah mengganggu aura dan personaliti Raja Rimba itu.


Menurut seorang pengguna laman sosial tempatan, rambut dan bulu singa tersebut bukan seperti yang dipaparkan dalam gambar tersebut semasa dia melihatnya tidak sampai seminggu lalu.



Pengguna yang menyiarkan gambar itu membuat spekulasi bahawa penjaga zoo adalah orang yang memberi haiwan itu gaya rambut pelik.


Tambah mereka lagi, untuk memotong rambut seperti itu, ia memakan masa yang lama dan memerlukan lebih dari seorang pekerja.


Sebagai tindak balas kepada pertanyaan oleh saluran media Guangzhou, seorang pekerja di zoo menjelaskan bahawa penjaga zoo tidak akan pernah berani memotong rambut singa itu, dan gaya rambut ini disebabkan oleh suhu lembap di Guangzhou.


Kakitangan itu berkata, singa kebiasaannya membersihkan diri sendiri sebagaimana kucing melakukannya iaitu dengan menjilat dan mengais bulunya. - Sumber Mothership.


Fesyen rambut petak seekor singa jantan di Zoo Guangzhou mengundang rasa geli hati pengguna media sosial. - Foto Mothership.

Isnin, 30 Mei 2022

Imej kutub Matahari dan suar suria dahsyat dirakam kapal angkasa UK

Imej kutub Matahari dan suar suria dahsyat dirakam kapal angkasa UK


Sebuah kapal angkasa buatan United Kingdom (UK), Solar Orbiter merakamkan sejumlah gambar di kutub Matahari pada bulan Mac lalu, bagaimanapun gambar-gambar itu hanya didedahkan baru-baru ini, lapor Daily Mail pada 18 Mei 2022.


Ia merakam satu siri gambar yang 'sangat menakjubkan', termasuk pemandangan kutub Matahari dan suar suria yang kuat membentang 14,140 kilometer merentasi Matahari yang digelar 'the hedgehog'.


Satu lagi ciri menarik yang diambil oleh Solar Orbiter digelar 'landak' kerana pelbagai pancang gas panas dan sejuk yang menjangkau ke semua arah.


"Sangat menarik untuk melihat imej dan rakaman yang luar biasa ini. Matahari yang paling hampir pernah kita lihat, dirakamkan semasa laluan terdekat Solar Orbiter setakat ini. Kami sudah melihat beberapa data menarik dikembalikan daripada instrumen sains di atas kapal angkasa yang dibina di UK ini.


"Ia membawa kami lebih dekat untuk memahami bagaimana peristiwa semula jadi di permukaan Matahari menyumbang kepada cuaca angkasa," kata Caroline Harper, iaitu Ketua Sains Angkasa Lepas di Agensi Angkasa UK.


Kapal angkasa itu dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida pada Februari 2020. Ia dibina di Stevenage, England dan dilengkapi dengan set 10 teleskop dan instrumen penderiaan langsung.


Kapal angkasa itu memasuki ruang yang dikenali sebagai perihelion pada 26 Mac lalu dan ia datang pada jarak sekitar 48 juta kilometer dengan suhu mencecah lebih 450 darjah Celsius pada jarak itu.


Merakam fenomena ribut suria atau ribut geomagnetik pada masa nyata menjadi semakin penting kerana ancaman cuaca angkasa lepas kepada teknologi dan angkasawan. - Sumber Daily Mail.


(Gambar) Kapal angkasa yang dibina di UK merakam satu siri gambar 'sangat menakjubkan', termasuk pemandangan merentasi kutub Matahari. - Foto ESA/NASA/Solar Orbiter/EUITeam.

(Gambar) Suar suria yang kuat membentang 14,140 kilometer merentasi Matahari yang digelar 'the hedgehog' adalah antara tangkapan imej terbaru daripada Solar Orbiter. - Foto ESA/NASA/Solar Orbiter/EUITeam.

(Gambar) Pendekatan terdekat Solar Orbiter dengan Matahari, dikenali sebagai perihelion, berlaku pada 26 Mac, membawanya ke dalam orbit Mercury, kira-kira satu pertiga jarak dari Matahari ke Bumi. - Foto ESA/NASA/Solar Orbiter/EUITeam.

Kapal angkasa ini seterusnya akan bergerak lebih dekat sedikit pada 13 Oktober nanti (0.29 kali jarak Bumi antara Matahari). - Foto ESA/NASA/Solar Orbiter/EUITeam.
Sekumpulan monyet bertindak agresif serang kampung, gigit penduduk

Sekumpulan monyet bertindak agresif serang kampung, gigit penduduk


Penduduk Kampung Tian dalam daerah Matu, kira-kira 115 kilometer ke barat dari Sibu, berada dalam ketakutan sejak dua minggu lepas setelah lapan daripada mereka mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah mereka, lapor Bernama.com pada 27 Mei 2022.


Penghulu kampung itu, Saleh Napi berkata, maklumat yang diperoleh daripada penduduk yang menjadi mangsa serangan menunjukkan kumpulan primat itu memasuki kediaman penduduk, menerusi tingkap rumah yang tidak ditutup rapat.


"Tidak diketahui apa punca monyet-monyet ini bertindak agresif dan menyerang penduduk kampung terlibat. Mangsa berusia dalam lingkungan 40-an hingga 80-an mengalami luka di beberapa bahagian badan," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata, kesemua mangsa telah mendapat rawatan di klinik kesihatan kampung itu dan setakat ini kecederaan yang dialami mereka dikatakan tidak serius.


Menurutnya, memang terdapat monyet-monyet kelihatan berkeliaran di kawasan kampung itu sebelum kejadian, namun kumpulan haiwan itu melarikan diri dan bersembunyi apabila terserempak dengan penduduk kampung.


Saleh berkata, ekoran insiden itu penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga, dengan ada dalam kalangan mereka memasang perangkap di kawasan strategik dan berhasil menangkap seekor monyet.


Katanya, kejadian itu turut dilaporkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), yang telah bertindak menghantar satu pasukan untuk memasang perangkap.


Tambahnya, pihaknya juga telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi mendapatkan bantuan.


(Gambar hiasan) Penduduk Kampung Tian mendakwa diserang dan digigit sekumpulan monyet ketika sedang tidur di rumah.

Ahad, 29 Mei 2022

Parasit ubah minda, jadikan individu dijangkiti kelihatan lebih menarik dan sihat

Parasit ubah minda, jadikan individu dijangkiti kelihatan lebih menarik dan sihat


Satu kajian terbaharu mendedahkan bahawa parasit yang mengubah minda manusia, Toxoplasma gondii boleh menjadikan orang yang dijangkiti lebih kelihatan menarik, lapor laman berita Wion News pada 20 Mei 2022.


Kajian itu dilaporkan menerusi satu penerbitan dan diketuai oleh pengarang utamanya, Javier Borraz-Leon yang merupakan ahli biologi Universiti Turku di Finland. 


"Dalam satu kajian, tikus jantan dijangkiti Toxoplasma dianggap lebih menarik secara seksual dan lebih disukai oleh tikus betina yang tidak dijangkiti," jelas kajian tersebut. 


Sebelum ini, beberapa kajian mendapati bahawa parasit tersebut boleh menjangkiti mana-mana mamalia atau burung. Pakar-pakar sering menyebut bahawa Toxoplasma gondii adalah parasit yang paling berjaya di dunia pada hari ini.


Apabila menjangkiti manusia, seseorang akan menjadi pembawa Toxoplasma seumur hidup. Pelbagai kajian juga menunjukkan bahawa ia boleh mengubah tingkah laku manusia.


Ia merebak apabila seseorang terdedah kepada najis kucing yang dijangkiti, dan daripada makanan tercemar atau menerusi hubungan intim dengan orang yang dijangkiti. 


Kajian terbaharu mendapati lelaki dan wanita yang dijangkiti dilihat lebih menarik, dan lebih sihat berbanding mereka yang tidak dijangkiti. 


Kesimpulan kajian itu menyatakan bahawa beberapa parasit yang ditularkan secara seksual seperti Toxoplasma gondii, mungkin menghasilkan perubahan dalam penampilan dan tingkah laku manusia.


Perubahan itu sama ada disebabkan oleh kesan sampingan atau hasil daripada manipulasi parasit tersebut, untuk meningkatkan penyebaran kepada perumah baharu.


"Walaupun kedengaran pelik, saintis berkata bahawa fenomena itu munasabah dari sudut evolusi biologi," kata laman berita Science Alert. - Sumber Wion News.



Suntingan 3D memaparkan imej Toxoplasma gondii, protozoa parasit yang menyebabkan penyakit toxoplasmosis. - Foto Kateryna on/ Shutterstock.
Impian lelaki mahu hidup sebagai haiwan tertunai selepas pakai kostum anjing

Impian lelaki mahu hidup sebagai haiwan tertunai selepas pakai kostum anjing


Seorang lelaki Jepun dikenali sebagai Toco membuat keputusan untuk menjalani kehidupan sebagai seekor anjing, dengan memakai kostum haiwan itu yang kelihatan amat realistik, lapor laman berita Oddity Central pada 23 Mei 2022.


Impiannya yang sentiasa ingin hidup sebagai haiwan itu direalisasikan sebuah syarikat pakar dalam kesan-kesan dan model khas, Zeppet, yang menyiapkan kostum anjing ultra-realistik untuk menyembunyikan kerangka manusia dan membolehkannya berfantasi.


Pengguna Twitter yang hanya dikenali sebagai Toca itu membelanjakan kira-kira AS$15,000 (RM65,875) untuk memiliki kostum itu, yang kelihatan amat menakjubkan sehinggakan Taco kelihatan seperti anjing Collie sebenar.


Ia dilaporkan dibuat dengan jahitan tangan menggunakan bulu sintetik dan memberi perhatian kepada perincian sebenar anjing baka Collie. Kostum itu mengambil masa selama 40 hari untuk disiapkan. 



"Kami menggunakan beberapa imej anjing Collie dari sudut berbeza, meningkatkan kegebuan bulu bagi menyembunyikan pelapik kostum sebaik mungkin, dan menjadikan bahagian mulut boleh terbuka dan tertutup dengan sendiri.


"Setakat ini, pelanggan utama syarikat kami adalah syarikat-syarikat pengiklanan dan filem. Pelanggan individu hanya merangkumi sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan tempahan," kata seorang jurucakap Zeppet.


Kira-kira sebulan lalu, Toco menerusi saluran YouTube miliknya mengumumkan bahawa dia ingin berkongsi kehidupannya sebagai seekor anjing dengan seluruh dunia.


"Saya rasa adalah membazir jika saya seorang sahaja yang berpuas hati (dengan hasil kostum). Jadi saya berkongsi kegembiraan ini dengan menyiarkan video dan gambar di Twitter serta di saluran YouTube," katanya.


Tambahnya, dia tidak menjangkakan perkongsian itu memberi kesan yang hebat kepada ramai orang. Bagaimanapun ketika ditanya mengapa dia mahu hidup sebagai haiwan, Toco berkata, ia adalah sesuatu yang 'sukar' untuk dijawab.


Kisah luar biasa Toco menjadi tular di Jepun malah dipaparkan di rancangan televisyen nasional, seperti Nippon TV 'Sôkai jôhô variety Sukkiri!'. - Sumber Oddity Central.


Toco memakai kostum anjing baka Collie yang kelihatan amat realistik. - Foto Zeppet.

Jumaat, 27 Mei 2022

Bakal suami lari sebab motosikal dijual untuk belanja kahwin, pengantin perempuan bersanding sendirian

Bakal suami lari sebab motosikal dijual untuk belanja kahwin, pengantin perempuan bersanding sendirian


Seorang pengantin perempuan di Palembang, Sumatera Selatan terpaksa bersanding sendirian di pentas pelamin, selepas pengantin lelaki enggan hadir ke majlis disebabkan marah kepada wanita itu, lapor laman berita Tribun News pada 23 Mei 2022.


Menurut laporan, pengantin perempuan dikenali sebagai DH, 16, itu tetap meneruskan majlis persandingan meskipun tanpa kehadiran pengantin lelaki yang dikenali sebagai AAH, 17.


Ibunya, Rapita, 35, berkata acara itu tetap diteruskan bagi menghormati kira-kira 200 tetamu yang telah hadir.


Berita kononnya AAH telah lari dan tidak mahu datang diketahui mereka setelah mendapat cerita daripada rakan bakal pengantin lelaki.


"Sejak Jumaat dia lari ke Bandung. Kami mendapat berita itu hari Sabtu," kata Rapita pada Isnin 23 Mei 2022 lalu.


Tambahnya, calon menantunya berasa marah kerana motosikal miliknya telah dijual oleh ibu bapanya bagi mendapatkan wang untuk membiayai pernikahan itu.


Bahkan seminggu sebelum acara pernikahan dijadual berlangsung, lelaki itu ada menghubungi DH menerusi aplikasi WhatsApp dan menyuarakan rasa marahnya.


Dia juga menyalahkan DH kerana motosikal miliknya telah dijual oleh ibu bapanya sendiri untuk membiayai pernikahan mereka selain meminta wanita itu mengembalikan wang tersebut.


"Dia menghantar perbualan kepada anak saya, mengatakan motosikalnya telah dijual. Anak saya disuruh menggantikannya, kalau tidak dia tidak mahu berkahwin. Dia juga menyekat nombor anak saya," kata Rapita.


DH tetap meneruskan majlis persandingan meskipun tanpa kehadian pengantin lelaki. - Foto Tribun Jabar.