Rabu, 1 Jun 2022

Padah ubah suai flat melampau, MPAJ robohkan binaan tambahan


Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) terpaksa merobohkan binaan tambahan dan struktur binaan dibina pemilik kediaman di Blok 4, Flat UTM, AU3/1 kerana tidak mendapat kelulusan.


MPAJ dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut terpaksa diambil ekoran kesalahan membina struktur tambahan tanpa kebenaran MPAJ yang nyata menggunakan ruang harta bersama bukan hak mutlak pemilik.


Isu keselamatan penduduk sekitar perlu diambil kira, tambahan rumah itu kelak mengganggu kerja-kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang malapetaka seperti kebakaran dan sebagainya.


"Kediaman berstrata seperti flat, apartmen dan kondominium terikat dengan Akta 757 di mana lot petak hanya terhad kepada keluasan petak yang dibeli sahaja.


"Pemilik dikenakan tindakan notis dan roboh serta-merta dilaksanakan berdasarkan Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133)," kata MPAJ dalam kenyataan pada Selasa.


Perkongsian gambar itu di laman sosial telah mendapat pelbagai reaksi. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai turut terhibur apabila melihat rumah tersebut dirobohkan.


"Jiran kiri kanan pun 'renovate' juga, sepatutnya kena roboh semua lah," komen pengguna.


"Hidup di bandar atau kampung kena ikut peraturan. Kalau semua ikut kepala sendiri kawasan kediaman kita akan jadi huru hara macam setinggan," kata seorang lagi pengguna.


Operasi merobohkan struktur tambahan oleh kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 25 Mei 2022. - Foto Facebook MPAJ.

Sebuah kediaman yang dirobohkan kerana menambah bangunan tanpa kebenaran. - Foto Facebook MPAJ.


EmoticonEmoticon