Khamis, 24 September 2026

Tertuduh menangis di mahkamah, kes bunuh penebar roti canai terpaksa ditangguh


Prosiding pertuduhan kes bunuh seorang wanita di Mahkamah Tinggi Tawau, hari ini, terpaksa ditunda ke tarikh baharu apabila tertuduh tiba-tiba beremosi.


Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 35, pada awalnya bersedia untuk membuat pengakuan bersalah bagaimanapun menangis dan berdiam diri di kandang tertuduh selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.


Kesan emosi tidak stabil tertuduh, memaksa hakim mengarahkan prosiding ditangguhkan seketika bagi membolehkan tertuduh bertenang.


Prosiding kemudian bersambung semula dengan peguam bela memohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes. Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan difahamkan tertuduh mahu mempertimbangkan semula pendiriannya atas kehendak sendiri, sebelum tertuduh mengesahkan perkara berkenaan.


Peguam Kamarudin Mohmad Chinki turut memaklumkan bahawa pihaknya telah berunding dengan anak guamnya ketika berada di penjara dan mengesahkan perkara sama.


Pendakwaan kemudian memohon supaya pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan kepada tertuduh.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang wanita penebar roti canai, Sirlin Salleh di kawasan semak Kampung Pisang, dalam daerah Lahad Datu, antara kira-kira 6 pagi hingga 8 pagi pada 14 November 2023.


Berdasarkan fakta kes, mayat wanita itu ditemukan di kawasan kebun pisang berhampiran lampu isyarat Kampung Pisang jam 8.26 pagi pada hari kejadian.


Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami beberapa kecederaan di leher yang kemudiannya dikenal pasti sebagai punca kematian berdasarkan bedah siasat.


Beberapa sampel forensik diambil daripada mangsa dan dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia sementara hasil analisis bertarikh 2 Januari 2025 mendapati sampel darah tertuduh sepadan dengan sampel DNA yang diperoleh daripada pakaian dalam mangsa.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon