Isnin, 16 Mei 2022

Imej pertama lohong hitam di tengah-tengah galaksi Bima Sakti akhirnya dirakam


Satu pasukan ahli astronomi antarabangsa pada Khamis mendedahkan imej lohong hitam di tengah-tengah galaksi Bima Sakti dikenali sebagai Sagittarius A*. Lohong hitam ialah kawasan ruang di mana tarikan graviti sangat kuat hingga tiada apa yang boleh terlepas.


Imej itu dikeluarkan oleh Balai Cerap Selatan Eropah (ESO). Imej tersebut diketahui hasil kerja keras pasukan penyelidik dengan menggunakan Event Horizon Telescope (EHT). Pasukan itu memperoleh gambar dengan memerhati rangkaian teleskop radio di seluruh dunia.


"Selama beberapa dekad lalu, kita telah mengetahui tentang objek padat yang berada di tengah-tengah galaksi kita yang empat juta kali lebih besar daripada Matahari.


"Pada masa ini, kami mempunyai bukti langsung bahawa objek ini adalah lohong hitam," kata seorang ahli astronomi Universiti Harvard, Sara Issaoun pada sidang akhbar di Garching, Jerman.


Katanya, imej yang terletak kira-kira 27,000 tahun cahaya dari Bumi itu kelihatan benar-benar gelap tetapi terdapat gas bercahaya yang mengelilingi lohong tersebut.


Imej itu sudah lama ditunggu-tunggu, kerana saintis sebelum ini pernah melihat bintang mengorbit di sekeliling sesuatu yang tidak kelihatan, padat dan sangat besar di pusat Bima Sakti. Pada masa itu saintis bersetuju untuk menamakan objek itu sebagai Sagittarius A*.




"Pemerhatian yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah meningkatkan pemahaman kita tentang apa yang berlaku di tengah-tengah galaksi kita," kata seorang saintis projek EHT Geoffrey Bower dari Academia Sinica Taiwan dalam satu kenyataan.


Beliau berkata foto itu telah membuka lebih banyak peluang kepada penyelidik untuk memahami apa yang berlaku di pusat galaksi Bima Sakti. Imej itu juga menawarkan pandangan baharu tentang cara lohong hitam gergasi ini berinteraksi dengan persekitaran mereka.


Memandangkan lohong hitam itu berada kira-kira 27,000 tahun cahaya dari Bumi, untuk menggambarkannya, pasukan itu mencipta EHT yang berkuasa, yang menghubungkan lapan balai cerap radio di seluruh dunia untuk membentuk satu teleskop maya gergasi yang didakwa menyamai saiz Bumi.


Untuk mendapatkan gambar istimewa ini, pelbagai pusat pemerhatian telah bekerjasama. Rangkaian balai cerap yang digunakan oleh projek EHT termasuk Array Milimeter/submilimeter Besar Atacama (ALMA) dan EKSperimen Pencari Laluan Atacama (APEX) di Gurun Atacama di Chile.


Eropah juga menyumbang kepada pemerhatian EHT dengan balai cerap radio lain - teleskop IRAM 30 meter di Sepanyol dan, sejak 2018, North Extended Millimeter Array (NOEMA) di Perancis, serta superkomputer untuk menggabungkan data EHT di Jerman. Hasil penyelidikan itu diterbitkan dalam The Astrophysical Journal Letters. - Sumber Space.com.


Imej Sagittarius A*, ditangkap oleh Balai Cerap X-Ray Chandra NASA. - Foto NASA/CXC.


EmoticonEmoticon