Ahad, 15 Mei 2022

Dua ekor biri-biri dipenjara kerana ragut rumput di zon larangan

Dua biri-biri dipenjara kerana meragut rumput di kawasan yang tidak dibenarkan. - Foto CEN.

Dua ekor biri-biri di Mexico dimasukkan ke dalam penjara selepas ditangkap meragut rumput di sebuah kawasan larangan, lapor akhbar Mirror UK pada 14 Mei 2022.


Kedua-dua ekor haiwan itu didakwa meragut di sekitar kawasan asrama sebuah sekolah dan akan terus ditahan sehingga pemiliknya membayar denda, serta membaiki kerosakan yang disebabkan oleh biri-biri berkenaan.


Pemiliknya, Reyna Morales, juga perlu berikrar untuk memastikan haiwan itu diikat dalam kandang jika mahu menuntut semula peliharaannya.


Pasangan biri-biri itu telah 'menjamu selera' di atas rumput di pekarangan asrama Ignacio Zaragoza di perbandaran Santa Catarina Yosonotu, dalam negeri Oaxaca, selatan Mexico.


Morales membuat rayuan kepada pihak polis kerana dia percaya hukuman penjara adalah satu bentuk kekejaman terhadap haiwan.


Dia memberitahu media tempatan bahawa biri-birinya sedang ditambat di belakang jeriji berkarat tanpa makanan dan air serta bimbang ia akan mati kelaparan.


Morales juga mendakwa bahawa keluarganya sedang ditakut-takutkan oleh pemimpin orang asli yang mengarahkan haiwan itu dipenjarakan, untuk menghalangnya daripada mendedahkan perbalahan itu.


Ibu kepada dua anak itu juga telah merayu bantuan kewangan daripada ahli komuniti kerana dia tidak mampu membayar denda.


Pejabat Peguam Negara di Oaxaca pada 11 Mei memaklumkan mereka telah membuka kertas siasatan untuk jenayah Kekejaman Haiwan, selepas dua haiwan vertebrata (biri-biri) dikurung di penjara perbandaran. - Sumber Mirror UK.


Imej ilustrasi perbandaran orang asli Santa Catarina Yosonotu di Oaxaca. - Foto CEN.


EmoticonEmoticon