Isnin, 26 Oktober 2026

Wanita warga China direman empat hari, disyaki terbabit aktiviti persundalan

Wanita warga China direman empat hari, disyaki terbabit aktiviti persundalan


TAWAU - Seorang wanita warga China direman empat hari selepas disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik operasi sebuah pusat refleksologi berhampiran pusat bandar, malam tadi.


Wanita berusia 36 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Tembok/Op Noda oleh sepasukan polis dari Cawangan D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau serta Jabatan Tenaga Kerja Tawau, kira-kira jam 8.37 malam.


Ketika serbuan, wanita terbabit ditemui bersama seorang anggota polis penyamaran di dalam sebuah bilik di tingkat satu premis berkenaan.


Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan minyak pelincir, kondom terpakai dan belum digunakan, plastik pembungkus kondom, sebuah beg serta wang tunai RM500 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu. Pasport wanita berkenaan turut dirampas.


Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai pemilik premis bagi membantu siasatan.


Wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan reman selama empat hari sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan.

Guru tuisyen, jurulatih kecergasan didakwa laku amang seksual kanak-kanak

Guru tuisyen, jurulatih kecergasan didakwa laku amang seksual kanak-kanak


Seorang guru tuisyen dan jurulatih kecergasan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen Muar, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak.


Kedua-dua tertuduh, Wong Jhun Kiat, 32, dan Mahadir Ahmad, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.


Wong didakwa melakukan perbuatan itu terhadap dua murid perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat tuisyen di Batu Pahat.


Bagi pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.


Sementara itu, Mahadir yang juga duda dan bapa kepada seorang anak, didakwa melakukan kesalahan sama terhadap rakan anak perempuannya berusia 10 tahun di rumahnya di Batu Pahat, kira-kira jam 2 petang, 17 Oktober lalu.


Dia berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 15(a)(ii) akta sama.


Berdasarkan laporan, Wong didakwa mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika mengajar tuisyen, manakala Mahadir didakwa melakukan perbuatan itu ketika mangsa mandi di rumahnya.


Kes berkenaan terbongkar selepas seorang daripada mangsa pulang ke rumah dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya.


Mahkamah menetapkan 16 November ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen serta membolehkan Mahadir melantik peguam.


Mahkamah membenarkan Wong diikat jamin RM10,000, manakala Mahadir RM12,000. Kedua-dua tertuduh membayar wang jaminan masing-masing.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Sapian. Wong diwakili peguam Ahmad Azimuddin Bahamdin, manakala Mahadir tidak diwakili peguam.

Berjudi dalam talian di tempat awam, lelaki didenda RM2,700

Berjudi dalam talian di tempat awam, lelaki didenda RM2,700


KUCHING - Seorang lelaki didenda RM2,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah berjudi dalam talian di sebuah kedai serbaneka di Matang, September lalu.


Majistret Nureina Syafika Mohd Najib turut memerintahkan Bryan Chok Zao Yao, 24, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Bryan mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah kedai serbaneka di Lorong Lee Ling 1D, Matang, kira-kira jam 9 malam pada 20 September 2026.


Pemeriksaan terhadap Bryan yang berada di dalam premis itu menemukan sebuah telefon bimbit mengandungi unsur perjudian dalam talian.


Polis turut merampas telefon bimbit, sekeping kertas tertera ID dan kata laluan serta wang tunai RM40 sebelum menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.


Siasatan mendapati Bryan mengaku bermain judi dalam talian menggunakan telefon bimbit ketika berada di tempat awam.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pramugara nafi mabuk ketika terbabit kemalangan maut ragut nyawa pekerja jalan raya

Pramugara nafi mabuk ketika terbabit kemalangan maut ragut nyawa pekerja jalan raya


Seorang pramugara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas dua pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol sehingga mencederakan pekerja penyelenggaraan dan menyebabkan kematian seorang rakan sekerja mangsa, Sabtu lalu.


Tertuduh, Mohd Iman Nafiz Fong Mohd Sabirin, 26, meminta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @Mohamad Saim.


Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta Ford Focus Sport dengan 64 miligram (mg)/100 mililiter (ml) kandungan alkohol dalam darahnya, melebihi had ditetapkan iatu 50 mg/100 ml, dan menyebabkan kematian Faris Irfan Fazli, 29.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen pada 4.09 pagi, 24 Oktober lalu.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000, jika sabit kesalahan. Dia juga boleh hilang kelayakan memegang lesen memandu minimum 10 tahun.


Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memandu kenderaan sama dan bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ahmad Zakiyamani Zakaria @Yusuff, 49, di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 44(1A)(b) APJ 1987.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun dan denda RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM50,000 untuk kedua-dua pertuduhan.


"Saya memohon lesen memandu tertuduh digantung dan pasportnya diserah ke mahkamah kerana tertuduh beralamat di Kuching, Sarawak, dan mempunyai risiko melarikan diri," katanya.


Peguam bela tertuduh, Mohd Anif Rafih merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan kepada RM30,000 bagi keseluruhan pertuduhan.


"Pembelaan tidak membantah tentang penggantungan lesen, namun membantah berkenaan penyerahan pasport.


"Anak guam saya memerlukan pasport bagi menjalankan pekerjaan hakikinya sebagai pramugara syarikat penerbangan.


"Beliau masih bujang, namun pencari nafkah tunggal dan menanggung orang tuanya termasuk bapa pesakit jantung dan sedang menerima rawatan di hospital," katanya.


Mohd Anif berkata, pihak pembelaan menawarkan supaya tertuduh melapor diri di balai polis sebulan sekali sebagai pengganti kepada penyerahan pasport.


Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Atiqah membenarkan Mohd Iman diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung bermula hari ini.


Mahkamah juga memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis pada setiap 1 hari bulan, dan menetapkan 30 November ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen.


Sabtu lalu, media melaporkan dua pekerja penyelenggaraan maut selepas dirempuh kereta dipandu lelaki berusia 26 tahun yang didapati mempunyai tahap alkohol melebihi had dibenarkan dalam darah.

Ahad, 25 Oktober 2026

Alasan beli makanan kucing terbongkar, isteri serbu suami di rumah janda

Alasan beli makanan kucing terbongkar, isteri serbu suami di rumah janda


Helah seorang suami yang meminta izin isterinya untuk keluar membeli makanan kucing terbongkar apabila lelaki itu ditemukan berada di rumah seorang wanita lain yang berstatus janda di Kejayan, Pasuruan, Jawa Timur, Indonesia.


Menurut laporan Tribun Timur, lelaki berkenaan meninggalkan rumah kira-kira jam 10 malam waktu tempatan dengan alasan mahu membeli makanan untuk haiwan peliharaan mereka.


Bagaimanapun, selepas beberapa jam menunggu tanpa kepulangan suaminya, wanita itu mula berasa curiga sebelum mengambil keputusan untuk mencarinya.


Pencarian tersebut akhirnya membawa si isteri ke rumah seorang janda, tempat suaminya ditemukan kira-kira jam 2 pagi waktu tempatan pada Rabu.


Kejadian itu dirakam menerusi video yang kemudiannya tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai.


Dalam rakaman berkenaan, wanita yang dipercayai pemilik rumah dilihat mengenakan tudung coklat dan baju biru sambil menutup wajahnya ketika dirakam.


Suami yang memakai kemeja-T hitam pula kelihatan berdiri berhampiran wanita tersebut.


Individu yang merakam kejadian turut kedengaran meluahkan kemarahan dan menyindir alasan membeli makanan kucing yang diberikan lelaki itu sebelum meninggalkan rumah.


Rakaman berkenaan mencetuskan perhatian pengguna media sosial yang mempersoalkan tindakan lelaki tersebut, khususnya selepas isterinya terpaksa mencarinya pada awal pagi.


Setakat laporan diterbitkan, belum terdapat pengesahan rasmi berhubung dakwaan hubungan sulit antara kedua-duanya.

Peniaga laksa didenda RM4,500 gelar bekas madu pelacur

Peniaga laksa didenda RM4,500 gelar bekas madu pelacur


Seorang TikToker yang berniaga laksa didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengaibkan kehormatan bekas madunya melalui aplikasi WhatsApp dengan mengatakan wanita itu sebagai pelacur, tahun lalu.


Nur Hazwani Mustapha, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret R. Vinoshen.


Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan melalui aplikasi WhatsApp dengan menyatakan Nur Faezah Sohaimi, 33, sebagai seorang pelacur. Perbuatan itu dilakukan di Kampung Dusun Muda di Kota Bharu kira-kira pukul 11.30 pagi pada 1 November 2025.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika disabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Baihaqi Mohd. Saidi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali. Terdahulu, Muhammad Baihaqi mencadangkan hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.


Muhammad Husni dalam rayuannya memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh merupakan seorang ibu tunggal selain perlu menyara empat anak sebagai peniaga laksa dengan pendapatan hanya RM50 sehari.


"Selain itu, barangan rampasan iaitu telefon bimbit jenis iPhone 14 mohon dikembalikan kepada pemilik asal," katanya.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau sebulan penjara jika gagal membayar jumlah tersebut dan barang kes dikembalikan kepada pemilik. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di rumah kira-kira pukul 11.30 pagi pada 1 November 2025 telah dihubungi oleh rakannya yang memaklumkan ada beberapa pesanan WhatsApp daripada Nur Hazwani Mustapha berbau ugutan.


Wanita itu datang ke balai polis pada 3 November 2025 untuk membuat laporan kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.

Sewa tayar RM100 hingga RM250 untuk 'lepas' pemeriksaan Puspakom

Sewa tayar RM100 hingga RM250 untuk 'lepas' pemeriksaan Puspakom


KUANTAN - Menyewa tayar lori pada kadar RM100 hingga RM250 semata-mata untuk melepasi pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dipercayai menjadi antara taktik segelintir pengusaha lori bagi mengelakkan kos penyelenggaraan yang tinggi.


Amalan itu dikatakan sudah lama berlaku dengan bantuan sesetengah bengkel atau kedai tayar yang menawarkan perkhidmatan sewaan tayar untuk digunakan ketika pemeriksaan.


Selepas pemeriksaan selesai, tayar sewaan bersama rim akan dipulangkan sebelum tayar lama yang tidak memenuhi syarat dipasang semula pada lori berkenaan.


Seorang pemilik lori yang enggan dikenali berkata, kos tayar baharu yang tinggi serta keadaan perniagaan tidak menentu menyebabkan segelintir pengusaha mengambil jalan mudah untuk menjimatkan perbelanjaan.


Katanya, ada lori yang jarang digunakan atau hanya melakukan kerja kampung, namun tetap perlu menjalani pemeriksaan berkala Puspakom.


Seorang lagi pemilik lori dikenali sebagai Bob berkata, perkhidmatan menyewa tayar itu mudah diperoleh dengan kadar sekitar RM200 bagi satu set tayar bersama rim, berbanding harga tayar baharu yang mencecah sekurang-kurangnya RM400 sebiji.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.


Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap sebuah premis tayar lori di kawasan Gebeng dan hasil awal mendapati terdapat maklumat mengenai perkhidmatan sewaan tayar bagi tujuan pemeriksaan Puspakom pada kadar RM100 hingga RM150 bagi sebuah lori.


Beliau menegaskan, JPJ Pahang akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan peraturan serta aspek keselamatan kenderaan berat.


Amalan berkenaan menimbulkan kebimbangan kerana penggunaan tayar lama yang tidak memenuhi tahap keselamatan boleh meningkatkan risiko kemalangan, sekali gus mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.

109 warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Ipoh, lima majikan disaman

109 warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Ipoh, lima majikan disaman


Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam dua serbuan berasingan menerusi Ops Gegar di sekitar bandar raya Ipoh, termasuk di Pasar Borong Ipoh, awal pagi hari ini.


Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 75 lelaki dan 34 wanita berusia antara 19 hingga 59 tahun.


Menurutnya, serbuan pertama dijalankan di sekitar bandar raya Ipoh kira-kira jam 9 malam tadi, manakala operasi kedua di Pasar Borong Ipoh bermula jam 1.30 pagi.


"Ketika serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri, namun hasil kecekapan pegawai dan anggota penguat kuasa, kesemua mereka berjaya ditahan.


"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Myanmar, Indonesia dan Bangladesh," katanya ketika ditemui selepas operasi di Pasar Borong Ipoh, hari ini.


Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan.


Semua tahanan dibawa ke pejabat JIM negeri untuk proses dokumentasi dan semakan lanjut sebelum ditempatkan di depoh tahanan imigresen.


Dalam operasi sama, pihaknya turut mengeluarkan lima saman terhadap majikan dan pemilik premis bagi membantu siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.


Dalam perkembangan lain, Lokman Effendi berkata, lebih 11,000 operasi penguatkuasaan dilaksanakan sejak 1 Januari lalu, membabitkan pemeriksaan terhadap hampir 150,000 warga asing.


Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen dalam satu serbuan di Pasar Borong Ipo. - Foto NSTP.


PM Anwar dedah pelabur global mahu melabur AS$50 bilion di Sarawak, Semenanjung dalam bidang AI

PM Anwar dedah pelabur global mahu melabur AS$50 bilion di Sarawak, Semenanjung dalam bidang AI


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa seorang pelabur global berhasrat melaksanakan pelaburan bernilai AS$50 bilion dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi baharu dan pusat data di Sarawak serta Semenanjung.


Beliau berkata, perkara itu dinyatakan pelabur berkenaan menerusi sidang video bersama-samanya baru-baru ini dengan pelaburan berkenaan disifatkan beliau sebagai antara yang terbesar di rantau ini.


Anwar menyatakan, pelaburan dalam sektor teknologi berkenaan berpotensi membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih baik kepada rakyat, khususnya generasi muda termasuk pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.


"Hari Selasa lalu, seorang daripada pelabur terbesar di dunia, mengadakan sidang video dengan saya. Dia kata dia sudah pilih Sarawak, Kuching dan Semenanjung untuk membangunkan pelaburan di antara pelaburan terbesar di rantau ini, AS$50 bilion.


"Dalam bidang apa? Dalam bidang AI, teknologi baharu, pusat data. Maknanya anak-anak yang di pusat pengajian tinggi sekarang, di sekolah, harus ingat peluang baharu ada, peluang pekerjaan lebih baik," jelas beliau.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih MADANI dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) di Kompleks Sukan Hang Jebat, Melaka, semalam yang turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.


Perdana Menteri menyifatkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Malaysia perlu terus dipelihara menerusi kestabilan politik dan kepimpinan negara, selain memastikan persekitaran yang kondusif untuk pelaburan.


Anwar menegaskan keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama merupakan antara kekuatan Malaysia yang perlu dimanfaatkan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.


"Kalau orang tidak yakin dengan kerajaan ini, kalau pimpinan itu asyik bergaduh terus, orang tidak akan berminat untuk datang," menurut beliau.


Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia perlu terus memperkukuh penguasaan teknologi baharu khususnya AI, pendigitalan dan semikonduktor bagi memastikan negara mampu mencatat pertumbuhan ekonomi yang mampan.


Katanya, usaha meningkatkan latihan dan kemahiran tenaga kerja juga penting bagi membolehkan Malaysia beralih daripada aktiviti teknologi di sebalik sistem kepada segmen pertengahan dan peringkat berinteraksi dengan pengguna yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat termasuk peluang pekerjaan lebih baik dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

Dipeluk suami, wanita patah lima tulang rusuk akibat osteoporosis

 

Seorang wanita di China mengalami kecederaan serius apabila lima tulang rusuknya patah dan satu lagi mengalami keretakan halus selepas dipeluk suaminya sendiri.


Menurut laporan media, kejadian berlaku apabila wanita itu memberitahu suaminya yang hanya dikenali sebagai Wang bahawa dia berasa sejuk.


Wang kemudian memeluk isterinya seperti biasa untuk memberikan kehangatan, namun pasangan itu terkejut apabila terdengar bunyi retakan sebelum wanita berkenaan tiba-tiba terduduk kesakitan dan sukar untuk berdiri.


Pada mulanya, wanita itu menyangka kecederaan berkenaan hanya ketegangan otot biasa. Namun, selepas menahan kesakitan selama sehari, dia akhirnya mendapatkan rawatan di hospital.


Pemeriksaan imbasan tomografi berkomputer (CT) mendapati lima tulang rusuknya patah, manakala satu lagi mengalami keretakan halus.


Doktor memaklumkan kecederaan itu berpunca daripada osteoporosis yang teruk sehingga menyebabkan tulangnya terlalu rapuh dan mudah patah walaupun akibat tekanan ringan.


Wanita itu dibenarkan pulang dengan bekalan ubat serta tampalan bagi membantu proses pemulihan. Dia juga dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya dan tidak memerlukan pembedahan.


Menurut Wang, isterinya mempunyai berat badan antara 45 hingga 50 kilogram serta sering mengamalkan diet ketat, termasuk tidak mengambil makan malam.


Wanita itu juga dikatakan minum kopi setiap hari, jarang keluar rumah dan sentiasa menutup seluruh tubuh ketika berada di luar bagi mengelakkan cahaya matahari.


Doktor menjelaskan bahawa kekurangan pendedahan kepada cahaya matahari boleh menjejaskan penghasilan vitamin D, yang penting untuk membantu penyerapan kalsium dan mengekalkan kekuatan tulang.


Menurut Cleveland Clinic, osteoporosis ialah penyakit yang menyebabkan ketumpatan tulang berkurangan, sekali gus menjadikan tulang lebih lemah dan meningkatkan risiko patah.


Kini, wanita berkenaan memberi tumpuan kepada proses pemulihan di rumah serta mula mengubah gaya hidup dengan lebih kerap mendapatkan cahaya matahari dan memastikan pengambilan kalsium mencukupi.