Ahad, 11 Oktober 2026

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri

Salah guna pas lawatan sosial bekerja sebagai GRO, 8 wanita warga asing ditahan di Miri


Lapan wanita warga asing ditahan selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) tanpa permit kerja yang sah di sebuah pusat hiburan di Jalan Kubu, Miri pada 4 Oktober lalu.


Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, serbuan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hasil risikan terhadap premis berkenaan.


Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun turut ditahan bersama lapan wanita warga asing berusia antara 23 hingga 43 tahun. Pemeriksaan mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.


Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki menggaji pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah, manakala lapan wanita terbabit disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja sebagai GRO.



Mohd Farhan berkata, lelaki berkenaan direman selama dua hari sehingga 6 Oktober lalu, manakala lapan wanita warga asing itu ditahan selama 14 hari di Lokap Balai Polis Trafik Miri bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali, bagi setiap pekerja yang didapati bersalah.


Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang melibatkan operasi premis hiburan.

Lelaki direman tujuh hari kes rogol remaja dikenali menerusi Telegram

Lelaki direman tujuh hari kes rogol remaja dikenali menerusi Telegram


Polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun, pada Khamis bagi membantu siasatan dakwaan rogol remaja perempuan berusia 15 tahun pada 4 Oktober lalu.


Penahanan pekerja kontrak pihak berkuasa tempatan (PBT) itu susulan laporan dibuat mangsa yang mendakwa kejadian berlaku di Bandar Sri Indah, Tawau.


Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat untuk permohonan reman. Majistret Dayang Aidaku Amirah Aminuddin kemudian membenarkan suspek direman tujuh hari sehingga 16 Oktober.


Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa dibawa suspek yang dikenali di aplikasi Telegram menaiki kereta Proton Saga ke kawasan belakang sebuah pasar raya di Bandar Sri Indah, Batu 10 Jalan Apas, di Tawau kira-kira 4 petang.


Mangsa dilaporkan pertama kali bertemu lelaki berkenaan ketika kejadian itu berlaku.


Ketika berada di dalam kenderaan, suspek didakwa melakukan perbuatan terlarang berkenaan dan mangsa yang masih bersekolah memaklumkan perkara itu kepada ibunya dua hari kemudian.


Keluarga kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan yang membawa kepada penahanan suspek pada 9.30 malam Khamis.


Difahamkan, polis merampas telefon bimbit milik suspek dan kereta yang dipercayai digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan rogol.

Dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh perlu bukti - Saifuddin

Dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh perlu bukti - Saifuddin


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas lanjut dakwaan seorang lelaki Rohingya menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia kerana tiada bukti kukuh berhubung perkara itu.


Menurutnya, sebarang dakwaan perlu disertakan bukti kukuh dan jelas sebelum beliau memberikan maklum balas.


"Saya tak mahu respon kepada khabar atau dakwaan. Kalau ada suatu hujah yang kuat, bukti yang terang, baru saya boleh respon. Tak ada dalam pengetahuan saya tentang masalah ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di Kulim pada Sabtu.


Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Isa Isarb memuat naik kandungan melawat perkampungan etnik Rohingya di Cox's Bazar dan menemu bual lelaki yang mengaku menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia.


Berdasarkan dakwaan lelaki tersebut, dia mengakui tidak mempunyai kad UNHCR ketika berada di Malaysia.


Dia bagaimanapun meminta bantuan ibu bapa yang berada di Bangladesh sebelum menyediakan pasport dengan pihak Imigresen bagi membolehkannya balik ke negara itu.

'Bukan sekadar hantar asap, kami juga bekalkan oksigen kepada negara jiran' - Pegawai Pemerintah Indonesia

'Bukan sekadar hantar asap, kami juga bekalkan oksigen kepada negara jiran' - Pegawai Pemerintah Indonesia


Indonesia meminta Malaysia dan Singapura memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan ketika ini didakwa berpunca daripada fenomena alam, bukannya kesilapan manusia.


Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan memahami kebimbangan kedua-dua negara berhubung pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah republik itu.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku di luar kawalan manusia dan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada fenomena alam.


"Jadi, kami juga meminta semua negara jiran memahami bahawa perkara ini berlaku di luar faktor kesilapan manusia. Ini benar-benar fenomena alam," katanya di pejabat Institut Ketahanan Nasional (Lemhannas), Jakarta pada Sabtu.


Menurut laporan Kompas.com, Syahganda berkata, hubungan diplomatik antara Indonesia dengan Malaysia kekal baik meskipun kedua-dua negara kini berdepan isu pencemaran udara rentas sempadan.


Beliau berkata, kerajaan Indonesia terus memberikan penjelasan kepada Malaysia dan Singapura mengenai situasi kebakaran hutan serta usaha yang sedang dilaksanakan untuk menanganinya.


Malah, Syahganda turut mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran asap, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jirannya melalui kawasan hutan yang luas.


"Kami bukan sekadar menghantar asap, tetapi apabila tiada asap, kami menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan kami," katanya.


Syahganda turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar wakil menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan isu kebakaran hutan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia.


Menurutnya, perbincangan antara kedua-dua negara sedang diperincikan bagi mencari pendekatan bersama dalam menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca jerebu.


"Kami sedang memperincikan perbincangan supaya masalah kebakaran hutan ini dapat ditangani secara bersama," ujarnya.


Sementara itu, kerajaan Malaysia sebelum ini berharap rundingan teknikal dengan Indonesia berhubung operasi memadamkan kebakaran hutan dapat diselesaikan segera bagi membolehkan pasukan bantuan negara dihantar ke kawasan terjejas.

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5

JPJ gantung sementara VTA, pendaftaran Chery Omoda 5


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu susulan insiden gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terjejas.


Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.


"Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta parameter teknikal berkaitan.


"Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.


Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.


"JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.


"Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan," katanya.


Menurutnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.


Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya.


Terdahulu, gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang mengalami kerosakan pada bahagian gandar belakang tular di media sosial selepas kejadian di Johor Bahru, minggu lalu.


Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.


Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.


Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.


Bagaimanapun, belum ada pengesahan insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.

Lima lelaki ditahan cuba serang penduduk guna senjata berbahaya

Lima lelaki ditahan cuba serang penduduk guna senjata berbahaya


Polis menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian menyerang seorang penduduk menggunakan senjata berbahaya di sebuah taman perumahan, Petaling Jaya, pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.03 pagi, daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa diserang beberapa individu.


Beliau berkata, polis turut mengesan video berkaitan insiden berkenaan yang tular di media sosial.


"Hasil siasatan, polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian bagi membantu siasatan.


"Tiga daripada suspek yang ditahan, berusia lingkungan 30 tahun hingga 40-an, mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.


"Manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Shamsudin berkata, polis turut merampas sebilah parang dan sebilah gergaji yang disyaki digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.


"Siasatan awal dipercayai kejadian ini bermotifkan perselisihan faham dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata atau objek berbahaya ketika melakukan rusuhan.


"Selain itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian ini," katanya.


Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial, atau membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung kejadian berkenaan.


Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Rohingya tunjuk pisau bila ditegur, lebih 300 keluarga di flat kesidang Resah

Rohingya tunjuk pisau bila ditegur, lebih 300 keluarga di flat kesidang Resah


Seorang daripada dua kumpulan etnik Rohingya didakwa menunjukkan pisau kepada penduduk Rumah Pangsa Kampung Padang, Kesidang di Melaka sehingga mencetuskan kebimbangan lebih 300 buah keluarga di flat berkenaan semalam.


Penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, susukan aduan itu, beliau bersama polis dan penduduk turun ke sebuah rumah sewa yang dihuni warga Myanmar itu malam tadi.


Menurutnya, terdapat dua sekumpulan etnik Rohingya yang cuba berpindah masuk ke kawasan rumah pangsa itu pada petang semalam, namun dihalang penduduk yang bimbang dengan kejadian sebelum ini.


"Lebih membimbangkan, penduduk mendakwa ada Rohingya yang ditegur itu menunjukkan pisau kepada penduduk dan tindakan ini tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keselamatan dan ketenteraman masyarakat setempat.


"Sebarang perlakuan yang mengancam keselamatan tidak boleh dikompromi dan perlu disiasat serta diambil tindakan oleh pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.


Bekas Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Melaka itu berkata, rumah pangsa berkenaan dihuni lebih 300 penduduk dan mereka bimbang kemasukan lebih ramai etnik Rohingya akan menimbulkan masalah kepada komuniti setempat.


"Antara aduan yang diterima termasuklah perbuatan membuang air kecil dan besar secara merata-rata di kawasan rumah pangsa," tegasnya lagi.


Sehubungan itu, Allex menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kepada wakil rakyat atau polis setempat sekiranya mempunyai maklumat mengenai warga asing yang menimbulkan masalah di kawasan kediaman mereka.


Beliau turut mencadangkan supaya pihak pengurusan rumah pangsa mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan peraturan berkaitan kemasukan penghuni baharu.


"Kita harap jangan lagi ada warga asing dibenarkan masuk. Pihak pengurusan perlu mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara ini.


"Sebelum saya jadi wakil rakyat memang di Kampung Kolam ada komuniti Rohingya dan kita ada pantau bersama polis dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan nak tegaskan mereka tidak dibenarkan mengadakan apa-apa jamuan atau kenduri di sini," katanya.


Allex berkata, beliau berharap tindakan pemantauan bersama pihak berkuasa dapat membantu memastikan penduduk dapat tinggal dengan lebih selesa dan selamat.

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine


Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.


Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.


"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.


"Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.


"Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati positif amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sarudin berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.


Katanya, isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu mereka, remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama, juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.


Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera pada badan dan turut dilaporkan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Terdahulu, Media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan berkenaan.

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil


Bekas sami Thailand, Alongkot dijatuhi hukuman penjara terkumpul selama 742 tahun, manakala seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai medium kerohanian, Bee dihukum penjara selama 386 tahun serta 1,480 bulan.


Hukuman itu terhadap kes penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram membabitkan sumbangan lebih 10 bilion baht (kira-kira RM1.218 bilion) yang dikaitkan dengan Wat Phra Bat Nam Phu.


Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu minggu ini, namun tempoh pemenjaraan sebenar Bee dihadkan kepada maksimum 50 tahun, selaras peruntukan undang-undang Thailand selepas mahkamah mengambil kira manfaat keterangannya dalam kes berkenaan.


Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan membayar balik secara bersama wang berjumlah lebih 300 juta baht (RM36.55 juta).


Kes berkenaan terbongkar selepas polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan Alongkot dan Bee bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan sumbangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu serta kegiatan pengubahan wang haram.


Alongkot berdepan beberapa pertuduhan, termasuk menyalahgunakan kedudukan untuk menyeleweng harta, melaksanakan atau gagal melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang serta bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Bee pula didakwa membantu penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai, membantu pelaksanaan atau kegagalan melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang dan terlibat bersama dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Dalam perkembangan siasatan, pegawai Biro Siasatan Pusat Thailand menjalankan pemeriksaan di 17 lokasi sekitar Bangkok dan kawasan berhampiran, selain menyita aset bernilai lebih 10 bilion baht (RM1.218 bilion).


Aset berkenaan disita bagi tujuan pemulangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu yang dikaitkan dengan sumbangan terbabit.


Penyiasat kemudian memohon perintah tahanan mahkamah dan membantah permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua suspek sebelum kes mereka dibawa ke Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku untuk tindakan lanjut.

Tsunami matahari: Bumi berdepan risiko gangguan satelit, navigasi dan komunikasi radio hujung minggu ini

Tsunami matahari: Bumi berdepan risiko gangguan satelit, navigasi dan komunikasi radio hujung minggu ini


Bumi berpotensi dilanda siri ribut suria susulan letusan berkuasa di matahari termasuk gelombang besar plasma panas yang dikenali sebagai tsunami suria.


Fenomena cuaca angkasa itu boleh mencetuskan ribut geomagnet daripada tahap lemah hingga kuat, sekali gus meningkatkan peluang kemunculan aurora yang memukau di beberapa kawasan sepanjang hujung minggu ini.


Menurut ramalan cuaca angkasa, ramalan cuaca angkasa menjangkakan sehingga tiga lontaran jisim korona (CME) melanda bumi pada 9 dan 11 Oktober. Fenomena itu melibatkan pelepasan berbilion tan zarah bercas dan medan magnet ke angkasa lepas yang boleh mencetuskan ribut geomagnet apabila berinteraksi dengan medan magnet bumi.


Ribut yang dijangka berlaku berada pada tahap G1 iaitu kategori kecil hingga G3 yang diklasifikasikan sebagai kuat.


Ia juga berpotensi meningkatkan kemungkinan aurora muncul di kawasan yang lazimnya tidak mengalami fenomena cahaya berwarna-warni itu. Namun, kemunculannya bergantung pada kekuatan dan orientasi medan magnet yang dibawa oleh lontaran berkenaan.


Aktiviti terbaharu itu bermula apabila tompok matahari 4549 kembali meletus pada 8 Oktober menghasilkan suar suria kelas M6.7.


Suar kelas M dikategorikan sebagai letusan berkekuatan sederhana yang berpotensi mengganggu komunikasi radio dan meningkatkan kesan cuaca angkasa yang lain.


Letusan itu turut mencetuskan tsunami suria yang secara saintifik dikenali sebagai gelombang Moreton di atmosfera matahari. Gelombang besar plasma panas dan tenaga magnet itu bergerak pantas merentasi atmosfera matahari susulan letusan kuat.


Bahagian hadapan gelombang kejutan berkenaan boleh menjangkau kawasan yang jauh lebih luas daripada saiz bumi dan bergerak pada kelajuan melebihi 1.6 juta kilometer sejam.


Selain mencetuskan aurora, ribut geomagnet juga berpotensi menjejaskan satelit, sistem navigasi, komunikasi radio frekuensi tinggi dan, dalam keadaan lebih serius, rangkaian bekalan elektrik.