Sabtu, 10 Oktober 2026

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil


Bekas sami Thailand, Alongkot dijatuhi hukuman penjara terkumpul selama 742 tahun, manakala seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai medium kerohanian, Bee dihukum penjara selama 386 tahun serta 1,480 bulan.


Hukuman itu terhadap kes penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram membabitkan sumbangan lebih 10 bilion baht (kira-kira RM1.218 bilion) yang dikaitkan dengan Wat Phra Bat Nam Phu.


Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu minggu ini, namun tempoh pemenjaraan sebenar Bee dihadkan kepada maksimum 50 tahun, selaras peruntukan undang-undang Thailand selepas mahkamah mengambil kira manfaat keterangannya dalam kes berkenaan.


Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan membayar balik secara bersama wang berjumlah lebih 300 juta baht (RM36.55 juta).


Kes berkenaan terbongkar selepas polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan Alongkot dan Bee bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan sumbangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu serta kegiatan pengubahan wang haram.


Alongkot berdepan beberapa pertuduhan, termasuk menyalahgunakan kedudukan untuk menyeleweng harta, melaksanakan atau gagal melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang serta bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Bee pula didakwa membantu penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai, membantu pelaksanaan atau kegagalan melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang dan terlibat bersama dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Dalam perkembangan siasatan, pegawai Biro Siasatan Pusat Thailand menjalankan pemeriksaan di 17 lokasi sekitar Bangkok dan kawasan berhampiran, selain menyita aset bernilai lebih 10 bilion baht (RM1.218 bilion).


Aset berkenaan disita bagi tujuan pemulangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu yang dikaitkan dengan sumbangan terbabit.


Penyiasat kemudian memohon perintah tahanan mahkamah dan membantah permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua suspek sebelum kes mereka dibawa ke Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku untuk tindakan lanjut.


EmoticonEmoticon