Selasa, 26 Ogos 2025

Seakan kapal angkasa turun ke bumi, fenomena 'light pillars' muncul di Bintulu

Seakan kapal angkasa turun ke bumi, fenomena 'light pillars' muncul di Bintulu


Kemunculan tiga garisan cahaya berwarna jingga tergantung di langit malam tadi mendapat perhatian penduduk di Bintulu, Sarawak.


Fenomena tersebut yang dinamakan sebagai 'light pillars' sempat dirakam oleh orang awam yang dapat melihatnya dengan jelas.


Difahamkan, fenomena itu jarang berlaku di negara ini malah kebiasaannya boleh dilihat di negara-negara sejuk.


Menurut seorang penduduk, cahaya berkenaan dapat dilihat sekitar pukul 9 malam tadi dari kediamannya.


"Mula-mula hairan kenapa jiran ambil gambar langit. Bila tengok atas nampak garisan ini, pertama kali dapat lihat sendiri," katanya.


Sementara itu, seorang pengguna media sosial berkata, fenomena ini biasa dilihat di Kerteh, Terengganu apabila ada pembakaran gas berlebihan di pelantar minyak.


"Kalau di Kerteh saya dah puas tengok, bila ada pembakaran gas berlebihan akan nampak jalur api di langit mungkin pada waktu itu angin tak terlalu kuat membuatkan hawa panas nampak jelas di atas langit," katanya.


Selain itu, seorang lagi pengguna media sosial berkata, kemungkinan tiang cahaya itu muncul susulan pantulan cahaya api dari pelantar minyak di kawasan Kidurong.


"Saya rasa ini refleksi cahaya api di LNG station area Kidurong sana," katanya.


Antara gambar yang dikongsi pengguna media sosial.
Lelaki maut dilanggar tren komuter, identiti mangsa belum dikenal pasti

Lelaki maut dilanggar tren komuter, identiti mangsa belum dikenal pasti

 

Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan selepas dilanggar tren komuter bagi laluan dari Ipoh ke utara di Kilometer 156, berhampiran sebuah kuil di Pekan Chemor, Ipoh semalam.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian pada pukul 6 pagi itu dilaporkan kepada polis oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).


Katanya, kejadian disedari selepas pemandu tren mendengar bunyi dentuman kuat pada bahagian hadapan kenderaan namun tidak dapat mengenal pasti objek berikutan keadaan yang gelap dan berkabus.


"Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui serpihan anggota badan manusia dan barangan peribadi dipercayai milik mangsa. Mangsa dipercayai seorang lelaki berdasarkan pada pakaian yang dijumpai di landasan kereta api," katanya di sini hari ini.


Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi oleh Unit Forensik, Unit Anjing Pengesan (K9) Kontinjen Perak dan Pasukan Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) menemukan cebisan anggota badan manusia yang kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat.


"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga identiti mangsa dikenal pasti. Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd. Safrizal Mohd. Saad di talian 017-3446790," katanya.


Pakaian dipercayai milik mangsa yang maut selepas dilanggar tren komuter dekat landasan kereta api di Kilometer 156, berhampiran sebuah kuil di pekan Chemor, Ipoh semalam. - Foto Kosmo Online.

Isnin, 25 Ogos 2025

Suami cekup isteri curang dengan doktor, rumah tangga 10 tahun musnah

Suami cekup isteri curang dengan doktor, rumah tangga 10 tahun musnah


Tular di Facebook memaparkan seorang pemuda menerjah dan merakam detik-detik isterinya curang bersama doktor berstatus suami orang sehingga mendapat perhatian warganet.


Menerusi perkongsian di Facebook, lelaki itu tidak pernah menyangka individu yang paling disayanginya sanggup berpaling tadah kepada lelaki lain meskipun sudah 10 tahun melayari bahtera rumah tangga bersama-sama.


Kata bapa kepada dua cahaya mata itu, punca permasalahan bukan disebabkan miskin, gaduh, tidak meluangkan masa bersama atau tiada persefahaman, sebaliknya gara-gara terma 'office wife'.


"Saya tak pernah sangka orang yang saya sangat sayang, yang setiap malam tidur di sisi sanggup curang.


"Setelah 10 tahun berkahwin rumah tangga saya musnah. Sejak dia bekerja, saya yang sokong dari awal hingga akhir. Hantar kerja luar, lalui pengajian jarak jauh (PJJ) berbulan-bulan, jadi telinga semasa dia stres, siapkan kerja bila penat, malah selalu tunggu balik lewat malam.


"Saya tak pernah curiga sebab percaya. Tetapi, rupanya selama ini dia dibelai orang yang dah berumah tangga. Berstatus profesional dan dihormati masyarakat, tapi hakikatnya tak lebih daripada perosak rumah tangga orang," katanya pada Ahad.


Perkongsian itu menerima lebih 31,000 perkongsian dan tanda suka termasuk emoji marah, bahkan majoriti pengguna Facebook turut menzahirkan rasa simpati terhadap pemuda berkenaan.


Lelaki itu turut memaklumkan, dia cuba bertahan demi anak-anak dan bersabar sebaik mengetahui kecurangan itu buat kali pertama, bahkan sempat memberi amaran agar isterinya tidak mengulangi perkara tersebut.


Bagaimanapun, isterinya tetap tidak mahu berubah, membuatkan Jason nekad untuk tidak mempertahankan lagi perkahwinannya dan memfailkan perceraian di Mahkamah Tinggi Malaya, Kota Bharu, Kelantan.


"Saat saya dapat tahu, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya hati ini sampaikan terasa hidup tak bermakna. Tapi bila pandang anak-anak, saya bangkit. Saya beri amaran dan cuba bertahan.


"Bila sekali diberi peluang pun masih tak berubah, saya nekad untuk bercerai. Tamatlah 10 tahun rumah tangga saya.


"Saya pilih untuk teruskan hidup bukan sebab kalah, tapi saya lebih sayangkan diri sendiri dan anak-anak," ujarnya lagi. - Sumber Sinar Harian.


Tular di Facebook memaparkan seorang pemuda menerjah dan merakam detik-detik isterinya curang bersama doktor berstatus suami orang sehingga mendapat perhatian warganet.
'Rider'yang silap hantar, jiran makan ketam harga RM500 lunyai kena belasah

'Rider'yang silap hantar, jiran makan ketam harga RM500 lunyai kena belasah


Sekumpulan lelaki warga China bersama pekerja Thai mereka, menyerang seorang jiran keturunan China-Kemboja di Chon Buri kerana makan ketam bernilai 4,000 baht (RM518) yang tersilap dihantar ke rumahnya, lapor portal berita Thaiger hari ini.


Serangan itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.30 malam (waktu tempatan) Jumaat lalu, manakala mangsa dikenali sebagai Mar Tu telah membuat laporan di Balai Polis Nong Prue.


Dia yang dipukul penyerang menambah, tukang kebunnya berbangsa Thailand juga cedera ketika cuba mempertahankannya.


Semalam, seorang suspek lelaki tempatan berusia 45 tahun dikenali sebagai Wanchai menyerah diri kepada polis. 


Dia mengaku bekerja untuk warga China tersebut dan merupakan salah seorang suspek dalam serangan itu.


Wanchai mendakwa perselisihan itu berlaku selepas ibu majikannya menghubungi sebuah restoran dan mendapati ketam itu telah dihantar ke alamat rumah Mar.


Menurut Wanchai, apabila majikannya bertanya, Mar menjawab dengan kasar dan berkata: "Saya sudah makan kesemuanya. Apa masalahnya?"


Keadaan kemudian menjadi tegang kerana Mar memberikan jawapan yang biadap.


Polis masih menyiasat kes itu sedang berusaha mengenal pasti semua suspek warga China dan Thailand yang terlibat.


Seorang jiran diserang kerana makan ketam yang silap hantar. - Foto Facebook.

Ahad, 24 Ogos 2025

Cari ular sawa besar masuk rumah, tapi jumpa ular aneh berwarna emas

Cari ular sawa besar masuk rumah, tapi jumpa ular aneh berwarna emas


Seekor ular berwarna keemasan sepanjang kira-kira 40 sentimeter ditemui penduduk wilayah Ang Thong, Thailand, lapor portal berita Thaiger hari ini.


Penemuan bermula apabila Pannawat Lek Imsub, seorang sukarelawan dari Yayasan Poh Teck Tung di Wat Loh, daerah Mueang Ang Thong, menerima panggilan meminta bantuan daripada penduduk.


Penduduk melaporkan bahawa seekor ular sawa sepanjang 3 hingga 4 meter telah masuk ke sebuah rumah di Jalan Thetsaban, Bang Kaeo, wilayah Ang Thong, pada awal pagi.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) mengesahkan kehadiran seekor ular sawa sepanjang 4 meter semalam.


Sebaik tiba di lokasi, sukarelawan itu tidak menjumpai ular sawa tersebut. 


Pemilik rumah kemudian menyemak rakaman CCTV, yang mengesahkan bahawa ular sawa itu memang telah masuk dan kemudian keluar dari rumah berkenaan.


Semasa pemeriksaan keselamatan di kawasan sekitar, sukarelawan tersebut menemui seekor ular berwarna keemasan sepanjang kira-kira 40 sentimeter.


Penemuan itu adalah yang kali pertama dibuat walaupun sebelum ini pernah dilaporkan ular berwarna biru-hijau ditemukan.


Seekor ular berwarna keemasan yang ditemui di Ang Thong. - Foto Khaosod.
RXZ Members 7.0 jana limpahan ekonomi RM50 juta buat Terengganu

RXZ Members 7.0 jana limpahan ekonomi RM50 juta buat Terengganu


Himpunan RXZ Members 7.0 yang berlangsung selama dua hari di Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus bukan sahaja mencatat rekod penyertaan kira-kira 150,000 peserta, malah berjaya memberi limpahan ekonomi sehingga RM50 juta kepada usahawan dan peniaga kecil di negeri ini.


Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ariffin Deraman berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan anggaran perbelanjaan minimum peserta sepanjang program berkenaan.


"Kalau jumlah peserta 100,000 orang dan setiap seorang berbelanja minimum RM100, kita boleh jana sekitar RM10 juta.


"Tetapi jika perbelanjaan mereka mencecah RM500 seorang, pulangan ekonomi boleh mencecah kira-kira RM50 juta.


"Ini belum termasuk kesan lanjutan seperti penginapan, rumah inap, hotel, pasar dan pusat membeli-belah yang dipenuhi pengunjung sepanjang program," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Pembiayaan Motosikal dan Dana Usahawan Terengganu (DUTE) hari ini.


Ariffin berkata, penganjuran Himpunan RXZ Members turut memberi peluang besar kepada lebih 15,000 usahawan kecil tempatan berdaftar di bawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) serta lebih 20,000 peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Beliau berkata, kehadiran 150,000 peserta dari seluruh negara jelas membuktikan Terengganu mampu menjadi tuan rumah kepada acara berimpak tinggi yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti usahawan tempatan.


Pasar Besar Kedai Payang dipenuhi peserta RXZ Members untuk membeli cenderamata di Kuala Terengganu hari ini. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 23 Ogos 2025

Polis buru individu sebar fitnah mengenai Tabung Haji di media sosial

Polis buru individu sebar fitnah mengenai Tabung Haji di media sosial


Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memburu individu yang menyebarkan fitnah menerusi video tular di media sosial berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk diambil tindakan undang-undang.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, TH telah membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara itu.


"Mengenai isu Tabung Haji dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial, saya sahkan bahawa pihak Tabung Haji telah membuat laporan. Kedua-dua, laporan polis dan juga kepada pihak MCMC.


"Individu-individu yang didapati telah mengeluarkan fitnah terhadap Tabung Haji terutama selepas penjelasan yang diberikan oleh Tabung Haji dan juga jawapan yang diberikan oleh Menteri Agama dalam Parlimen maka pihak-pihak tersebut sedang dikesan untuk diambil tindakan," katanya pada sidang media sempena program 'Denyut Nadi Merdeka': Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, hari ini.


Fahmi turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu merupakan satu jenayah yang boleh dihukum dengan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan di mahkamah.


"Kita telah lihat sebelum ini bagi kes Allahyarhamah Zara Qairina. Ada seorang cikgu telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Seorang lagi telah ditahan reman tiga malam dan saya percaya dalam masa terdekat akan dihadapkan ke muka pengadilan.


"Samalah juga dalam kes Tabung Haji, fitnah yang dilemparkan, maka tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang.


"Semestinya Seksyen 233 Penyalahgunaan Rangkaian dan sekiranya ada apa-apa aspek lain maka kita serah kepada pihak PDRM kerana ada dua laporan, kepada MCMC dan juga kepada pihak PDRM," jelasnya.


Pihak berkuasa menegaskan agar orang ramai tidak mudah percaya dan menyebar berita tidak sahih serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas demi menjaga keharmonian masyarakat.


Fahmi (tengah) ketika sesi sidang media pada program 'Denyut Nadi Merdeka': Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen LRT Pasar Seni, hari ini. - Foto Kosmo Online.
Pencuri motosikal dipukul sebelum diarak tanpa seurat benang

Pencuri motosikal dipukul sebelum diarak tanpa seurat benang


Seorang pencuri di Indonesia mengalami nasib malang apabila diarak dalam keadaan tanpa seurat benang selepas ditangkap mencuri sebuah motosikal, lapor portal berita Tribunnews.


Kejadian berlaku di Cilacap, wilayah Jawa Tengah pada 16 Ogos lalu.


Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan lelaki terbabit masuk ke sebuah kedai runcit dan berpura-pura meminta sumbangan.


Dia cuba mencuri sebuah motosikal selepas mendapati kunci kenderaan itu tidak dicabut, namun gagal bertindak demikian.


Pemilik motosikal dikenali sebagai Cahyanto berkata, suspek segera ditahan oleh penduduk setempat.


Dia bukan sahaja dipukul, malah dilucutkan semua pakaian dan diarak sekeliling kampung sebagai amaran kepada pencuri lain.


Suspek dipukul dan dibogelkan selepas ditangkap cuba mencuri sebuah motosikal. - Foto Tribunnews.

Jumaat, 22 Ogos 2025

Berang sos mayonis habis, lelaki tuang petrol bakar cafe

Berang sos mayonis habis, lelaki tuang petrol bakar cafe


Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan selepas mencetuskan kebakaran di sebuah kafe di Sepanyol hanya kerana dia diberitahu bahawa restoran itu kehabisan sos mayonis, lapor portal berita MailOnline.


Kejadian berlaku di kafe Las Postas, bandar Los Palacios y Villafranca kelmarin. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menuang petrol ke atas bar lalu membakarnya sebelum melarikan diri.


Situasi itu didakwa tercetus apabila suspek diberitahu oleh dua pekerja bahawa mereka kehabisan mayonis ketika dia sedang menikmati sandwic bersama anaknya.


Berang dengan jawapan itu, dia segera meninggalkan kafe sebelum kembali sambil membawa sebotol minyak petrol untuk membakar premis tersebut.


Suspek berjaya ditangkap oleh Pengawal Awam berhampiran premis tersebut.


Dia kemudian dibawa ke pusat kesihatan berhampiran untuk merawat kesan lecur pada tangannya, demikian menurut media tempatan. Siasatan sedang dijalankan.


Pelanggan dan pekerja terkejut apabila suspek mencetuskan kebakaran di dalam kafe kelmarin. - Foto Mail Online.
Wanita maut dipatuk ketika halau ular berbisa dengan penyapu

Wanita maut dipatuk ketika halau ular berbisa dengan penyapu

 

Seorang wanita berusia 57 tahun maut selepas dipatuk ular berbisa yang memasuki rumahnya di Dukuh Karangpucung, Desa Cinanas, Kecamatan Bantarkawung, Jawa Tengah pada malam Ahad lalu.


Mangsa, Sumyati, cuba menghalau reptilia itu menggunakan penyapu selepas ternampak ia bersembunyi di bawah almari sebelum ular tersebut bertindak balas dengan mematuk kakinya.


Walaupun cedera, Sumyati tetap menunaikan solat Isyak sebelum mula berasa lemah dan pening beberapa jam kemudian.


Beliau kemudiannya cuba mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan masyarakat setempat yang dikenali dengan rawatan tradisional gigitan haiwan berbisa.


Namun keadaan mangsa semakin serius sebelum dikejarkan ke Hospital RSUD Bumiayu, tetapi doktor mengesahkan beliau meninggal dunia sebaik tiba di hospital.


"Jenazah mangsa dikebumikan pada keesokan pagi," kata Ketua Desa, Hensika Cindy Setiawan kepada pemberita pada Selasa.


Kes patukan ular masih menjadi ancaman kesihatan utama di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar yang berdepan kekangan akses rawatan moden dan bergantung kepada perubatan tradisional sebagai langkah awal. - Sumber Tribun News.


Seorang wanita di Jawa Tengah maut selepas dipatuk ular berbisa di rumahnya. - Foto Tribun Lampung.