Sabtu, 23 Ogos 2025

Polis buru individu sebar fitnah mengenai Tabung Haji di media sosial


Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini memburu individu yang menyebarkan fitnah menerusi video tular di media sosial berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk diambil tindakan undang-undang.


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, TH telah membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung perkara itu.


"Mengenai isu Tabung Haji dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial, saya sahkan bahawa pihak Tabung Haji telah membuat laporan. Kedua-dua, laporan polis dan juga kepada pihak MCMC.


"Individu-individu yang didapati telah mengeluarkan fitnah terhadap Tabung Haji terutama selepas penjelasan yang diberikan oleh Tabung Haji dan juga jawapan yang diberikan oleh Menteri Agama dalam Parlimen maka pihak-pihak tersebut sedang dikesan untuk diambil tindakan," katanya pada sidang media sempena program 'Denyut Nadi Merdeka': Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, hari ini.


Fahmi turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu merupakan satu jenayah yang boleh dihukum dengan denda sehingga RM500,000 jika sabit kesalahan di mahkamah.


"Kita telah lihat sebelum ini bagi kes Allahyarhamah Zara Qairina. Ada seorang cikgu telah ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Seorang lagi telah ditahan reman tiga malam dan saya percaya dalam masa terdekat akan dihadapkan ke muka pengadilan.


"Samalah juga dalam kes Tabung Haji, fitnah yang dilemparkan, maka tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang.


"Semestinya Seksyen 233 Penyalahgunaan Rangkaian dan sekiranya ada apa-apa aspek lain maka kita serah kepada pihak PDRM kerana ada dua laporan, kepada MCMC dan juga kepada pihak PDRM," jelasnya.


Pihak berkuasa menegaskan agar orang ramai tidak mudah percaya dan menyebar berita tidak sahih serta memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas demi menjaga keharmonian masyarakat.


Fahmi (tengah) ketika sesi sidang media pada program 'Denyut Nadi Merdeka': Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025 di Stesen LRT Pasar Seni, hari ini. - Foto Kosmo Online.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon